Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Februari 2018

BMW S1000R Kuasa Mutlak Jentera Jalanan

Ketika menunggang model ini beberapa tahun lalu, ciri-ciri menarik yang ditawarkan olehnya masih diingati dengan jelas hingga ke hari ini. Setiap belokan... setiap pecutan... adrenalin.... kesemuanya masih segar diingatan. Itulah keistimewaan BMW S 1000 R! Peluang menunggang uji model terbaru siri Single R ini muncul buat pertama kalinya ketika berkonvoi bersama-sama kakitangan BMW Motorrad Malaysia ke Pulau Pinang pada September tahun lalu. Walaupun ketika itu kami hanya berpeluang menunggang sejauh 350 kilometer, ianya benar-benar mengusik jiwa... cukup hebat!

Kami akhirnya diberi peluang semula untuk menikmati Single R ini dan seperti yang dikatakan dulu... Ia adalah sebuah jentera naked antara yang terbaik pernah ditunggangi. Walaupun pelananya agak tinggi (814mm), namun begitu posisi menunggang tidak memenatkan dan ini disebabkan rekaan bar hendal S 1000 R yang tinggi dan lebar. Kerangka model baru ini juga dihasil berasaskan model S 1000 RR yang pastinya lebih ringan untuk pengendalian yang lebih tepat serta keseimbangan dalam pecutan tinggi.

“Anda akan suka dengannya... banyak ciri baru hebat dimiliki oleh S 1000 R ini terutama sekali pada sistem Gear Shift Assistant Pro yang sangat lancar dan tepat,” kata En. Owen Riley, Ketua BMW Motorrad ketika mula-mula memperkenalkan model ini suatu ketika dulu.

Sebelum itu, ayuh kita amati rupabentuknya terlebih dahulu. Bahagian hadapan dikemaskan dengan dua buah lampu yang cantik dan cukup terang serta sudah menjadi trademark  bagi beberapa model BMW seperti S 1000 RR, S 1000 R, S 1000 XR dan R 1200 RS disempurnakan dengan dua buah lampu hadapan yang bentuk berlainan. Ada yang bulat, ada pula yang bersegi... macam itulah.

Berbanding dengan model terdahulu, fairing sisi Single R baru ini tampak lebih kemas dan sudah semestinya pandangan sisi ini diperhebatkan dengan sistem ekzos Akrapovic HP Titanium yang memiliki identiti bunyinya yang tersendiri dan ia juga menepati regulasi Euro 4. Bunyi 'letupan-letupan' kecil yang terhasil daripada muncung ekzos ini akan kita dengari apabila kita menutup pendikit – memang unik dan lain daripada yang lain. Hanya ada dua sahaja motosikal yang memiliki bunyi seperti ini... Single R dan Double R iaitu model S 1000 RR.

Bagi mereka yang ingin menunggang sebuah jentera berteknologi tinggi, S 1000 R juga boleh menjadi pilihan.

Antara sistem elektronik yang dipadatkan dalam jentera seberat 205kg ini ialah mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic dan Dynamic Pro), Dynamic Traction Control (DTC), Dynamic Damping control (DDC), ABS, Automatic Stability Control (ASC), Cruise Control, Shift Assistant, Pit Lane Limiter dan Launch Control. Apa yang mengagumkan, kesemua info, cara penggunaan dan talaan dapat dibuat dengan mudah hanya dengan menggunakan suis yang terdapat pada bar hendal sebelah kiri.

Bunyi yang terhasil sebaik sahaja kita menghidupkan enjin memang cukup mantap dan berbeza sekali jika dibandingkan dengan bunyi S 1000 R sebelum ini. Untuk memberikan keyakinan buat sesiapa sahaja yang menunggangnya (mungkin buat yang pertama kali), BMW telah melengkapkan model ini dengan Rev Limiter yang membenarkan kita memilih tahap tertinggi putaran rpm sebelum lampu penunjuk berkelip-kelip – menyuruh kita menambah gear. Contohnya, jika anda sudah berpengalaman, boleh talakan pada tahap 10,000rpm manakala buat mereka yang baru ingin berkenalan dengan S 1000 R, ia boleh dikurangkan kepada rpm yang lebih rendah. Dengan adanya sistem ini, kita bagai ‘dinasihati' oleh jentera ini untuk menambah gear pada tahap pecutan yang sesuai dengan keupayaan diri.

