Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 11 Januari 2016

KTNS Z ONE S 200 Jimat & Menawan Hati

Selepas menikmati penga-laman menarik memacu RS3 (model dual purpose) tempohari, sudah pasti kami tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui bagaimana pula rasanya menunggang model jalanan, KTNS Z One S 200. Ya betul... jawapan awal yang dapat kami berikan jika para pembaca merasakan bahawa rekabentuk model ini memang cukup cantik dan menawan. Itulah kekuatan utama Z One S 200!

Model ini dilancarkan pada Februari 2014 dan produksinya bermula dua bulan kemudian. Sehingga kini, lebih daripada 120 unit Z One S telah berjaya dijual dan terima kasih kepada KTNS Holdings Sdn Bhd atas kesudian memberi kepercayaan kepada RR untuk menguji jentera ini dan terus terang kami katakan, tarikan utama streetbike ini ialah pada keunikan dan saiz besar lampu utamanya. Dari jauh ia tampak seperti sebuah jentera lebih daripada 500cc – suluhannya terang dan jelas sekali.

Tangkinya yang bersaiz 18 liter berbentuk ringkas, mudah untuk kita mengepit dan posisi menunggang juga natural. Sudut pelana buat pembonceng juga direka dengan baik, tidak mengganggu manakala bar pemegang membuatkan pembonceng lebih selesa. Sistem ekzos jentera ini ringkas tetapi menawarkan bunyi yang segar dan sedap didengar. Gabungan antara warna merah, hitam dan kelabu menyerlahkan lagi keanggunan jentera tidak kira ke mana sahaja kita berhenti, pasti ada mata yang menjeling.

Z One S boleh dihidupkan dengan menggunakan suis penghidup elektrik atau menerusi kaedah menendang. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, kami dapat rasakan putaran enjin satu silinder, empat lejang, 198.8cc ini berputar dengan lancar sekali. Pulaslah sesuka hati pendikit itu, respon yang tepat membuatkan kita tidak sabar-sabar lagi memacunya ke hadapan. Panel meter KTNS ini terdiri daripada penunjuk digital (kelajuan, jarak perjalanan, tahap bahan api dan posisi gear) manakala bacaan tahap putaran rpm ditunjukkan pada meter analog.

Sebaik sahaja bergerak, posisi menunggang yang natural dan pelananya yang besar memberi keselesaan buat penunggang tinggi mahu pun yang rendah. Paling kami sukai ialah kelembutan dan kelancaran klac dan sistem gearnya – setiap posisi gear dapat dilakukan dengan pantas dan tepat. Kelancaran penggunaan gear ini amatlah dialu-alukan terutamanya ketika menunggang di jalan-jalan berselekoh kerana kesilapan memasukkan gear boleh mengundang padah. Walaupun model ini didatangkan dengan hendal jenis clip-on, ia tidak boleh dilaras mengikut kemahuan pemiliknya namun begitu posisi sedia ada sudah cukup selesa.

Dalam gear-gear rendah, KTNS ini memang cukup senyap tetapi bunyinya semakin garang apabila kelajuan meningkat. Bagaimana pun, bunyi sistem ekzos ini langsung tidak bingit. Berkedudukan gear ketiga, enjin Z One S yang bersesaran 198.8cc ini boleh ditarik sehingga mencecah garisan merah (10,000rpm) dengan kelajuan sekitar 105km/j manakala gear keempat dapat diperah ke tahap maksimum (10,000rpm) pada kelajuan 115km/j dan kelajuan tertinggi yang dapat dicapai ialah 130km/j pada kedudukan gear tertinggi manakala posisi badan dibongkokkan sedikit. Walaupun begitu, jentera KTNS ini lebih sesuai ditunggang pada kelajuan sekitar 100-110km/j.

Memecut laju memang mengujakan tetapi hakikatnya, tunggangan santai jauh lebih seronok. Mengapa? Jawapannya... apabila menunggang dengan kelajuan yang sederhana, kita dapat melihat keindahan suatu tempat itu dengan lebih baik, dapat mengelakkan daripada saman melebihi had laju, dapat mengurangkan risiko enjin rosak dan paling penting tentulah dapat bertindak dengan lebih awal jika berlakunya kecemasan.

