HONDA CB1000 HORNET SP - Naked Bernadikan Superbike
Nama Hornet sangat sinonim dengan jentera naked Honda bermula daripada model-model berkapasiti sederhana di pasaran Eropah dan Asia sehinggalah evolusinya mencapai kemuncak dengan kemunculan Honda CB1000 Hornet SP. Honda memilih nama Hornet (Tebuan) untuk menggambarkan karaktor sesebuah motosikal itu laju, lincah dan agresif, sesuai dengan konsep naked bike yang ringan tetapi bertenaga.
Honda CB1000 Hornet SP 2025 telah memasuki pasaran negara pada awal bulan Mei 2025 sempena pamera Malaysia Autoshow 2025. Apa yang lebih mengejutkan lagi Boon Siew Honda telah menawarkan harga asas model ini bermula RM69,999 walaupun kapasiti enjinnya 1000cc dan mempunyai ciri-ciri berprestasi tinggi.

Dari segi pandangan kami, model ini menampilkan gaya 'streetfighter' yang menawarkan garisan sudut tajam dan minimalis. Warnanya memang eksklusif, hanya ditawarkan satu pilihan sahaja iaitu Matte Ballistic Metallic. Penggunaan warna tersebut telah menambahkan lagi aura premium. Bukan itu sahaja, fork hadapan dan rim berwarna emas, kemasan halus pada ekzos serta tangki bahan apinya membuktikan Honda memberikan perhatian khusus kepada perincian. Setiap elemen-elemen yang ada jelas memberikan imej CB1000 Hornet SP ini lebih mewah, moden serta sporty.
Semasa kami mengambil unit tunggang uji ini, dalam fikiran kami terfikir.. "fuhh 1000cc motor ni mesti hantaran kuasa dan tork dia kuat". Kami pusing keliling jentera ini dari tepi badannya memang tegap dan lampu utama cukup garang sekali. Sebaik sahaja duduk diatasnya, tinggi pelana tidaklah terlalu tinggi iaitu sekitar 809mm sahaja. Untuk penunggang yang berkentinggian lebih kurang 180cm memang cukup ngam la. Handel barnya memang lebar kalau nak buat pusingan "U" pun mudah tapi kena berhati-hati sebab bila kita dah bawa motor yang besar ni berat dia berbeza dengan motosikal-motosikal kecil.

Suis penghidup di sebelah kanan mula ditekan, jelas terbukti bunyi enjin empat silinder ini cukup lembut. Makin galak kita pulas pendikit makin garang bunyi yang keluar dari sistem ekzos. Walaupun model ini bersegmenkan hypernaked tetapi enjinnya bernadikan jentera superbike kerana CB1000 Hornet SP dijana oleh enjin 1,000cc, empat silinder sebaris, DOHC, sistem penyejuk cecair yang diambil daripada CBR1000RR Fireblade 2017. Namun Honda telah membuat penalaan semula supaya jentera ini sesuai untuk penggunaan harian. Hasilnya, jentera ini mampu menghasilkan kuasa 155hp pada 11,000rpm dan tork 107Nm pada 9,000rpm.
Kami tunggang motosikal ini menghala ke Lenggong, Perak memandangkan ada acara terkemuka di sana. Perjalanan kami bermula dari Kuala Selangor menghala ke Sabak Bernam dan kemudian memasuki lebuhraya WCE (West Coast Expressway). Perjalanan menjelang senja sangat tenang bersama SP ini walaupun pada waktu puncak. Walaupun mempunyai rekabentuk badan yang besar (tidaklah terlalu besar) untuk mencelah di antara kenderaan sangat mudah. Berat jentera 212kg manakal penunggang sekitar 80kg, jentera terasa sangat stabil untuk tarik ke kiri dan ke kanan. Cermin sisinya lebar dan jelas untuk melihat bahaya dari belakang. Jentera ini mempunyai empat jenis mod iaitu STANDARD, SPORT, RAIN & USER. Untuk tunggagan di dalam bandar dan santai kami memilih mod Standard terlebih dahulu.

Macam yang kami beritahu pada awal perenggang model ini memang dibina sebagai mesra penunggang. Walaupun kami pulas pendikit dengan lebih sewaktu mula bergerak, kuasa tork pada jentera tidak terlalu mengejut dan sangat mudah untuk tunggang jentera ini. Sistem elektronik seperti Wheelie Control juga telah bekerja dengan begitu baik. Roda depan tidak mudah terangkat walaupun kami pulas pendikit dengan lebih galak lagi.
Sebaik sahaja melepasi tol Lekir di lebuhraya WCE, inilah masa yang terbaik untuk menguji karakter enjin pada model SP ini memandangkan tidak banyak kenderaan yang lalu di sini. Dari mod STANDARD kami tukar kepada SPORT untuk membuka kuasa enjin sepenuhnya. Respon di antara pendikit dan enjin lebih pantas ditambah pula adanya sistem Ride-by-Wire. Enjin Brakingnya juga lebih kuat untuk membenarkan kita memasuki laluan berselekoh dengan mudah seperti menunggang model CBR. Walaupun jentera dalam keadaan mod SPORT, sistem kawalan elektronik lain seperti Weelie Control dan Traction Control masih aktif tetapi dalam tahap yang minimum. Untuk mod User pula penunggang boleh membuat talaan sendiri mengikut keselesaan masing-masing.

