Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Jun 2018

Modenas Dominar D400 Akhirnya Di Pasaran

Akhirnya model yang ditunggutunggu, MODENAS Dominar D400 telah dilancarkan pada pertengahan April lalu. Hasil kerjasama di antara MODENAS dan Bajaj Auto Limited ini berjaya mengembalikan segmen sport touring jenama MODENAS seperti mana kejayaan yang pernah ditempa bersama model Jaguh yang cukup popular pada tahun 1999 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif – Pengagihan Automotif, Pertahanan, Pembuatan & Kejuruteraan DRB-HICOM Berhad, Dato' Abdul Harith Abdullah yakin bahawa Dominar D400 ini mampu menarik minat netizen khususnya penunggang motosikal menerusi rekabentuk yang moden dan harga jualan yang kompetitif. Dominar D400 adalah antara model paling sesuai untuk kegunaan kerja harian dan pengembaraan pada hujung minggu.

Dari kiri: En. Amirudin Abd Kadir, Dato’ Abdul Harith Abdullah dan En. Dinesh Kulkarni melancarkan Modenas Dominar D400.
Dari kiri: En. Amirudin Abd Kadir, Dato’ Abdul Harith Abdullah dan En. Dinesh Kulkarni melancarkan Modenas Dominar D400.

“Permintaan terhadap motosikal street dijangka meningkat disebabkan ramai yang memilih gaya hidup pantas untuk dinikmati. Kejayaan Pulsar dan V15 di pasaran tempatan telah mengukuhkan lagi kepercayaan kami bahawa masanya telah tiba untuk memperkenalkan produk terbaru ini yang sudah tentu akan meningkatkan pengalaman menunggang motosikal,” tambah beliau.

Naib Presiden Bajaj Auto Limited, En. Dinesh Kulkarni menyatakan bahawa Dominar D400 dihasil untuk memberikan keseronokan pengembaraan buat semua pemiliknya dan dibuktikan dengan kadar permintaan yang semakin bertambah di seluruh dunia seperti Latin Amerika, Eropah, Asia Selatan dan kini di Asia Tenggara.

Wajah Dominar D400 kemas dengan lampu-lampu LED yang cerah dan bergaya. Panel meternya cukup mudah dilihat manakala kerangkanya yang tegar memberikan tunggangan cukup mantap dan stabil. Dominar D400 dilengkapi dengan enjin empat lejang 373cc yang menawarkan kuasa maksimum 35hp pada 8,000rpm dan tork 35Nm pada 6,500rpm. Enjin ini dipadankan dengan sistem transmisi 6 kelajuan yang diperkemaskan bersama sistem slipper clutch dan ABS.

Kali pertama kami berpeluang menunggang uji jentera ini ialah ketika bersama-sama MODENAS di kilang Bajaj, Chakan, India pada September lalu. Jujurnya, kemampuan dan prestasi jentera ini benar-benar mengagumkan. Tidak dapat kami lupa bagaimana jentera ini cukup mudah dikendali walaupun buat kali pertama menunggang di litar eksklusif tersebut. Kembali ke Malaysia. Untuk membuktikan keupayaan jentera ini, pihak MODENAS telah menganjurkan sesi tunggang uji bersama media yang diadakan tidak lama selepas ia dilancarkan. Perjalanan dari Shah Alam – Bentong – Janda Baik – Shah Alam dianggarkan sejauh 170 kilometer yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berjaya memberi kami pengalaman menunggang Dominar D400 di pelbagai jenis jalan. Posisi menunggangnya cukup natural dan selesa – sesuai untuk semua jenis penunggang, tidak kira tinggi atau rendah. Ruang di antara bar hendal dan penunggang yang luas menawarkan kawalan dan kemudi lebih mudah di pelbagai sudut.

Apabila berada di lebuhraya, kami mengoyak pendikitnya dengan lebih galak untuk memecut dan adakalanya untuk memintas kenderaan lain. Dari kiri: En. Amirudin Abd Kadir, Dato’ Abdul Harith Abdullah dan En. Dinesh Kulkarni melancarkan Modenas Dominar D400. Lampu penukaran gear berkelip-kelip ketika 6,000rpm dan ketika berada dalam gear kelima enjin dirasakan mengalami sedikit sentapan pada 9,000rpm dan serta merta hilang sebaik sahaja kita menambah gear. Sedikit gegaran pada bahagian hendal apabila kelajuan ditambah pencecah 120km/j tetapi ia tidaklah sehingga mengganggu perjalanan.

