Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 14 Oktober 2018

Scrambler Ducati 1100 Sport: Generasi Retro Terkini Dari Ducati

Adalah satu keseronokan muktamad buat penunggang motosikal jika dapat menikmati ribuan kilometer bersama sebuah jentera yang dapat memberikan senyuman setiap kali kita tiba di suatu destinasi. Tak guna berbelanja besar jika motosikal yang dipilih itu hanya memiliki kemampuan yang terhad. Biar ‘Alah membeli, menang memakainya…” Motor yang ingin kami kongsikan kali ini ialah Scrambler Ducati 1100 yang baru sahaja dilancarkan kira-kira ‘sepurnama’ yang lalu.

Ditawarkan pada harga RM85,900, model baru ini adalah yang terbesar di dalam keluarganya Scrambler dengan enjin L-kembar 1079cc, sistem penyejuk jenis udara, DOHC. Berbanding Scrambler sebelumnya, model ini direka lebih tegap dan sasa. Ia lebih lebar, 69mm lebih panjang, pelana lebih tinggi dan pastinya lebih eksklusif. Melihat pada spesifikasinya, kami cukup teruja dengan tahap kemajuan yang dicapai oleh sesebuah pengeluar contohnya Ducati dalam pembikinan enjin yang kompak tetapi berkuasa.

Jika kembali pada tahun 1990an hingga awal tahun 2000, mesin bersesaran 1100cc pastinya bersaiz besar, berat dan memiliki hamburan kuasa yang menakutkan tetapi kini, ia 100% bertentangan dengan sifat begitu. Scrambler Ducati ini amat mudah dikendalikan tidak kiralah bagi mereka yang berpengalaman atau pun yang masih baru ingin 'masuk' ke dalam dunia motosikal berkuasa tinggi. Itu adalah ciri-ciri utama model retro alaf baru dari Ducati yang layak menerima pujian bertaraf lima bintang. Kita mudah jatuh cinta dengan pengendalian dan corak hantaran kuasa dari enjinnya.

Benarlah apa yang dikatakan oleh CEO Kumpulan (Kumpulan Automatif) Naza Corporation Holdings, Dato' Samson Anand bahawa Scrambler 1100 ini menawarkan tunggangan yang menyeronokkan, penuh bergaya dan mencerminkan kebebasan.”

Scrambler Ducati yang seberat 206kg dan tubuh badan rampingnya dikemaskan dengan lampu utama jenis LED berbentuk bulat berserta lampu DRL. Lampu ini berwarna putih yang boleh dihidupkan melalui satu suis khas. Sebaik sahaja panjat ke atasnya, kami cepat benar menyukai posisi menunggangnya yang selesa baik untuk penunggang mahu pun pembonceng. Kami mengisi bahan api tangki sebesar 15 liter dan memulakan perjalanan ke utara.

Langit yang sekejap cerah, sekejap mendung agak merisaukan kerana selain menunggang uji jentera Scrambler Ducati ini, kami perlu juga mengambil gambar. Kami perlu cepat! Dari Kuala Lumpur, kami menggunakan Lebuhraya Utara Selatan untuk menguji ketangkasan jentera ini. Memecut! Nah… dengan kelembutan pendikitnya dan kuasa enjinnya yang hadir begitu galak sekali, Scrambler 1100 memang seronok dipecut. Pulas sahaja pendikit, kita akan dengar enjin L-kembarnya bekerja dengan rancak dan tepat tetapi apa yang sangat menggembirakan, hantaran kuasanya cukup linear. Laju bukanlah perkara pokok... tapi seronok dan senang dipacu adalah 'jackpot' buat kami.

Untuk keselesaan dan kesesuaian penunggang jentera ini, Scrambler Ducati didatangkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Active, Journey dan City – selalunya yang kita tahu ialah Sport, Touring dan Urban.

Dalam mod Active, kuasa hantaran berada di tahap tertinggi iaitu 86hp pada 7,500rpm dan tork 88Nm pada 4,750rpm. Setiap kali pendikit dipulas, kuasa yang hadir cukup segar dan menggiurkan. Walaupun dengan ketiadaan cermin pengadang udara di hadapan, kami tetap dapat memecut sehingga mencecah 205km/j dengan tangkas sekali. Apa yang sedikit mengganggu (buat pembonceng) ialah terdapat gegaran pada tempat pemijak sebaik sahaja kelajuan mencecah 150km/j dan ke atas. Ini mungkin disebabkan tempat pemijak ini disepadukan dengan casis serba baru yang ‘memeluk’ enjin L kembar 1100cc ini. Bila enjin ini ‘menari’ rancak dalam rpm tinggi, bar pemijak juga turut ikut bergegar. Apa pun, kelajuan paling selesa untuk tunggangan solo atau berdua ialah sekitar 130-140km/j.

