Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 5 November 2020

Yamaha MT-10: Raja Pecut Jalanan

Wajahnya sahaja sudah cukup menggiurkan dengan dua buah lampu utama jenis LED yang terpampang di hadapan - mengingatkan kita dengan watak Bumblebee dalam filem Transformers. Memang cukup unik dan lain daripada yang lain... lebih-lebih lagi apabila matahari mulai terbenam. Cukup hebat! Jika niat Yamaha untuk jadikan MT-10 ini sebuah produk yang mampu menyerlah 'seorang diri' di tengah-tengah khalayak ramai, memang mereka berjaya!

Bahagian sisi jentera ini padat dengan enjin empat silinder sebaris CP4 (4-Cylinder Crossplane) yang dikongsi dengan jentera terulung Yamaha R1. Enjin CP4 ini menawarkan kuasa setinggi 158.2bhp pada 11,500rpm dan tork maksimum 112.53Nm pada 9,000rpm – hebatkan? Itulah dia Yamaha MT-10, sebuah jentera jalanan bersesaran 998cc yang dicipta sepenuhnya berasaskan teknologi perlumbaan.

Ramai orang beranggapan MT-10 merupakan model R1 yang diubah menjadi streetbike dan walaupun sedap untuk diucap tetapi hakikatnya ia tidak begitu. Memang benar enjinnya mempunyai persamaan tetapi tidak banyak. Contohnya kepala silinder model ini direka baru, kebuk pembakaran, omboh dan rod juga baru. Walaupun begitu, sebaik sahaja kita menekan suis penghidupnya... deruman enjin yang terhasil menyebabkan masih terasa jauh di sudut hati bahawa MT-10 ini memang 'sebijik' dengan R1. Betul!

Panel meter ringkas, jelas dan menarik. Segala informasi penting dapat dibaca dengan mudah tidak kira siang atau malam. Untuk keseronokan menunggang, MT-10 dilengkapkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Standard, A dan B serta sistem traction control (TC) tiga tahap yang kesemuanya boleh ditukar mengikut kemahuan setiap penunggang.

Walaupun nampak besar dan amat bertenaga, posisi menunggang MT-10 cukup selesa. Ruang yang banyak di bahagian pelana membolehkan kita (penunggang) mengendalikan jentera ini dengan mudah walaupun di dalam kawasan terhad. Tangki 17 liter yang dipadankan pada model ini juga membantu kita mengepit dengan kemas sewaktu memecut laju atau mengawal pergerakan di dalam selekoh.

Keunggulan kuasanya sangat jelas walaupun dalam Mod Std dengan TC1. Kami cukup teruja memecut dalam gear-gear awal kerana tayar hadapannya mudah terangkat. Sayangnya lampu penukaran gear akan menyala sebaik sahaja jarum rpm mencecah 7,000rpm dan pada kami, ia masih terlalu awal untuk kita menambah gear. Untuk mengubah lampu penukaran gear agar berkelip di tahap rpm kepada yang lebih tinggi, jom kami kongsi caranya!

Pertama, matikan enjin terlebih dahulu. Tekan punat 'Clock' lama-lama (jangan angkat jari) dan putar kunci utama kepada 'ON' dan panel meter kita akan bertukar kepada paparan khas untuk membuat talaan. Antara talaan yang boleh kita ubahsuai di dalam paparan ini ialah tahap kecerahan panel meter, tahap kecerahan lampu penukaran gear dan tahap maksima rpm yang kita rasa sesuai. Untuk menambah/mengurangkan talaan, tekan punat 'Reset' dan untuk mengesahkannya, tekan punat 'Clock' semula. Senang sahaja!

Pelananya setinggi 820mm tidaklah terlalu sukar untuk dipanjat dan kami dapati untuk mengubah kedudukan jentera seberat 210kg ini juga tidak memenatkan – janji sudut parkirnya betul. Apabila sudah selesa, MT-10 ini tidak lagi menakutkan. Dengan cukup meyakinkan kita dapat memecut melebihi 220km/j tanpa rasa goyang atau bergegar. Kestabilan MT-10 dalam kelajuan tinggi usahlah diragui cuma ketiadaan cermin pengadang udara sedikit menghalang untuk kita menambah kelajuan – bagus juga, kalau tidak asyik nak pulas sahaja!

