Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 17 Julai 2025

Aprilia RS660 & RS457: Bertarung di litar padu... Bersantai di jalanan pun best!

Jarang benar RR dapat menunggang uji dua buah model sport serentak. Kali ini memang rezeki, terima kasih Didi Group di atas peluang menunggang uji bukan sekali tetapi dua kali model RS660 dan RS457.

Kali pertama peluang untuk memacu jentera yang dikatakan antara paling padu untuk segmen pertengahan ialah pada sesi 'track day' yang diadakan di Litar Go-Kart Sepang beberapa bulan yang lalu.

Dalam sesi tersebut, pihak media sempat menunggang uji RS660 dan RS457 untuk beberapa lap. Ya... walaupun tidak begitu lama, ia cukup menyeronokkan. Kebolehan model sport Aprilia ini untuk membantu penunggang biasa mendapat nikmat di litar memang saya puji. Model ini ternyata menawarkan gaya, prestasi dan teknologi.

Dari segi gaya luaran, kedua-dua model memiliki DNA yang sama dengan model terulung mereka iaitu Aprilia RSV4. RS660 dan RS457 berkongsikan kerangka aluminium dan sistem saspensi jenis USD, jadi...dari segi 'feel' ketika menunggang terasa sama.

Fairing sisi Aprilia ini bukan sahaja cantik tetapi ia adalah ciri-ciri aerodinamik yang memperbaiki tahap kestabilan dan juga berfungsi untuk mengalihkan aliran udara panas dengan baik.

Tinggi pelana beza! RS660 820mm manakala RS457 hanya 800mm. Walaupun nilai 20mm mungkin nampak kecil tetapi terasa akan perbezaannya. Secara peribadi, kedua-duanya terlalu kecil untuk saya. Kenalan saya pun kata hal yang sama! Jadi...RS660 atau RS457 ini tak sesuai untuk orang tinggi?

Jawapannya tidak sama sekali. Mungkin saiznya kecil tapi saya dah bawa lebih daripada 500km, ia memang sebuah jentera yang menyeronokkan! Di litar pun sama, tak ada langsung masalah atau rasa ragu-ragu untuk masuk/keluar selekoh dengan jentera ini. Ia adalah sebuah motosikal yang akan membantu penunggang kurang berpengalaman bertukar kepada profesional

Okay....RS660 dan RS457 didatangkan dengan lampu-lampu trademark LED di depan berbentuk tajam, dilengkapkan dengan Daytime Running Light. Lampu penunjuk arah juga disepadukan dengan lampu DRL – jadikannya lebih kompak. Kedua-duanya juga dilengkapkan dengan panel meter TFT tetapi rekaannya berbeza.

Antara ciri-ciri lain yang sama pada kedua-dua model ini ialah sistem saspensi depan dan belakang, diameter brek hadapan (320mm) dan di belakang iaitu 220mm. Cuma jenama sahaja yang berbeza iaitu Brembo untuk RS660 dan Bybre untuk 457.

Untuk kedua-dua RS ini, saya juga selesa dengan ketinggian cermin pengadang udaranya yang terdapat ruang untuk menyorokkan kepala sewaktu memecut dalam kelajuan tinggi.

Prestasi:

Kita mulakan dengan Aprilia RS457 yang hadir dengan enjin kembar-parallel yang bersesaran 457cc, DOHC dengan sistem penyejuk cecair dengan kuasa maksimum 48hp pada 9,400rpm dan tork 43.5Nmm pada 6,700rpm.

Bunyi enjin memang sangat lembut tapi bila pulas pendikit dengan lebih lagi terselah kegarangannya. Berat jentera ini pun cuma 175kg, memang sangat ringan dan lincah untuk mengambil selekoh.

Penggunaan gear yang sedap di antara dua dan tiga. Putaran RPM cepat naik dan respon pendikitnya sangat responsif. Hendak memotong kenderaan, ketika memecut dan layan laluan-laluan berliku memang mantap.

Model ini turut didatangkan dengan pakej elektronik yang terdiri daripada Traction Control, ABS dua saluran dan tiga mod tunggangan yang terdiri daripada ECO (kuasa penuh, sistem TC tahap Medium & sesuai untuk tunggangan biasa), SPORT (kuasa penuh, lebih responsif dan sistem TC di tahap paling rendah) dan RAIN (kuasa rendah, sistem TC tahap tertinggi & sesuai untuk hujan dan licin).

Terdapat juga sistem Quickshifter tetapi didatangkan secara pilihan. Maksudnya pembeli jentera ini perlu menambah wang untuk memadankan sistem ini pada jentera yang di beli. Bagi saya, lebih baik Quickshifter hadir secara standard.

RS660 pula lebih padu...lebih mantap...lebih berkuasa. Enjin 4 lejang, 2 silinder DOHC dengan kuasa maksimum setinggi 100hp pada 10,500 rpm dan tork 67Nm pada 8,500 rpm. Dengan adanya pula sistem quick-shifter 2-hala, pecutan demi pecutan bersama RS660 ini sangat mengujakan.