Untuk merasakan kelincahan dan pengendalian jentera ini di laluan berliku, kami meninggalkan lebuhraya dan masuk ke Bukit Tagar. Laluan dari Sungai Tengi – Sungai Dusun menuju ke Felda Soeharto memang sesuai benar dengan Scrambler ini. Jalannya cukup cantik manakala pemandangan di lembah-lembah kawasan ladang memang mententeramkan jiwa. Oleh kerana masih di awal pagi, kawasan perkampungan di sini 'hidup' dengan masyarakat setempat keluar menikmati ke pasar desa dan menikmati sarapan pagi bersama keluarga dan rakan taulan.

Kehadiran Scrambler 1100 'mengejutkan' sedikit suasana pagi itu kerana sistem ekzos yang dimiliki oleh jentera ini memang cukup mantap. Dua corong ekzos di kiri dan kanan bukan sahaja menyumbang kepada rekabentuk yang cukup seimbang malah menawarkan bunyi yang unik dan sedap. Oleh kerana tubuh badannya yang agak kecil, memang ramai yang tidak menyangka ia adalah sebuah mesin 1100cc. Ada beberapa kenalan baru yang agak terperanjat apabila melihat tanda 1100 yang tertera di sisi Scrambler ini.

Selekoh-selekoh pendek di sepanjang jalan diratah dengan cukup mudah dan selamat tidak kira ketika menunggang solo atau pun berdua. Dengan paparan panel meternya yang jelas, setiap kedudukan gear dapat dipastikan dengan pantas – sekali jeling kita sudah cukup. Menunggang di laluan berselekoh ternyata memerlukan tumpuan sepenuhnya agar tidak melebar atau tersalah gear. Mujurlah Scrambler ini memang senang dan dilengkapi dengan pek keselamatan (Cornering ABS + Ducati Traction Control). Kita mudah memahami karaktornya dan kebolehannya. Bila dah kenal... sudah jatuh cinta. Bila dah jatuh cinta... setiap saat bersamanya tidak pernah puas.

Penggunaan gear yang tepat dan lancar ini juga hadir daripada respon cemerlang di antara kuasa enjin dan sistem transmisi jentera Ducati ini. Kerangkanya jenis trellis cukup tegap - membolehkan kita merentap tubuh badan Scrambler ini dengan tangkas. Lagi keras kita mengarahkannya ke kiri dan ke kanan, lagi sedap dirasa Scrambler ini. Walaupun jelas ia bukan mesin sport, sifat nakalnya meratah setiap selekoh memberi ketagihan.

Kami sempat menunggang seketika di laluan tanah merah untuk merasakan cengkaman Pirelli MT60 RS bersaiz 110/80 R18 (hadapan) dan 180/55 R17 (belakang). Walaupun tayar ini direka berbentuk seperti tayar-tayar offroad, Pirelli ini dirasakan lebih cemerlang menggigit permukaan jalan biasa berbanding di laluan lasak. Apa yang banyak membantu pergerakan lancar ialah sistem brek yang dilengkapkan pada model ini. Scrambler Ducati disempurnakan dengan brek hadapan jenis Brembo bersaiz 320mm dan belakang 220mm – memang sangat cemerlang manakala kelegaan tanahnya yang tinggi membolehkan kita merentasi kawasan sukar tanpa risaukan bahagian bawah tersangkut.

Terdapat dua stesen petrol di antara Sungai Tengi hingga ke Sungai Panjang. Bagi rakan-rakan yang menunggang moped, boleh isi seberapa kerap yang mungkin kerana dari Felda Soeharta – Sungai Panjang hingga ke Bagan Terap tiada lagi stesen petrol melainkan terdapat beberapa kedai runcit yang menjual petrol di dalam botol. Ternyata masih banyak kawasan dan laluan menarik di negara kita yang sesuai untuk aktiviti bermotosikal dengan syarat, jaga adab dan hormat pada masyarakat setempat.

Selepas puas dengan mod Active, mod kemudiannya ditukar kepada Journey pula. Dalam mod ini, kuasa masih berada di tahap maksima tetapi corak hantaran kuasanya lebih tenang dan jinak. Pendikitnya yang lembut sekali lagi membuatkan kita tidak sabar-sabar memulasnya setiap kali keluar dari selekoh. Gear 3 dan gear 4 menawarkan hantaran kuasa yang luas sehinggakan kita dapat kekal dalam kedua-dua gear ini cukup lama sewaktu berada di sepanjang jalan-jalan berselekoh di kawasan tersebut. Jika model Special dilengkapkan dengan saspensi jenis Kayaba, model Sport pula disempurnakan dengan penggunaan fork hadapan Ohlins (boleh laras) dan penyerap hentak mono Ohlins menjadikan tunggangan kita lebih baik dan lebih selamat.