Shift Assistant ternyata menambah mutu tunggangan kerana penunggang BMW ini akan dapat menambah dan menurunkan gear tanpa perlu menggunakan klac – ia bukan sahaja tepat tetapi sangat lembut dan lancar. Karaktor 'abang'nya yang jelas ini membolehkan kita memecut ke hadapan dengan pantas dan tanpa keraguan. Tutup sahaja pendikit...'letupan-letupan' kecil kedengaran... ahhh nikmatnya!

Kami memilih untuk bermula dengan menggunakan mod Road. Respons pendikit, kawalan elektronik untuk ASC/ABS kini berada di tahap tertinggi. Kerangka alumnium BMW ini juga direka semula agar lebih efisien dan lebih aerodinamik ketika membuat pecutan. Kelajuan maksima yang berjaya kami perolehi ialah sekitar 230-240km/j. Sistem ASC ini akan memastikan pecutan dapat dioptimumkan pada semua permukaan jalan. Enjin jentera empat silinder, empat lejang yang berisipadu 999cc ini menawarkan kuasa maksimum setinggi 165hp pada 11,000rpm dan tork 112Nm pada 9,250rpm yang cukup mantap sehingga kelajuan dengan mudah sekali mencecah 180km/j walaupun masih berada di dalam posisi gear ketiga.

Hamburan kuasanya yang hadir dengan pantas dalam mana-mana gear dan peringkat rpm membolehkan kita merentap tenaga jentera ini dari kelajuan rendah tanpa rasa sebarang sentapan pada enjin mahu pun transmisi. Tanpa perlu ambil masa yang lama, enjinnya menarik kita dengan kuat menuju ke hadapan. Informasi yang terpapar di dalam panel meter BMW ini jelas dan tersusun rapi – memudahkan setiap penunggang melihatnya walaupun hanya sekadar jelingan. Lebih mengujakan apabila kecerahan lampu latar belakang paparan digitalnya boleh ditala – malap, biasa dan cerah. Menarik kan? Kita juga dapat menukar talaan tanpa perlu mematikan enjin, segalanya hanya di hujung jari!

Dengan adanya sistem elektronik terkini DTC dan DDC, tiada jalan yang dirasakan sukar untuk BMW ini. Tidak kiralah di laluan berselekoh tajam atau berselekoh panjang, miringan dapat dibuat dengan stabil tanpa perlu rasa risau. Sistem DTC sentiasa akan mengawal respon pendikit sebaik mungkin dan mengelakkan tayar belakang dari berputar apabila jentera ini berada di kawasan yang kurang daya geseran.

Model ini mempunyai ketepatan yang tinggi untuk membuat belokan, ia datangnya daripada fork hadapan jenis terbalik berdiameter 46mm dan lengan ayun aluminium yang cukup cemerlang. BMW ini menawarkan sistem elektronik DDC yang 'bertugas' untuk memberikan tahap penyerapan terbaik pada sistem saspensinya. Jika menggunakan mod Rain pula, tindak balas pendikit bukan sahaja dikurangkan malah kawalan redaman juga akan menjadi lembut tetapi sebaik sahaja kita bertukar kepada mod Road, sistem saspensi ini serta merta menjadi lebih keras.

Setiap penunggang akan dapat merasakan Single R ini dapat membuat miringan ke selekoh-selekoh tajam dengan mudah. Selain kemantapan casis dan sistem saspensinya, penggunaan rim HP (High Performance) jenis bertempa juga berjaya menurunkan berat badan Single R yang sememangnya dihasil oleh BMW bertujuan untuk pengendalian lebih mudah.

Hampir 'mustahil' jentera ini untuk terbabas jika kita menggunakan gear yang tepat, kelajuan yang sesuai, posisi badan yang selamat dan keadaan tayar yang baik.