Dengan casis yang bertegaran tinggi, sistem saspensi padu dan rekabentuk cukup aerodinamik, tak perlu tunggu lama untuk mencapai kelajuan lebih daripada 200km/j.

Jika dibandingkan dengan RS457, 'abangnya' ini memiliki sistem elektronik yang jauh lebih padat dan moden seperti sistem elektronik (Aprilia Performance Ride Control APRC) terkini seperti Aprilia Traction Control (ATC), Aprilia Wheelie Control (AWC), Aprilia Cruise Control (ACC), Aprilia Quick Shift (AQS), Aprilia Engine Braking (AEB), Aprilia Engine Map (AEM) dan Cornering ABS.

Semuanya kami tekan...semuanya kami pilih dan memang dapat dilihat dan dirasa betapa pentingnya teknologi moden bukan hanya untuk menambah prestasi tetapi juga dari segi keselamatan kita sewaktu di atas jalan raya.

Tayar-tayar bersaiz 120/70 ZR17 (depan) dan 180/55 ZR17 di belakang menyumbang kepada kemantapan jentera ini 'berlayar' di pelbagai jenis permukaan jalan. Saya benar-benar kagum dengan kualiti pengendalian, kualiti pembikinan yang tinggi serta posisi menunggang cukup selesa.

Aprilia RS660 adalah sebuah jentera yang boleh digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja, bermain selekoh dan juga sesuai untuk pengembaraan. Ini bukti betapa versatilnya jentera ini.

Mungkin Redzuan jarang menunggang lama dengan jentera sport, dia merungut lenguh tangan dan pinggang selepas 100 kilometer perjalanan. Saya mungkin lebih teruja kerana sudah lama idamkan RS660, maka ride sampai malam pun tak kisah!

Saiz tangki untuk RS660 ialah 15 liter manakala RS457 kurang 2 liter. Walaupun berjaya sampai jarak 200 untuk kami berdua, tapi sudah pasti saya yang menunggang RS660 mempunyai sedikit kelebihan. Namun begitu, penggunaan bahan api hakikatnya bergantung kepada banyak faktor antaranya tahap kekerapan memecut, size/berat penunggang, mod tunggangan yang dipilih dan destinasi yang dituju.

Kedua-dua model ini best! Ia bergantung pada cara menunggang dan tahap keyakinan. Kalau minat dengan jentera sport Itali tetapi mahu yang ringan, mudah dikawal dan bajet mesra, RS457 adalah pilihan yang tepat.

Tapi...kalau anda mahukan rasa dan nikmat adrenalin dengan sistem elektronik lengkap... pergi ibu pejabat Aprilia Malaysia dan ambil RS660 bawa balik! Kalau tanya model mana mesra penunggang baru...saya rasa kedua-duanya sama, kena tengok poket sedalam mana!

RS457 ditawarkan pada harga RM33,900 untuk dua pilihan warna iaitu Prismatic Dark (keunguan) dan Opalescent Light (putih) manakala warna istimewa, Racing Stripes bernilai RM35,900.

Untuk RS660 pula, harganya sekali ganda iaitu bermula dari RM59,900 dan untuk versi Extrema, harganya hampir mencecah RM80,000. RR

Popular

  • Warta Produk

    HLYM Perkenalkan Coverset Edisi Terhad Bagi Yamaha 135 LC FI

  • Dari Litar

    MotoGP: Jorge Martín Kekal Dengan Aprilia Musim 2026

  • Warta Roda

    Ducati Tidak Lagi Bersama NAZA?

  • Dari Litar

    CP150: Siapa Akan Tawan Litar Teluk Intan?

  • Warta Roda

    Konvoi motosikal tiga sahabat bertukar tragedi, seorang maut

Artikel berkaitan

Menunggang Penuh Gaya Dengan Hanway Heritage 400

Triumph Tiger Sport 800: Garang Tapi 'Jinak!'

Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

Aveta Vanguard 250 SE: Prestasi Di Luar Jangkaan

MODENAS Z650 - Antara Jentera Jalanan Paling Berbaloi?

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

CP150: Siapa Akan Tawan Litar Teluk Intan?

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix pusingan keempat bakal berlangsung di perkarangan Stadium Mini Teluk Intan pada hujung minggu ini.

Warta Roda

HONDA CBR150R Edisi Terhad Tampil Dengan Rekaan Tiger "CYBERROAR"

Boon Siew Honda (BSH) secara rasminya telah memperkenalkan HONDA CBR150R Edisi Terhad CyberRoar.

Warta Roda

Menunggang Dalam Keadaan Mabuk, Lelaki Dipenjara...Denda RM10,000

Lelaki yang bakal melapor diri bekerja di Singapura hujung bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng, dekat sini hari ini, atas pertuduhan menunggang motosikal dalam keadaan mabuk, bulan lalu.

Warta Roda

Kereta Masuk Lorong Motosikal, Polis Siasat Nenek!

Polis membuka kertas siasatan kes wanita warga emas memandu kereta di laluan motosikal di Jambatan Kedua Pulau Pinang yang rakaman video perbuatannya tular di media sosial.