Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 23 Ogos 2020

Honda X-ADV 750 Impian Setiap Penunggang

Skuter diminati kerana ia senang ditunggang dan praktikal. Jentera pengembaraan pula dicintai kerana ia tawarkan keselesaan dan kelasakan. Apa agaknya yang kita perolehi jika kesemua ciri-ciri tersebut diadun dan diletakkan pada sebuah jentera? Jawapannya ada pada Honda.

Ayuh kita berkenalan dengan sebuah jentera yang dicipta dengan penuh kebijaksanaan, cinta dan ketekunan. Ia tidak lain dan tidak bukan… Honda X-ADV yang bagi kami adalah hasil gabungan atau kacukan di antara sebuah skuter dengan sebuah jentera pengembaraan berkuasa tinggi. Walaupun secara statik, ia nampak seperti sebuah skuter biasa, sebenarnya ia bukan sebuah skuter… X-ADV jauh berbeza!

Dengan penggunaan sistem Dual Clutch Transmission (DCT), enjin 745cc, jentera ini menawarkan tunggangan yang berkualiti dan sangat menyeronokkan. Tidak keterlaluan jika kami katakan hampir semua orang yang melihat jentera ini dari jauh mahu pun dekat akan mengagumi rekabentuknya… apalagi bila mendengar pula kebolehan serta kemampuannya, keterujaan mereka pastinya bertambah.

Lihatlah X-ADV dari sudut mana pun, ianya tampak sempurna dan moden. Bahagian hadapan dikemaskan dengan dua buah lampu LED yang bersinar putih bersih. Cermin pengadang angin boleh dilaras dengan cukup mudah walaupun ketika sedang menunggang. Apa pun, kami menyarankan agar berhentilah terlebih dahulu di lokasi selamat untuk menala ketinggian cermin ini – demi tujuan keselamatan.

Papan lantai dan ruang kaki yang luas membolehkan sesiapa sahaja (penunggang tinggi atau rendah) mengendalikan jentera seberat 238kg ini dengan tangkas. Bahagian peha dan kaki dapat kita letak dan ubah pada posisi yang selesa – ini amat penting bukan sahaja untuk kekal cergas dalam suatu perjalanan jauh tetapi juga memberikan keyakinan untuk mengawal segala pergerakan mesin ini di dalam laluan-laluan berselekoh. Tempat pemijak pembonceng direka cukup bijak... ia terlipat pada bahagian kerangka X-ADV ini dengan kemas dan bagaikan tersembunyi jika tidak digunakan.

Kena ingat juga, pelana Honda ini agak tinggi iaitu 820mm, tidak jauh bezanya dengan ketinggian jentera jalanan atau sport – penunggang baru kena hati-hati. Paparan meter digital cukup canggih dengan info-info yang jelas dan mudah difahami. Tidak sahlah kalau jentera berbentuk ala skuter ini tidak didatangkan dengan ruang bawah pelana ye tak? Benar…. Ruang barang X-ADV ini cukup luas dan dilengkapkan dengan soket 12V untuk mengecas telefon pintar. Nak simpan topi keledar pun boleh! Sisi kanannya paling garang! Telah disempurnakan ruang tersebut dengan sistem ekzos yang direka seperti jentera sport. Selain tampak ranggi, sedikit sebanyak ia memperjelaskan ciri-ciri atau sifat-sifat yang dimiliki oleh Honda ini.

Untuk menjadikannya antara pilihan yang sempurna bagi semua jenis perjalanan, terdapat pelbagai keistimewaan yang dipadatkan pada jentera ini. Pertamanya, kita boleh memilih untuk menunggang X-ADV ini dengan menggunakan sistem transmisi manual mahupun automatik. Pilihan di jari penunggang itu sendiri – hanya dengan menekan butang yang terdapat pada bar hendal di sebelah kanan.

Ketika mula-mula menunggang jentera ini di Litar Antarabangsa Sepang, kami hanya sempat untuk menggunakan sistem transmisi automatik. Hakikatnya, sistem ini bukanlah seperti yang digunakan pada skuter biasa. Ia masih mempunyai gear cuma kemasukan setiap gear dilakukan secara automatik apabila tahap putaran enjin mencapai rpm yang telah disetkan. Apa pun, cinta terus terpaut pada model ini sebaik sahaja memulas pendikitnya untuk mencari laluan terbaik selekoh-selekoh di SIC. Walaupun tidaklah begitu lama dengannya, enjin kembar-parallel X-ADV ini memberikan impak yang cukup besar buat kami khususnya dalam konteks pencapaian menakjubkan para jurutera Honda dengan terhasilkan sebuah produk sehebat ini.

