Isu Terkini

Disember 2023

Pandu Uji / 22 September 2020

Kawasaki Ninja 250 Beraksi Dengan Penuh Gaya

Sejak diperkenalkan pada Julai 2018 di MAEPS, Serdang, Kawasaki Ninja 250 ternyata telah mendapat tempat di hati para pencinta motosikal di negara kita. Ninja 250 kembali dengan gaya dan rekabentuk serba baru yang lebih mantap dan garang berbanding dengan model lama yang diperkenalkan pada tahun 2013 lalu. Kawasaki kini semakin serius menghasilkan sebuah motosikal yang dinamik, anggun dan kompetitif.

Sebaik sahaja dapat duduk di atasnya, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah adakah model ini lebih berkuasa berbanding model terdahulu? Ingin tahu… mari saksikan prestasi dan ketangkasan Ninja 250 baru ini.

Tidak kira melihat dari hadapan ataupun sebelah sisi, model ini mempunyai rekabentuk yang agresif serta menarik dan sentiasa menjadi keistimewaan model Ninja. Ia mampu tarik perhatian ramai ke mana sahaja kita tuju terutama pada golongan muda. Mereka memang sukakan motosikal ini. Sebilangan penunggang di Malaysia hanya memiliki lesen memandu B2 yang membenarkan pemilik lesen ini menunggang motosikal berkapasiti bawah 250cc. Tidak mustahil jentera ini menjadi kegilaan ramai kerana mirip dengan model superbike berkuasa tinggi.

Ninja 250 mempunyai ketinggian pelana pada 795mm yang terbukti mudah dipanjat oleh pelbagai jenis penunggang, lelaki atau kaum wanita. Kawasaki telah mencipta tangki minyak yang tirus untuk memberikan keselesaan kepada penunggang dan gaya yang lebih sporty sewaktu berada di jalan-jalan berliku mahupun apabila memerah pendikit dengan lebih galak sewaktu di lebuhraya.

Enjin berkembar selari, 4 lejang, DOHC 8 injap, sejukan cecair ini boleh dihidupkan dalam satu cara sahaja iaitu elektrik. Seperti biasa enjin jentera Kawasaki baru memang cukup sedap didengar. Walaupun pendikit dipulas, deruman yang segar dan senyap memang mengasyikkan. Kawasaki Ninja 250 menawarkan enjin 249cc yang mempunyai kuasa setinggi 28.5 kW pada 12,500rpm dan tork 23.5Nm pada 10,000rpm yangjelas terasa ketika memulas pendikit dan menawarkan pecutan yang hebat dalam semua kedudukan gear.

Model ini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api. Kuasa tolakan di setiap kedudukan gear memang cukup mengagumkan, ditambah pula dengan pendikit yang lembut dan lancar. Menunggang jentera ini, kita sentiasa mahu memulas aje.

Kemantapan bunyi jentera ini turut dapat kami rasai. Menunggang dalam kelajuan rendah mengeluarkan hasil bunyi pada ekzos yang perlahan. Tetapi pulas sahaja pendikit sehingga putaran rpm mencapai pada 12,000rpm mulalah keluar bunyi yang cukup garang seperti motosikal supersport berkapasiti 600cc ke atas.

Proses penukaran gear cukup kemas serta didatangkan dengan klac Assist & Slipper yang baru mempunyai jarak cengkaman lebih luas untuk memudahkan kawalan. Ia membolehkan kami untuk memintas dan memasuki selekoh-selekoh dengan yakin sekali. Ternyata sistem gear pada model ini dapat berinteraksi dengan cemerlang.

Ketinggian dan kelebaran bar hendalnya yang sempurna memudahkan kita mengendalikan jentera ini. Apa yang menarik pada model Ninja 250 ialah kokpit gred tinggi yang dilengkapi dengan panel meter sama seperti Ninja 650. Pelbagai fungsi pada bahagian meter yang memaparkan kadar kelajuan, putaran rpm, jarak perjalanan, suhu luaran, penggunaan bahan api, suhu penyejuk cecair, penunjuk tunggangan ekonomi dan jam.

Rugilah kalau kita tidak menunggang jauh dengan mesin berkuasa ini. Mari kita menikmati kenunikan menunggang Ninja 250 di kawasan sekitar Melaka. Dengan cuaca yang mula cerah kami memulakan perjalanan ke destinasi yang dituju. Memecut di lebuhraya dengan Ninja 250 sangat mengiurkan.

Kawasaki ini hadir dengan gabungan kerangka ‘trellis’ tegangan tinggi yang ringan sama dengan rekabentuk kerangka pada Ninja H2 memang sangat terbukti ketika ia dipacu ke tahap maksimum iaitu sekitar 190-200 km/j. Dalam kelajuan tersebut, tiada rasa gegaran pada bahagian hendal dan di mana-mana bahagian lain. Sememangnya jentera ini stabil dengan berat kering 164kg.

Sangat mengagumkan semasa kami menunggang model dengan kelajuan tinggi, tubuh kami tidak terasa seperti ditolak angin dengan adanya cermin pengadang. Sudut ketinggian cermin direka dengan sempurna untuk membenarkan udara melalui terus dari hadapan melepasi kepala penunggang.

Kami mula memasuki paya rumput dan singgah di homestay terkenal di negeri Melaka yang menampilkan gaya rumah berbentuk tiga segi iaitu Masbro Village Homestay. Memang sangat cantik dan berwarna warni sehingga membuatkan ramai tertawan akan keunikannya.

Dengan langit yang biru bagaikan mengajak kami memerah pendikit meninggalkan kawasan hijau untuk menikmati keindahan pantai di Pengkalan Balak. Kawasan ini merupakan antara destinasi pelancongan yang cukup popular di Melaka. Bersih dan nyaman untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga. Mujur tidak penuh dengan orang awam, mudah untuk kami menangkap gambar. Pada hujung minggu pasti kawasan ini dipenuhi orang ramai terutama konvoi motosikal berkuasa tinggi atau rendah yang sudah jadi perkara biasa buat penduduk di sini.

Sistem saspensi hadapan jenis teleskopik yang dilengkapi pada Kawasaki Ninja 250 ini cukup efektif dan memberikan hentakan yang lebih baik. Sangat jelas ia dapat dirasakan apabila melalui jalan-jalan yang tidak rata, berlubang dan berbonggol menyebabkan bahagian tangan tidak terasa sakit. Penyerap hentak Bottom-Link Uni-Trak boleh laras di bahagian belakang menyumbang kepada pengendalian yang mantap dan sejati sebuah Ninja terutama ketika meratah selekoh dan membelah lebuhraya.

Menunggang pada waktu malam tidak memberikan satu masalah pun pada penunggangnya kerana menampilkan dua buah lampu LED utama yang cukup terang dan mampu menyuluh keseluruhan jalan. Manakala lampu belakang jenis LED yang diilhamkan oleh Ninja ZX-10R, memudahkan penunggang lain dari belakang dapat melihat kita dengan lebih jelas.

Kita tidak perlu risau menunggang laju dengan Kawasaki Ninja 250 ini kerana dilengkapi dengan brek cakera tunggal 310mm (hadapan) yang sama digunakan pada Ninja ZX-14R dan brek cakera 220mm (belakang) mampu menghentikan mesin ini dengan cekap sekali. Sistem Brek hadapan dengan rekabentuk baru ini dapat menyumbang kepada kawalan yang lebih mantap serta menurunkan kelajuan dengan pantas selepas memecut. Model ini turut dihadirkan dengan Sistem Brek Anti-kunci (ABS) yang terdapat di roda belakang untuk mengawal kegelinciran tayar sewaktu membrek.

Tayar hadapan Ninja ini bersaiz 110/70-17 M/C 54H dan 140/70 M/C 66H (belakang) menawarkan prestasi cengkaman mengasyikkan di atas permukaan tar yang panas mahupun basah. Tukarkan kepada gear yang rendah untuk mendapatkan brek enjin yang sesuai, miringkan sedikit badan jentera ini dan rasakan begitu mudah ia meratah setiap selekoh yang ada. Penunggang perlu bijak mengalihkan tubuh badan dengan tepat ketika membuat miringan supaya dapat berada di laluan dengan kemas.