Sistem transmisi dan tuas klac yang lembut memudahkan kita menambah dan menurunkan posisi manakala sudah semestinya proses ini lebih licin jika MT-10 dilengkapkan dengan sistem quick shifter seperti model 'adiknya' MT-09. Hantaran kuasa yang cukup galak ini mengajak kita untuk mendaki ke tanah tinggi. Untuk melihat apa lagi kejutan yang boleh diberi oleh Yamaha ini, kami menggunakan mod A dan serta merta kita rasakan tenaga enjin 988cc ini hadir bagaikan seekor pemangsa yang ingin menerkam ke hadapan. Sifat garangnya memang sesuai dengan kami dan tidak keterlaluan jika katakan, ia adalah antara model naked paling puas pernah dirasakan.

Nikmat menunggang di lebuhraya memang amat mengujakan kami. Kerangka aluminium Deltabox yang bertegaran tinggi menjadikan tubuh badan MT-10 ini mudah dibaringkan ke kiri dan ke kanan dengan kemas cuma keadaan tayarnya yang kurang mencengkam memerlukan kami menambah sedikit tenaga untuk terus kekal di laluannya dengan kemas. Tahap kecemerlangan brek cakera jenis hidraulik 320mm (depan) dan 220mm di belakang dipertingkatkan dengan adanya sistem ABS, amat kami sukakan terutamanya ketika berada di jalan-jalan agak licin.

Jalan-jalan di Kuala Kubu memang 'santapan' enak buat jentera naked ini. Keupayaan fork hadapan jenis teleskopik dan saspensi ayun belakang yang mantap berjaya mempamerkan kehebatan MT-10 meratah setiap selekoh dengan cantik. Bahagian hadapan terus kekal stabil walaupun ketika kita memulas pendikit di dalam selekoh untuk dapatkan momentum yang lebih tepat.

Apa yang sedikit mengecewakan ialah keadaan jalan ke Bukit Fraser tidak begitu sempurna – masih banyak tempat yang perlu diperbaiki. Dari mod A, kami kembali menggunakan mod Standard dengan TC2. Dengan tapak roda sepanjang 1,400mm, setiap selekoh kecil/tajam tidak memberikan masalah cuba perlu memilih gear-gear yang sesuai. Dari segi kekuatan untuk memanjat sambil membawa bebanan (dua orang), memang bukan satu masalah buat MT-10. Cuma mendaki di kawasan sebegini lebih kami nikmati ketika menunggang jentera seperti Yamaha Y15ZR, 135LC, NVX155 atau XMax250 yang tidak terlalu besar... dan tidak juga terlalu kecil.

Selepas tiga jam meninggalkan Kuala Lumpur, kami tiba di Fraser's Hill. Puas benar hati apabila berjaya menghirup udara sedar dan nyaman di kawasan berbukit. Pandang semula MT-10, ia bagaikan membisik untuk kembali ke jalanan. Kami cuba menerokai beberapa lokasi popular dan mendapati banyak kedai cenderahati, kedai makan tidak beroperasi manakala hotel-hotel juga tidak semeriah dulu. Mungkin kerana ia bukan hari cuti umum atau di hujung minggu. Pada padangan kami, tempat ini memang cantik dan menarik untuk dikunjungi cuma diharap pihak kerajaan dapatlah mempertingkatkan kualiti jalan untuk ke sini. Jangan hanya menampal jalan sekadar untuk cukup syarat, buat sebaik-baiknya.

Okay... selepas 200 kilometer perjalanan, badan tidak letih, nikmat bermotosikal semakin memuncak tetapi tiba-tiba langit di hadapan semakin kelabu. Dengan pantas kami menukar Mod B dipadankan dengan sistem TC3. Hantaran kuasa lembut sedikit berbanding dua mod yang kami gunakan sebelum ini tetapi jangan sesekali memandang rendah kerana dalam mod ini juga ia mampu dilarikan sehingga 200km/j cuma respon di antara pendikit dan enjin tidak begitu galak. Ketika menuruni kawasan berbukit, komitmen dan keyakinan yang tinggi amat diperlukan agar MT-10 ini terus berada di laluannya dengan betul. Memang agak merisaukan mengendalikan jentera berkuasa tinggi di kawasan yang licin dan berselekoh.

Sebagai penunggang motosikal yang matang, kita sendiri perlu sentiasa lebih sedar dan lebih berwaspada setiap kali menunggang di dalam hujan. Jangan 100% bergantung kepada teknologi walau sehebat mana sekali pun. Gunakan akal yang dikurniakan Ilahi untuk berfikir apakah kelajuan dan corak tunggangan paling baik dan paling sesuai ketika di dalam hujan. Jangan kerana perasaan, nyawa tergadai.