Sistem trasnmisi 6-kelajuan pada SP ini sangat menyeronokkan. Ditambah pula ada teknologi Quickshifter dengan pelarasan tiga tahap memang cukup mengagumkan. Oleh kerana kami menunggang seorang (tanpa penunggang), level 2 sudah memadai untuk memecut dilebuhraya. Respon kemasukan gear lebih cepat tetapi masih lagi lembut dan kurang hentakan. Sesuailah kalau untuk tunggangan harian dan layan laluan-laluan berselekoh. Tetapi kalau nak layan track hujung minggu Quickshifter Level 1 lebih sesuai untuk tunggangan lebih agresif. Manakala sistem Slipper Clutch untuk mengurangkan kejutan pada roda belakang apabila penunggang membuat penukaran gear rendah secara mendadak. Kelebihan ini memudahkan kami untuk mengambil selekoh dengan lebih stabil dan terkawal.
Model ini menggunakan kerangkan jenis twin-spar keluli yang dikatakan 70% lebih tegar berbanding CB1000R lama. Memang cukup stabil pada kelajuan yang maksimum mahupun ketika mengambil selekoh manakala tahap kelajuan SP ini boleh melebih 200km/j. Posisi tunggangan amat selesa sekali tidak terlalu memenatkan untuk mengembara jauh. Walaupun kedudukan penunggan menegak tetapi masih lagi sporty. Bahagian tangki 17 liternya yang ramping memudahkan kami untuk mengepit kaki ketika memecut.
Untuk bersesuaian dengan teknologi terkini, Honda CB1000 Hornet SP dilengkapi paparan meter TFT bewarna 5 inci yang memaparkan segala info dengan jelas dan moden. Terdapat juga teknologi Honda RoadSync di mana penunggang boleh menghubungkan telefon pintar untuk mengawal fungsi navigasi, muzik dan panggilan telefon secara terus di meter. Lampun latar belakang paparan meter juga akan berubah secara automatik sebagai contoh pada waktu siang berwarna Putih apabila waktu malam akan bertukar kepada warna Hitam.
Kami tiba di pekan Kuala Kangsar sekitar 9.00 malam. Lampu utama pada SP ini bukan sekadar komponen cahaya tetapi merupakan identiti yang membentuk karakter motosikal ini. Rupabentuk bahagian hadapan memnang agresif dengan sepasang rekabentuk lampu depan yang tajam bersama teknologi DRL seakan "mata serangga", sesuai dengan gelaran Hornet. Lampu utamanya adalah jenis LED Projector yang menawarkan pencahayaan lebih terang dan jelas. Lampu belakang dan lampu isyaratnya juga jenis LED. Selain itu, terdapat juga ciri Emergency Stop Signal (ESS) di mana lampu kecemasan akan hidup secara automatik apabila membrek dengan mengejut.

Selepas seharian bermalan di Kuala Kangsar, keesokannya kami mula bergerak awal pagi menghala Lenggong, Perak. Jalan di sini pada waktu pagi memang tenang ditambah pula angin dingin dan pemandangan gunung ganang serta kampung. Kelincahan pada CB1000 Hornet SP semasa mengambil selekoh terbukti menerusi penggunaan tayar bersaiz 120/70ZR-17M/C (depan) dan 180/55ZR-17M/C (belakang). Sistem brek pula menggunakan koponen bertaraf superbike.
Bahagian hadapan menggunakan cakera berkembar 310mm dengan kaliper jenis Brembo Stylema dan belakang pula tampil dengan cakera tunggal 240mm. Model SP ini tampil dengan sistem ABS dua saluran. Keseimbangan jentera turut disumbangkan oleh saspensi jenis fork USD Showa SFF-BP 41mm boleh laras sepenuhnya. Bahagian belakang pula tidak terasa membuai semasa memiringkan motosikal ini kerana disempurnakan dengan penyerap hentak tunggal Ohlins TTX 36.
Boleh kami katakan Honda CB1000 Hornet SP amat berbaloi untuk dimiliki kerana bukan sahaja memilik prestasi yang mantap tetapi dari segi harganya juga lebih murah berbanding pesaing-pesaingnya. Model ini juga merupakan pilihan ideal buat penunggang yang ingin mahukan sebuah motosikal seperti superbike tetapi dalam pakej naked. RR
Spesifikasi
| Enjin | Empat silinder, DOHC, Sistem Penyejuk Cecair |
| Kuasa maksimum | 155HP pada 11,000rpm |
| Tork maksimum | 107nm pada 9,000rpm |
| Berat | 212kg |
| Transmisi | 6-kelajian Dengan Bantuan Quickshifter |
| Brek | Cakera Berkembar 310mm Dengan Kaliper Brembo Stylema, ABS (Depan) & cakera tunggal 240mm, ABS (Belakang) |
| Saspensi | Fork USD Showa SFF-BP 41mm (Depan) & Penyerap Hentak Tunggal Ohlins TTX 36 (Belakang) |
| Tinggi pelana | 809mm |
| Isi tangki | 17 liter |
| P x L x T | 2,140mm x 790mm x 1,085mm |
Popular




