Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 8 Julai 2024

Suzuki Burgman Street 125EX - Santai, Mudah & Selesa

Sebelum borak lebih-lebih, saya cerita dulu pengalaman pertama melihat skuter yang namanya Burgman. Ketika itu saya dan Allahyarham MYB (Boss) dalam perjalanan ke pameran antarabangsa Intermot 2005 menggunakan laluan lebuh raya dari Frankfurt menuju ke Cologne.

Dalam perjalanan tersebut kami berhenti beberapa kali di 'R&R' dan di situlah saya dapat melihat banyak kumpulan motosikal yang juga menuju ke Intermot. Ada yang naik motor chopper, sport touring, superbike, dual-purpose dan sudah pasti skuter-skuter maksi.

Haa... masa tulah saya melihat Suzuki Burgman 650 buat pertama kali...cukup-cukup kagum dan membuatkan hati saya teruja. Skuter 650cc dan penuh dengan barang-barang kembara... memang padu betul.

Oleh kerana tidak banyak pemilik skuter maksi di Malaysia ketika itu, detik itu memang sukar untuk dilupakan. ‘Rider-rider’ pengembara skuter tampak segak dengan riding jaket, topi keledar full face, sarung tangan dan apabila memecut laju di atas lebuhraya, nampak gah betul! Memang jatuh cinta dan secara peribadi, saya masih menyimpan hasrat/impian untuk mengembara dengan sebuah skuter maksi suatu hari nanti.

Pada tahun 2018, RR mendapat peluang menikmati ribuan kilometer perjalanan dengan Suzuki Burgman 400 diikuti model lebih baru, lebih mantap pada tahun 2021. Walaupun bukanlah model 650 seperti yang dilihat di Eropah dulu tetapi dari segi rekabentuk, kedua-duanya masih memiliki banyak persamaan.

Itu semua 'big cc' punya skuter. Untuk tahun ini, Suzuki Malaysia telah memperkenalkan Burgman Street 125 EX yang turut menampilkan rekabentuk yang cantik dan menawan. Mungkin model ini tidaklah sesuai untuk pengembaraan jauh tetapi dari segi keselesaannya, Burgman kecil ini tetap menyeronokkan.

Posisi menunggangnya yang tegak serta ruang bahagian kaki yang luas merupakan faktor penting untuk tujuan keselesaan serta pengendalian yang mudah. Kaki saya yang panjang dan besar pun dapat diletakkan dengan sempurna. Best! Saya dapat mengubah posisi kaki sesuka hati, ruang lantai pemijaknya cukup besar. Yes... ciri-ciri terbaik Burgman dari dulu hingga kini.

Bentuk luarannya nampak moden dan mewah dengan kemasan lampu-lampu LED di depan, tepi dan belakang serta ruang kokpit yang ringkas tetapi mantap. Lampu hadapan Burgman ini memang ramai yang minat, dapat komen-komen yang cukup positif mengenai tahap pencahayaan dan rekabentuknya.

Berdepan dengan kita, terdapat dua ruang simpanan barang bersaiz sederhana yang boleh memuatkan barang-barang kecil manakala ruang sebelah kiri turut didatangkan dengan soket USB. Memudahkan kita untuk tambah power telefon pada bila-bila masa.

Ruang bawah pelana untuk model ini memang luas iaitu 21.5 liter, mudah untuk kita menyimpan barang tetapi sayang sekali, tak muat nak letak topi keledar walau satu pun.

Burgman baru ini hadir dengan enjin 124cc, 4 lejang, silinder tunggal, SOHC yang menawarkan hantaran kuasa 8.7ps pada 6,750rpm dan tork 10Nm pada 7,300rpm – memang sesuai untuk model kecil seperti ini. Kelajuan mudah ditingkatkan dengan setiap perahan pendikit dan kelancaran tenaga dari enjinnya memang memuaskan hati.

Di kawasan urban, kelincahan Suzuki ini langsung tidak mengecewakan, ruang di antara lutut penunggang dan bar hendal yang luas membantu setiap pergerakan dan 'ruang' ini juga sesuai untuk kita letakkan barang atau beg – kepit dengan kaki. Ada juga penyangkut barang, satu depan kaki... satu lagi hujung pelana.

Burgman ini hanya 110kg sahaja dan tinggi pelana pun 780mm je beb! Mudah untuk dikendalikan atau untuk kita alihkan ketika parkir dan sudah pasti mudah untuk dikawal oleh semua jenis penunggang termasuklah penunggang baru dan wanita. Memang praktikal!