Selepas 180 kilometer, Ducati ini mula ‘minta’ bahan api untuk terus ‘berlayar’ dan sekali lagi, posisi menunggangnya yang selesa menyebabkan kita tidak letih walaupun sudah beberapa jam di atasnya. Kemerduan bunyi sistem ekzos Ducati ini menarik perhatian! Kami disapa oleh beberapa peminat motosikal yang semua cukup berminat dengan Ducati ini. Lampu utama jenis LED tampak seperti lingkaran bulat dengan kemasan bentuk ‘X’ dan lampu belakangnya yang terang serta jelas menjadikan Scrambler ini cukup menyerlah dan diminati ramai. Gabungan warna jentera ini iaitu Viper Black + kemasan jalur berwarna kuning + sistem saspensi Ohlins (depan dan belakang) berwarna keemasan memang satu daya tarikan yang betul-betul ada ummppphh!

Felda Soeharto yang luas terbentang bertukar menjadi suram dengan langit yang semakin hitam. Walapun lengkap dengan pakaian menunggang, angin sejuk yang kuat ‘hinggap’ ke kulit dan seperti yang diduga, hujan turun dengan lebatnya. Kami segera menghidupkan enjin dan menukar kepada mod City yang memiliki hantaran kuasa paling rendah iaitu 74hp. Sistem traction control (TC) ditukar secara automatik kepada yang paling tinggi agar pergerakan Scrambler ini di permukaan licin lebih selamat.

Kami terpaksa ‘berehat’ lebih kurang sejam sebelum cuaca kembali terang. Kami meninggalkan kawasan lembah yang dingin untuk menuju ke Bagan Terap dengan menggunakan jalan Sungai Panjang. Jalan ini agak sunyi… hampir tiada kereta cuma sesekali bertembung dengan trak 4x4. Terdapat juga kawasan yang jalannya tidak diturap dengan baik tetapi mujurlah fork Scrambler ini yang bersaiz 41mm menyerap segala hentakan dengan baik. Walaupun berada di laluan yang tidak rata, bahagian lengan tidak terasa sebarang bebanan dan kawalan tetap cemerlang.

Selepas 30 minit, kami tiba di satu lagi kawasan kampung yang memiliki keindahan alam yang menyejukkan mata memandang. Bagan Terap menawarkan pemandangan kawasan padi yang menghijau dan kehidupan masyarakat di sini juga cukup tenang. Kami melihat kedai kopi dipenuhi dengan warga veteran yang begitu ghairah berseloroh di antara satu sama lain. Teringin juga nak tahu topik perbualan mereka tetapi perjalanan masih jauh.

Perasaan bercampur baur dirasai ketika membawa Ducati ini ke dalam bandar. Tidak dinafikan kelincahan, tuas klac yang lembut dan cengkaman sistem brek Brembo 320mm depan dan 245mm (belakang) adalah suatu yang diingini. Kita bukan sahaja dapat menyaingi setiap pergerakan jentera moped yang selalunya 'handal' di dalam bandar tetapi kali ini, Scrambler ini lebih pantas dan lebih mudah meninggalkan kawasan sesak. Sap...sup..sap...hilang! Apa yang agak merunsingkan ialah haba dari sistem ekzos cukup terasa buat penunggang dan pembonceng terutamanya di sebelah kiri kaki. Oleh kerana ia lincah dan senang dikendali, Scrambler ini sesuai untuk tunggangan urban tetapi diganggu oleh masalah haba pula!

Secara keseluruhannya, kami cukup berpuas hati dengan kemampuan Scrambler 1100 Sport dan lahirnya model ini memberitahu kepada semua bahawa Ducati kini dengan bangganya mampu bersaing di dalam segmen retro eksklusif seperti mana model-model saingannya, Kawasaki Z900RS dan BMW R NineT Urban. Tidak dinafikan prestasi dan sistem teknologi moden seperti Ducati Bosch Inertial Measurement Unit adalah yang paling terkini berbanding jentera-jentera retro saingannya. RR

Isu Pada

Oktober 2018

Spesifikasi

Enjin:L-kembar, desmodromic, sistem penyejuk udara
Gerek x Lejang:98 x 71 mm
Kuasa maksimum:86 hp pada 7,500 rpm
Tork maksimum:88 Nm pada 4,750 rpm
Saspensi hadapan:fork Ohlins boleh laras
Saspensi belakang:penyerap hentak mono Ohlins
Tayar hadapan:120/80 ZR18
Tayar belakang:180/55 ZR17
Brek hadapan & belakang:cakera 320 mm Brembo / cakera 245 mm Brembo
Isi tangki:15 liter

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Bezzecchi Terpantas di Aragon

Marco Bezzecchi mencatat keputusan masa terpantas pada sesi latihan hari Jumaat di Aragon.

Warta Roda

Keeway Recall 5,000 Unit XDV180 Evo

Keeway Malaysia mengumumkan pelaksanaan Program Panggil Semula (Product Recall Program) bagi model Keeway XDV180 Evo

Model Baru

Yamaha XSR155 Akhirnya Tiba di Malaysia - RM12,998

Yamaha XSR155 akhirnya tiba ke pasaran negara yang menampilkan gaya neo-retro.

Dari Litar

Qayyim Raih Kemenangan Berganda, Qabil Lengkapkan Kedudukan di Podium

Dua pelumba Malaysia raih podium berganda di pusingan kedua Idemitsu Moto4 Asia Cup.