Tayar-tayar bersaiz 120/70 ZR17 (hadapan) dan 190/55 ZR 17 di belakang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang dan terima kasih pada pakej brek-brek Brembo yang dipadankan dengan sistem BMW Motorrad Race ABS, kelajuan dapat dikurangkan dengan cepat dan selamat. Tidak perlu bersusah payah menggunakan keempat-empat jari untuk menarik tuas brek, dua jari sudah mencukupi. Kecemerlangan fork hadapan menyerap bebanan ketika membrek dengan keras turut membuatkan kita kekal selesa di atas pelananya tanpa rasa bagaikan ingin 'terbang' ke hadapan.

Bagi penunggang di Malaysia yang sentiasa berdepan dengan musim hujan, pendikit yang dilengkapkan dengan grip pemanas memang diperlukan. Setidaktidaknya bahagian tapak tangan kita tidaklah terlalu sejuk yang kadang-kalanya boleh mengganggu tunggangan. Benar... dengan posisi menunggang yang selesa, pecutan yang mengagumkan dan jimat petrol, S 1000 R bukan sahaja bagaikan 'senjata' hebat di litar tetapi juga 'sahabat' sejati untuk pengembaraan.

Dengan tangki sebesar 17.5 liter, kami dapat bergerak lebih kurang 230 kilometer dengan sekali isi. Cukup jimat kerana S 1000 R bukan hanya dibawa secara santai... tetapi tenaga, casis, sistem breknya dikerah dengan sebaik-baiknya demi mencari nikmat sejati bermotosikal. S 1000 R ditawarkan pada harga RM92,000 (termasuk GST) dengan dua warna menarik iaitu Racing Red/Blackstorm dan Catalano Grey. RR

Isu Pada

Februari 2018

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 silinder, sistem penyeju cecair
Isipadu999 cc
Gerek x Lejang80 x 49.7 mm
Kuasa maksimum165hp pada 11,000 rpm
Tork maksimum112Nm pada 9,250 rpm
Nisbah mampatan12.0:1
Tinggi pelana814 mm
Isi Tangki17.5 liter
Berat205 kg
PengedarBMW Motorrad Malaysia

Popular

  • Warta Roda

    GLOBAL: Haojue GSX500 - Kemas dan Cantik

  • Warta Roda

    Dua Gadis Meninggal Dunia Dirempuh Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

  • Pandu Uji

    Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

  • Dari Litar

    Ujian Rasmi Litar Aragon: Hasil Positif Untuk Pasukan Honda HRC Castrol

  • Dari Litar

    SAH! Juara WSBK, Toprak Razgatliolu Tanda Tangan Kontrak Dengan Yamaha

Artikel berkaitan

Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

Aveta Vanguard 250 SE: Prestasi Di Luar Jangkaan

MODENAS Z650 - Antara Jentera Jalanan Paling Berbaloi?

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Disyorkan untuk anda
Pandu Uji

Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

Honda CBR650R ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Grand Prix Red dan Matte Gunpowder Black Metallic pada harga asas RM49,999.

Model Baru

Triumph Speed Triple RX tawarkan prestasi 'Sang Juara'

Triumph Motorcycles telah memperkenalkan Speed ​​Triple 1200 RX baru, versi eksklusif untuk 2025. Model ini terhad kepada hanya 1200 motosikal di seluruh dunia.

Dari Litar

Toprak Razgatlioglu Akhirnya ke MotoGP?

Spekulasi mengenai perpindahan Toprak Razgatlioglu yang sudah lama ditunggu-tunggu ke MotoGP kini telah mencapai tahap baru minggu ini, apabila pengurusnya Kenan Sofuoglu mengesahkan bahawa kontrak telah ditandatangani.

Model Baru

Harley-Davidson Fat Boy Gray Ghost: Lawa Lain Macam!

Harley-Davisdon Fat Boy Gray Ghost 2025 dihasilkan untuk memberi penghormatan kepada legasi Fat Boy yang mendefinisikan jiwa dan era peminat dunia motosikal. Model baru ini mewarisi gaya asli 1990 yang telah mendapat perhatian dunia suatu ketika dulu.