Kami dapat mencatatkan laju maksima sekitar 160km/j dan dengan kerangka yang teguh, tiada langsung rasa bergoyang atau terhoyong-hayang dalam kelajuan begini. Tunggangan di lebuhraya Karak pada hari-hari biasa memang sangat selesa berbanding hujung minggu. Dengan trafik yang lancar, dapatlah kami menikmati kelincahan Dominar ini waktu mendaki. Brek enjin yang sederhana juga menawarkan tunggangan di jalanan berselekoh dengan lebih meyakinkan.

Ketika tiba di bandar Bentong, kami terpaksa berhadapan dengan pergerakan trafik yang agak perlahan di dalam cuaca terik. Walaupun begitu, sistem sejukan jenis cecair yang dilengkapkan pada model ini bertindak cemerlang – langsung tiada terasa panas lampau. Turut membantu perjalanan di tengah bandar cukup menyenangkan ialah sistem transmisi dan klacnya yang lembut sekali. Oh ya! Barisan lampu-lampu LED di bahagian belakang terang dan sangat jelas untuk dilihat – kami sukakannya!

Sebaik sahaja keadaan kembali lancar, pendikit dipulas semula untuk ke check point pertama, restoran Lemang To'Ki. Restoran tersebut sememangnya menjadi pilihan para penunggang motosikal untuk menikmati lemang, rendang ayam, daging bakar, ayam bakar dan pelbagai juadah lain yang cukup lazat. Mujur kami datang pada hari biasa... tak ramai sangat. Kalau hujung minggu, penuh dengan pelanggan yang datang dari seluruh negara.

Ketangkasan Dominar D400 sekali lagi diuji. Kali ini di laluan berselekoh tajam dari Bentong ke Janda Baik. Kemampuan jentera ini mengikut dengan baik kehendak penunggang bukan sahaja mengujakan tetapi memberi keyakinan untuk kita menunggang dengan lebih baik. Dengan tapak roda 1,453mm dan hanya 183kg, model baru ini benar-benar mudah untuk dibawa ke semua lokasi.

Untuk kecekapan di pelbagai jenis laluan, Dominar D400 didatangkan dengan brek hadapan 320mm dan brek belakang 230mm jenis Bybre yang benar-benar berkualiti tinggi. Sebagai info, Bybre adalah singkatan daripada 'By Brembo' yang merupakan produk Brembo yang dihasilkan untuk motosikal dan skuter bersesaran kecil dan sederhana. Dominar D400 juga dilengkapi dengan sistem ABS dua saluran.

Kebijaksanaan para jurutera dalam pembikinan model ini wajar dipuji kerana penelitian yang berjaya dilakukan pada model ini. Apa yang kami maksudkan ialah suis-suis di bar hendal model ini bercahaya (berwarna biru) dan dapat dilihat dengan terang sekali terutamanya di waktu malam. Ini membantu kita dapat menggunakan segala suis dengan mudah dan cepat.

Ternyata Dominar D400 direka untuk memberikan kepuasan buat semua jenis penunggang. Ia bergaya... mudah dikendalikan... selesa…. selamat dan paling penting tentulah pada harganya yang sangat berpatutan. Harga pengenalan Dominar D400 ialah RM13,788 (tidak termasuk GST) dan ia adalah untuk jangka masa yang terhad. Jadi…. jangan tunggu lama-lama ya! RR

Isu Pada

Jun 2018

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

Akid Aziz sertai pasukan VOGE AS25 Racing Team dalam saingan CP150.

Dari Litar

Hakim Danish Mahu Bangkit Semula di GP Aragon

Hakim Danish Ramli bersedia melupakan kekecewaan di Silverstone dan mengalihkan fokus kepada misi kebangkitan pada GP Aragon.

Model Baru

Cyclone RT5 Tampil Dengan Ciri Premium - Bermula RM16,888

Cyclone RT5 kini rasmi masuk pasaran tempatan menerusi majlis perasmian Mforce Smartshop KW Keat Wei Motor Sdn. Bhd. di Alor Setar, Kedah.

Pandu Uji

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda 'Africa Twin' memperoleh reputasinya bermula pada tahun 1980-an apabila syarikat pengeluar motosikal dari Jepun ini membuat keputusan untuk sertai perlumbaan lasak, Rally Paris-Dakar.