Penggunaan sistem kunci Honda SMART, kita disediakan dengan alat kawalan jauh (remote). Tidak perlu lagi meletakkan kunci pada motor setiap kali ingin menghidupkan enjin. Ia cuma perlu berada pada si penunggang setiap masa (boleh simpan dalam poket) dan apabila jarak di antara penunggang dengan jentera dalam lingkungan dua meter (6.6 kaki), kunci akan berinteraksi dengan sistem elektronik dan Honda ini siap sedia untuk ditunggang.

Para pemilik Honda X-ADV turut diberikan kunci kecemasan yang boleh digunakan untuk membuka pelana. Ruang kunci ini terletak di bawah pelana dan jika penunggang ingin menghidupkan enjin, terdapat beberapa langkah lagi yang perlu dilakukan termasuklah memasukkan nombor pengenalan (ID) motosikal anda.

Satu tombol bulat yang dilengkapkan dengan lingkaran lampu biru akan menyala. Tombol ini perlu ditekan dan kemudian barulah boleh diputar mengikut aras tanda yang ditetapkan. Aras pertama untuk membuka pelana atau tempat petrol (tekan suis di bawah tombol), aras kedua untuk ‘ON’. Untuk memulakan perjalanan (menggunakan sistem auto), terdapat suis di sebelah kiri yang bertanda N (neutral), D (drive) dan S (sport). Dalam mod D, setiap gear (1-6) akan beroperasi ketika putaran enjin mencecah 3,000rpm. Dalam mod ini, ia lebih ekonomi, lebih santai dan cukup sesuai untuk tunggangan di dalam bandar.

Posisi menunggangnya cukup natural… A+ untuk itu! Dengan posisi menunggang selesa, kami menghalakan X-ADV ke arah bandar. Tidak seperti skuter biasa, Honda ini boleh dihidupkan tanpa perlu kita menarik tuas brek dan tanpa perlu mengangkat tongkat sisi. Tetapi… enjin tetap akan mati apabila tongkat sisi diturunkan. Ahhh… respon di antara pendikit dan enjin sangat tepat. Pulas sedikit sahaja kita dapat merasakan enjin bersesaran 750cc ini ‘melonjak’ ke hadapan. Cayalah, Power betul!

Lampu ABS akan terpadam sebaik sahaja kelajuan kita mencecah kira-kira 10 km/j. Cermin pengadang udara direndahkan agar lebih banyak angin kena pada kita – tidaklah panas. Kelincahan jentera ini waktu mencelah memang menyeronokkan ditambah dengan ketinggian pelananya, penunggang dapat melihat keadaan trafik di hadapan dengan mudah. Kita akan dapati ada sedikit sentapan setiap kali gear berubah.

Panel meternya disusun dengan baik untuk memudahkan para penunggang mengenal pasti segala info dengan cepat. Angka terbesar untuk kelajuan di-letakkan di tengah-tengah yang diapit oleh penunjuk rpm, mod tunggangan (D dan S), jarak perjalanan, trip, masa, tarikh, purata rpm, suhu, tahap pemilihan rpm, tahap traction control (TC) dan posisi gear. Tahap kecerahan lampu latar belakang panel meter ini juga boleh dilaras mengikut keselesaan kita. Punat di bahagian atas adalah untuk SELECT dan SET. Memang mudah!

Apabila jalan tidak lagi sesak, pulas sahaja pendikitnya untuk ‘berlari’ kencang ke hadapan. ‘Jantung’ X-ADV ini menawarkan kuasa maksimum 40.3kW (54hp) pada 6,250rpm dan tork setinggi 68Nm pada 4,700rpm yang benar-benar mengagumkan. Kami kemudiannya menukar kepada mod S, karaktor terus bertukar menjadi lebih garang dan lebih agresif. Penukaran gear kini di tahap 6,000rpm. Memang tangkas dan selepas cermin ditinggikan, X-ADV ini sangat stabil untuk mencapai kelajuan maksima sekitar 178km/j. Dalam mod sport juga kita boleh lagi menala tahap putaran rpm untuk penukaran gear. Kemantapan hantaran kuasa tidak berubah cuma diberikan satu lagi pilihan (tahap rpm) untuk penukaran gear. Best kan motor ni!

Walaupun Honda ini berkemampuan mencapai 180km/j, kelajuan paling ideal dan selesa ialah sekitar 140km/j tetapi untuk lebih selamat, bawalah mengikut kelajuan yang telah ditetapkan. Untuk menjadikan tunggangan lebih meyakinkan, terdapat dua tahap traction control yang boleh ditekan pada bila-bila masa. Apa yang boleh dicadangkan ialah mungkin pihak Honda boleh menambah sistem Auto Cruise pada model ini yang semestinya menambah ciri-ciri jentera pengembaraan.