Walaupun tangki pada Ninja 250 baru yang berkapasiti 14 liter lebih kecil berbanding dengan model terdahulu (17 liter), ternyata ia sangat menjimatkan bahan api. Walaupun perjalanan telah mencecah 250 kilometer masih terdapat satu tahap petrol berbaki tertera di meter digital.

Secara keseluruhannya, ke mana sahaja ingin kita kunjungi, Ninja 250 mungkin boleh jadi teman. Bergaya, mudah dikawal dan cukup pantas dan selesa. Model ini didatangkan dalam dua warna iaitu Passion Red /Metallic Flat Spark Black dan Pearl Solar Yellow / Pearl Storm Gray / Ebony.

Selepas beberapa hari kami uji jentera ini, memang cukup berbaloi untuk dimiliki. Nak keselesaan? Pecutan? Kuasa? Bagaimana dengan harga? Ingin kepuasan bermain corner? Semua boleh dengan Ninja 250 yang ditawarkan pada harga RM23,071.10. RR https://www.kawasaki.com.my

MASBRO VILLAGE HOMESTAY: Terdapat 27 unit rumah tumpangan dan setiap satu boleh memuatkan 4 hingga 6 orang di Masbro Village Homestay. Harga ditawarkan RM288.50 untuk satu malam termasuk caj perkhidmatan. Caj tambahan akan dikenakan sebanyak RM30 seorang jika tempat penginapan melebihi daripada enam orang. Masbro Homestay Village beralamat di Lot 291, Batu 7 •••, Paya Rumput, Jalan Paya Rumput Perdana, 76450 Melaka. Untuk tempahan boleh hubungi di talian 013-3136872 (Mazlan), 0183184872 (Syidah) ataupun secara online di www.masbrovillage.com/booking.php.

Isu Pada

Oktober 2018

Spesifikasi

Enjin:empat lejang, DOHC 8 injap, sejukan cecair
Gerek x Lejang:62.0 x 41.2 mm
Kuasa maksimum:28.5 kW pada 12,500 rpm
Tork maksimum:23.5 Nm pada 10,000 rpm
Saspensi hadapan:fork teleskopik
Saspensi belakang:Botton-Link Uni-Trak
Brek hadapan & belakang:cakera 310 mm / cakera 220 mm
Isi tangki:14 liter

Popular

  • Warta Roda

    HLYM Perkenalkan Warna Baru Yamaha NVX 2024

  • Model Baru

    Shineray 284 - Moped Menarik Dari China

  • Dari Litar

    WorldSBK: Pasukan BMW Makin Ceria Dengan Prestasi Toprak!

  • Model Baru

    Harley-Davidson Tobacco Fade 'Enthusiast Collection'

  • Warta Roda

    Cubaan Meragut Gagal, Suspek Telah Ditahan

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Harley-Davidson Tobacco Fade 'Enthusiast Collection'

Untuk tahun ini, satu lagi siri Edisi Terhad telah diperkenalkan oleh Harley-Davidson (H-D) iaitu Tobacco Fade Enthusiast Collection untuk tiga model iaitu H-D Low Rider ST, Ultra Limited dan Tri Glide Ultra.

Dari Litar

Pusingan Pertama Penuh Cabaran Buat Danish & Danial

Secara keseluruhannya, prestasi yang ditunjukkan oleh para pelumba negara dalam saingan pembukan tirai FIM JuniorGP World Championship 2024 cukup membanggakan.

Warta Roda

Sepasang Suami Isteri Maut, Motosikal Terbabas Ke Laluan Bertentangan

Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabas ke laluan bertentangan.

Suzuki RAIDER R150Fi EWC1 Edisi Khas – Endurance Series dilancarkan. Harga asas RM8,988

AMITEC, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan Sukan Permotoran untuk AFY Mobility Industries (AMI), mengumumkan pelancaran edisi khas RAIDER R150Fi EWC1 Endurance Series.