Seperti yang kita tahu sistem TC ini sentiasa akan mengawal dan memantau tahap kegelinciran pada tayar belakang dan apabila ia dikesan, sistem YCC-T (Yamaha Chip Control Throttle) akan bertindak secara automatik untuk mengawal kadar pembukaan pendikit dan tahap suntikan bahan api agar keadaan lebih selamat dan terkawal. Memang sistem ini adalah satu 'hadiah' yang cukup istimewa dalam dunia motosikal.

Apabila kembali berada di lebuhraya – kami terasa lebih bebas, ruang nafas lebih luas untuk meneruskan perjalanan. Walaupun ia adalah sebuah jentera berprestasi tinggi, Yamaha ini sesuai juga untuk tunggangan jauh kerana posisi menunggangnya yang selesa dan.... seperti Super Tenere, ia juga didatangkan dengan sistem Cruise Control yang hanya boleh diaktifkan dalam gear empat, lima dan enam. Tekan butang 'Cruise Control' dan pastikan lampu penunjuknya telah menyala. Selepas berpuas hati dengan kelajuan yang diingini, tekan 'SET' dan bolehlah kita rehatkan seketika tangan kanan. Jika ingin menambah kelajuan, tekan '+' dan punat '-' untuk mengurangkan kelajuan. Untuk mematikan sistem ini, kita hanya perlu menekan brek atau menarik tuas klac. Untuk aktif semula, tekan 'RES' yang bererti Resume.

Nak dijadikan cerita, kami terpaksa berhadapan dengan kesesakan yang luar biasa sewaktu tiba di Shah Alam. Aduh... ruang-ruang yang terhad sebenarnya tidaklah memberi masalah buat Yamaha ini cuma untuk menukar laluan ke kiri dan ke kanan memang cukup sukar. Mujurlah sistem penyejuk MT-10 ini berfungsi dengan baik – tiada terasa panas lampau di mana-mana bahagian yang boleh memberikan rasa tidak selesa buat penunggang. Ini benar-benar melegakan kami kerana setiap saat dilihat suhu enjin semakin meningkat.

Secara keseluruhan, MT-10 sememangnya sebuah jentera jalanan yang unggul dan amat mengagumkan. Rupabentuknya yang benar-benar ganas berjaya diseimbangkan dengan prestasi enjin yang sangat mantap. Hamburan kuasa yang hadir bagaikan tiada sempadan membuatkan setiap detik bersama Yamaha ini memberi keterujaan untuk terus memulas pendikit. Apa yang boleh diharapkan agar mungkin generasi baru MT-10 akan didatangkan dengan sistem quickshifter agar proses penukaran gear dapat dilakukan dengan lebih pantas dan tepat.

Ya... MT-10 adalah jentera jalanan yang unggul dan berpretasi tinggi. Lebih mengagumkan adalah betapa mudah untuk kita bergaya dan beraksi dengannya. Kami puas dengan prestasinya dan puas dengan setiap sudut rekabentuknya. MT-10 berada di kelasnya yang tersendiri. RR

Isu Pada

Ogos 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, 4 silinder Crossplane (CP4), sistem penyejuk cecair, DOHC
Gerek x Lejang:79.0 x 50.8 mm
Kuasa maksimum:158.2 bhp pada 11,500 rpm
Tork maksimum:112.53Nm pada 9,000 rpm
Saspensi hadapan:fork teleskopik KYB 43mm
Saspensi belakang:lengan ayun
Tayar hadapan:120/70ZR 17M/C
Tayar belakang:190/55ZR 17 M/C
Brek hadapan & belakang:cakera 320 mm / cakera 220 mm
Berat:210 kg

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Ducati telah melancarkan edisi istimewa jentera jalanan ikoniknya iaitu Monster, direka khas untuk memberi penghormatan kepada salah seorang juara Formula 1 yang paling terkenal. iaitu Ayrton Senna.

Dari Litar

MSBK1000: Azroy Menang Dengan Bergaya

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan BOON SIEW HONDA RACING TEAM dalam kategori MSBK1000 A mendapatkan kemenangan kedua di pusingan satu MSBK 2024.

Warta Roda

'We Ride As One' 2024: Ducati Menggegar Bandar!

Tahun 2024 merupakan penganjuran acara 'We Ride As One' untuk kali ketiga yang dikhususkan untuk para pemilik Ducati.

Model Baru

Shineray 284 - Moped Menarik Dari China

Pengeluar motosikal dan kereta, Shineray Group hadir ke festival motosikal Canton baru-baru ini dengan menampilkan pelbagai model menarik. Antara yang kami cukup berkenan ialah Shineray 284, sebuah moped yang memiliki rekabentuk cukup mantap!