Selepas puas dengan sistem auto, kami menekan suis A/M untuk menguji kemantapan sistem transmisi manual yang dimiliki oleh X-ADV ini. Terdapat dua suis iaitu + (menambah gear) dan – (menurunkan gear) yang diletakkan pada posisi yang senang disentuh oleh jari telunjuk dan ibu jari. Memang penggunaan kedua-dua suis ini amat bersesuaian dan natural dengan kedudukan jari-jari kita. Nikmatnya... aduhai, memang mudah benar untuk mendapatkan posisi gear dengan tepat pada masa yang sangat cepat. Kita tidak perlu memikirkan pada penggunaan tuas klac dan tuas gear seperti motosikal biasa, tekan saja.... serta merta ia bertindak.

Dengan kecekapan fork hadapan jenis teleskopik 41mm dan penyerap hentak di belakang jenis prolink, perjalanan mendaki lebih mengujakan sebaik sahaja kami menggunakan sistem transmisi manual. Pendikit ditutup, tekan suis gear, tarik sedikit brek dan miringkan jentera ini ke kiri dan ke kanan dengan yakin. Untuk menyaingi kepantasan dan prestasi enjinnya, Honda telah melengkapkan jentera ini dengan brek jenis cakera di hadapan dan belakang jenis Nissin dengan sistem ABS yang benar-benar cemerlang.

X-ADV juga merupakan jentera yang turut sesuai untuk pengembaraan lasak. Tayarnya bersaiz 120/70 R17 (depan) dan 160/60 R17 di belakang direka khusus untuk membolehkan jentera ini dibawa 'bermain' ke kawasan yang agak sukar (offroad). Untuk mendapatkan tahap kawalan pergerakan tayar dengan lebih baik, tekan butang G (gravel) yang akan menjadikan tahap traction benar-benar sesuai dan selamat. Kami juga amat sukakan X-ADV ini kerana ia mudah untuk diparkir kerana ada tongkat sisi, tongkat tengah dan brek parkir (ala handbrake kereta). Brek parkir ini terletak di bahagian fairing hadapan dan kita hanya perlu menariknya agar lebih selamat jika ingin meletakkan Honda ini di kawasan yang curam.

Meter minyak bahan api berkelip-kelip pada jarak perjalanan 220 kilometer dan kadar penggunaan bahan api merupakan perkara subjektif. Ia bergantung kepada banyak faktor seperti berat penunggang, lokasi perjalanan dan cara tunggangan. Melihat pada segala pakej yang ditawarkan oleh Honda X-ADV ini, terbukti ia cukup praktikal, sangat cantik dan berprestasi tinggi. X-ADV ditawarkan pada harga RM63,299 (tanpa rekacorak belang) dan RM65,499 (dengan rekacorak belang & bar hendal warna emas). Terdapat lima pilihan warna iaitu Canda Chromosphere Red, Digital Silver Metallic, Matt Bullet Silver, Pearl Glare White dan Grand Prix Red.

Tunggu apa lagi? Ayuh ke kedai Honda berhampiran anda untuk buat tempahan sekarang! RR

Isu Pada

November 2018

Spesifikasi

Enjin:empat lejang, kembar parallel, sistem penyejuk cecair
Gerek x Lejang:77 x 80xx
Kuasa maksimum:54hp pada 6,250rpm
Tork maksimum:68Nm pada 4,750rpm
Saspensi hadapan fork teleskopik 41mm
Saspensi belakang:penyerap hentak prolink
Kerangka:keluli jenis diamond
Sistem bahan api:suntikan bahan api elektronik PGM-FI
Isi tangki:13.1 liter

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Yamaha MT-25 2024 Hadir Dengan Warna Baru

Selepas NVX155, Y15ZR...Kini Hong Leong Yamaha Motor menampilkan MT-25 dengan dua warna terbaru, Midnight Black & Midnight Cyan.

Warta Roda

Yamaha RXZ Diseludup Masuk dari Thailand?

Model popular, Yamaha RXZ antara kenderaan yang dikesan mula aktif diseludup masuk ke dalam negara melalui Sungai Golok, Kelantan.

Model Baru

Harley-Davidson Road Glide & Street Glide 2024 Di Pasaran Negara. Harga dari RM190,900.

Harley-Davidson Malaysia telah melancarkan dua model terbaru iaitu Road Glide & Street Glide dan turut menampilkan model eksklusif CVO Road Glide ST Edisi Ulang Tahun.

Warta Roda

Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

Suzuki Malaysia telah mengadakan sesi tunggang uji bersama pihak media baru-baru ini dengan menampilkan dua buah skuter terbaru mereka iaitu Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX.