Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 20 Ogos 2025

BMW R 12 2025 – Gabungan Warisan dan Teknologi Moden

Motosikal bukan sekadar alat pengangkutan. Bagi pencinta dua roda sejati, ia adalah simbol kebebasan, gaya hidup, dan kadangkala satu bentuk seni bergerak. Dalam dunia yang semakin moden, BMW Motorrad tampil dengan sesuatu yang unik untuk tahun 2025 iaitu BMW R 12, sebuah cruiser yang menyatukan identiti retro klasik dengan teknologi terkini.

Sejak pengumuman awalnya, BMW R 12 telah menarik perhatian ramai kerana penampilannya yang mengingatkan kita dengan sejarah dan dibina sepenuhnya dengan kejuruteraan masa kini. R 12 merupakan sebuah mesin jalanan yang santai tetapi pada masa yang sama menawarkan pengalaman tunggangan yang relaks dan bergaya. itulah yang kami nikmati sepanjang menunggang uji model ini.

Dari segi rekabentuk, BMW telah mengekalkan ciri-ciri klasik yang menggoda. Ia adalah salah satu tarikan utama kerana diilhamkan oleh model BMW klasik tahun 1970-an. Tangki bahan apinya yang digelar “toaster tank” memberi sentuhan nostalgia yang digabungkan dengan lampu depan bulat LED, tayar besar 19-inci di hadapan dan 16-inci di belakang, serta fender logam yang ringkas tetapi kemas. Warna seperti Aventurin Red Metallic menyerlahkan lagi keanggunannya, menjadikannya motosikal yang tidak hanya berprestasi tinggi, tetapi juga sedap dipandang.

Percayalah.... ke mana saja kami pergi, model ini menarik minat ramai walaupun mereka yang kita boleh katakan, bukan 'kaki motor!'.

Di sebalik gaya klasiknya, R12 2025 menempatkan enjin boxer twin 1,170 cc, sama seperti yang digunakan dalam model-model BMW yang lain seperti R nineT. Enjin yang memberi 'gegaran' penuh nostalgia ini menghasilkan 95hp dan 110 Nm tork, cukup untuk menyalurkan kelajuan dan kekuatan yang memuaskan.

Dengan tenaga yang ada itu dan digabungkan pula dengan sistem Shift Assistant Pro, pecutan lebih lancar dan linear, sesuai untuk tunggangan jarak jauh mahupun menyusuri bandar.

Kedudukan tempat duduk hanya sekitar 754mm, cukup rendah dan sesuai untuk semua jenis penunggang. Sebaik sahaja melabuhkan punggung, saya tahu BMW ini bakal memberikan rasa kendalian yang mudah dan tangkas khususnya ketika menikmati laluan-laluan berselekoh.

Ia hadir lengkap dengan ciri-ciri moden seperti ABS Pro, Dynamic Traction Control (DTC), dan mod tunggangan “Rock” dan “Roll”, dua mod tunggangan yang boleh dipilih oleh penunggang pada bila-bila masa. Ya...setiap mod ini mengubah karakter motosikal mengikut citarasa masing-masing. Semua talaan ini pula dapat diakses dengan cukup mudah menerusi suis-suis yang terdapat pada bar hendal BMW ini.

Tidak cukup itu, model ini juga disempurnakan dengan ciri menarik seperti Cruise Control, sistem kunci pintar, port USB, pemanas pendikit, dan sistem Hill Start Assist. Segala ciri-ciri tersebut menambah keselesaan dan sangat membantu terutamanya mereka yang sering mengembara jauh. Tidak ketinggalan juga sistem lampu Adaptif dan Emergency SOS yang menunjukkan betapa seriusnya BMW dalam aspek keselamatan.

Menunggang R 12 adalah pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata, saya jujurnya memang cukup berpuas hati. Posisi duduk yang terbuka, getaran semulajadi enjin boxer, dan bunyi ekzos yang ‘berjiwa’ memberikan rasa klasik yang sukar ditandingi. Bercerita tentang bunyi ekzos R 12 ini, ramai yang katakan ia cukup senyap sehingga hilang terus sifat garang enjin boxer.

Harus diingat, banyak motor-motor baru sekarang ini tidak lagi bersuara 'segarang' seperti dulu kerana perlu mematuhi piawaian Euro 5 tetapi kalau minat nak tukar dengan aksesori yang dijual berasingan, silakanlah!

Walaupun berkuasa 1,170cc.... motosikal ini tidak memaksa kita untuk menunggang laju, sebaliknya ia mengajak kita untuk menikmati setiap kilometer perjalanan. Saya benar-benar teruja dengan hantaran kuasa dan kemantapan casis jentera ini ketika berada di laluan berselekoh. Baringkan sahaja jentera seberat 227kg ini dan ia 'melekat' elok di atas jalan raya. Satu persatu selekoh dapat kita ratah dengan yakin. Puas!

BMW melengkapkan R12 ini dengan fork hadapan jenis USD, dipadankan pula dengan penyerap hentak tunggal boleh laras yang cukup selesa untuk menunggang solo dan berdua. Ketika di dalam bandar, bunyinya yang sedap menarik minat ramai orang, tambahan pula logo 'legend' yang terpapar di sisi tangkinya yang bersaiz 14 liter ini. Mungkin catatan perjalanan saya tidak sejimat rakan lain. Saya hanya dapat merekod perjalanan sekitar 270 kilometer sahaja dengan satu isian penuh. Best sangat motor ni...nak pecut sahaja barangkali!

Untuk memberhentikan jentera ini dengan pantas juga tidak ada masalah. R 12 didatangkan dengan sepasang brek cakera 310mm (depan) dan 265mm (cakeran tunggal) di bahagian belakang yang mengawal pergerakan tayar-tayar 'Bee Emm' ini (100/90 R19 - depan, 150/80 R16 - belakang) dengan cukup cemerlang.

Secara keseluruhan, BMW R 12 2025 adalah motosikal yang sempurna untuk penunggang yang mahukan gaya klasik dengan jiwa moden. Ia bukan sahaja direka untuk bergerak dari titik A ke B, tetapi untuk dinikmati di sepanjang jalan. Dengan paduan warisan, teknologi, dan reka bentuk, R 12 membuktikan bahawa kadangkala, untuk bergerak ke hadapan, kita perlu menoleh ke belakang — dan menghargai keindahan masa lalu yang dibawa ke masa kini.

BMW R 12 dijual pada harga sekitar RM123,000 di Malaysia, satu angka yang meletakkannya dalam kategori premium. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang menghargai kualiti buatan Jerman, nilai warisan dan teknologi terkini, harga ini adalah pelaburan yang berbaloi. RR

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

Boon Siew Honda kini memeprkenalkan versi edisi khas ADV160 yang diinspirasikan daripada watak superhero ikonik Marvel iairu Spider-Man.

Berita Kelab

Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

Konvoi Kembara Road Rider Crew Taiping (RRCT) 3.0 dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-4 kelab

Pandu Uji

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Kalau kita bercerita tentang jentera jalanan atau Streetbike kelas pertengahan yang betul-betul seimbang dari segi power, pengendalian dan feel tunggangan, Triumph Street Triple 765 adalah antara yang paling cemerlang.

Dari Litar

Motul Jadi Penaja Rasmi Pasukan Honda Racing Malaysia bagi Musim 2026

Motul kini penaja rasmi bagi pasukan Honda Racing Malaysia untuk tahun 2026.