Menghidupkan enjin skuter ini pun ‘manyak syiok’ kerana adanya sistem Silent Starter – '0' bunyi, tak ada bunyi 'crank'... tau-tau enjin dah hidup! Panel meter skuter ini jenis digital dengan paparan-paparan informasi yang cukup penting. Paling saya suka ialah paparan tahap kelajuannya yang besar dan terang.

Suzuki juga telah melengkapkan skuter ini dengan sistem Engine Auto Stop-Start di mana enjin akan 'dimatikan' secara automatik apabila berada dalam keadaan melahu. Namun begitu, sebaik sahaja kita memulas pendikit, enjin akan hidup semula dan sedia untuk meneruskan perjalanan. Kalau tak mau guna Engine Auto Stop-Start ini pun boleh, tekan suis di bar hendalnya untuk mematikan sistem.

Selain itu, ada lagi teknologi baru pada Burgman ini iaitu Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-a) yang akan menala tahap penggunaan bahan api yang paling jimat pada kelajuan tertentu.
Kita dapat melihat tanda ECO berwarna hijau apabila meluncur pada kelajuan yang ideal. Dua sistem yang dipadankan pada model ini iaitu Engine Auto Stop-Start dan Suzuki Eco Performance Alpha direka khusus untuk penjimatan bahan api.

Ya... tayar model ini nampak kecil dan memang kecil pun. Ia bersaiz 90/90-12 54J di depan dan 100/80-12 56J di bahagian belakang tetapi jujurnya, kecekapannya 'menggigit' permukaan jalan mengujakan saya dan rakan setugas. Naik solo atau berdua, memang sedap je layan jalan-jalan yang ada 'corner'. Cuma apabila nak keluar selekoh atau tiba di laluan berbukit, rasa lembab juga lah skuter ini nak pecut laju!

Suzuki ini hadir dengan fork hadapan jenis teleskopik yang menyerap dengan baik setiap hentakan. Begitu juga dengan penyerap hentak belakang, walaupun jenis tunggal (sebelah kiri), berada di laluan-laluan kurang sempurna atau di jalan berbonggol dirasakan masih lagi selesa.

Dengan isian penuh tangki bersaiz 5.5 liter, saya dapat menikmati perjalanan yang lincah dan selesa lebih kurang 100-110 kilometer. Jimat juga kalau nak dikira dengan saiz penunggang dan gaya tunggangan yang suka memecut ni!

Jika ditanya adakah Suzuki Burgman 125 Street EX ini berbaloi untuk dimiliki? Ya… saya rasakan mengapa tak berbaloi pula? Pada harga RM7,500, anda boleh miliki sebuah skuter SUZUKI yang hadir dengan enjin padu, tahan lasak, jimat dan moden. Sistem saspensi dan sistem brek terbukti mampu mengujakan penunggang 'sebesar' saya manakala penggayaannya mendapat riaksi yang sangat positif. RR

Isu Pada

Julai 2024

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, 4 lejang, sistem penyejuk minyak
Isipadu124cc
Kuasa maksimum8.7PS pada 6,750rpm
Tork maksimum10Nm pada 7,300rpm
Brekcakera (depan) & gelendong (belakang)
Tayar90/90-12 (depan) & 100/80-12 (belakang)
Berat110kg
P x L x T1,880mm x 715mm x 1,140mm
Tinggi pelana780mm
PengeluarSuzuki Malaysia Sdn bhd

Popular

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

  • Warta Roda

    Kemalangan di Lebuhraya Karak. Penunggang Motosikal Dikesan Polis

Artikel berkaitan

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

Hanway Malaysia hari ini telah mengumumkan pelancaran siri 'B' yang terdiri daripada rangkaian motosikal baru yang menggabungkan rekabentuk estetik vintaj dengan kejuruteraan kontemporari.

Model Baru

SYM ADXTG 400 Sah Masuk Malaysia... Adakah TTLBT 508 akan ikut serta?

Tinggal beberapa hari sahaja lagi kami (RR) akan di kilang SYM di Taiwan untuk melihat dan menunggang uji skuter adventure terbaru iaitu ADXTG 400. Tapi... adakah SYM TTLBT pun akan masuk ke pasaran negara?

Dari Litar

MotoGP 2025 (Qatar): Minggu Sempurna Buat Marc Marquez!

Sejak di sesi latihan bebas, jentera bernombor '93' sentiasa mendapatkan rentak yang luar biasa, catatan masa terpantas, diikuti dengan kedudukan petak pertama, menang perlumbaan Sprint Test dan mengakhiri GP Qatar juga sebagai Sang Juara.

Warta Roda

Honda Vario 160 Terima Tiga Warna Baru - Bermula RM10,198

Boon Siew Honda (BSH) telah memperkenalkan tiga warna terbaru untuk Honda Vario 160 iaitu Yellow, Matte Red dan Silver.