Dengan kuasa maksimum 11kW pada 7,500rpm dan tork 12.5Nm pada 6,500rpm, jentera ini tidak membosankan ketika berada di lebuhraya. Apa yang boleh diperbaiki ialah kekuatan torknya dari kedudukan gear pertama, kedua dan ketiga yang dirasakan agak lambat terutamanya sekali apabila memecut dari keadaan melahu. Menunggang dengan sebuah motosikal jalanan yang dilengkapi dengan cermin sisi yang besar cukup meyakinkan – tidak perlu ambil masa yang lama untuk kita memerhati keadaan trafik di belakang, cukup dengan sekali jeling sahaja.

Kekuatan tork KTNS ini sekali lagi teruji apabila berada di laluan berbukit. Untuk pendakian yang lebih menyeronokkan, penunggang perlu bijak memilih posisi gear yang sesuai agar pecutan tidak terganggu. Dengan Z One S ini ia mudah dilakukan kerana panel meternya lengkap dengan penunjuk kedudukan gear. Keasyikan menunggang di kawasan berbukit bukan sahaja disebabkan suasana yang menenangkan, tetapi juga kerana kita begitu yakin meratah selekoh-selekoh ini dengan kemas. KTNS telah melengkapkan mesinnya ini dengan tayar-tayar yang menggigit permukaan jalan dengan baik sekali. Saiz tayar hadapan (90/90-17) dan tayar belakang (110/80-17).

Berbekalkan kerangka jenis cradle yang bertegaran tinggi, penunggang akan merasakan jentera ini amat stabil ketika 'ditarik' di kiri dan ke kanan ketika masuk/keluar selekoh. Kita tidak terasa tubuh badan Z One S ini melayang-layang walaupun memiringkannya dalam kelajuan yang agak tinggi. Prestasi ini juga disumbangkan oleh penyerap hentak hadapan dan belakangnya yang cukup efektif. Apa yang agak mengecewakan ialah sistem brek hadapannya yang kurang efisien berbanding brek belakang yang betul-betul best!

Bagi mereka yang suka menunggang di waktu malam, KTNS ini memang sesuai kerana lampu-lampu yang dilengkapi pada jentera ini cukup terang terutama sekali lampu utamanya! Lampu belakang jenis LED yang disusun dengan kemas bukan sahaja cantik tetapi juga memudahkan kita dilihat dari belakang. Kita juga mudah melihat segala informasi yang tertera di paparan meter digital berwarna biru. Cuma pada waktu siang, lampu penunjuk isyarat kurang jelas akan mengakibatkan penunggang terlupa untuk menutup suisnya kembali.

Walaupun Z One S ini dikuasakan oleh sistem bahan api jenis karburetor, tahap penjimatan bahan api model ini sangat memberangsangkan. Ia dibawa mendaki, memecut ke tahap maksimum di lebuhraya, mengharungi cuaca terik dalam bandar sesak dan 'meleper' di jalanan berselekoh yang berjarak lebih 300 kilometer, namun begitu KTNS ini masih segar bergerak. Bayangkan prestasinya jika dilengkapkan dengan sistem pancitan bahan api? Pasti lebih puas mengembara bersamanya!

Z One S 200 ditawarkan pada harga asas RM6,900 manakala model Z One S 200R (model berfairing) pula boleh dimiliki pada harga RM7,700. RR

Isu Pada

Januari 2016

Spesifikasi

Enjin: silinder tunggal, empat lejang, SOHC, sistem penyejuk udara
Isi padu: 198.8cc
Gerek x Lejang: 65.5mm x 59mm
Kuasa maksimum: 11Kw pada 7,500rpm
Tork maksimum: 12Nm pada 7,250rpm
Transmisi: 5 kelajuan
Tayar: 90/90-17 (depan) & 110/80-17 (belakang)
P x L x T: 2,025 x 760 x 1,105mm
tangki: 18 liter
Berat: 130kg

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

Hakim Danish Ramli meneruskan rentak konsisten salam saingan Moto3 apabila menamatkan perlumbaan di GPAragon di tempat ke-12.

Brixton Moucca 250 & ARIIC TOUCH 250 Sudah Berada di Pasaran

Skuter gaya retro, Brixton Moucca 250 dan skuter maksi moden,, ARIIC TOUCH 250 kini telah rasmi berada di pasaran negara.

Warta Roda

Program Penggantian Muffler QJMOTOR AX200S Diteruskan

Susulan pelaksanaan program panggil semula bagi penggantian komponen muffler motosikal QJMOTOR AX200S.

Pandu Uji

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Honda memperkenalkan teknologi E-Clutch yang merupakan satu sistem agak kedengaran asing bagi sesetengah penunggang terutama untuk jentera supersport.