Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 25 Oktober 2020

Benelli Imperiale 400 Klasik Evo

Benelli QJ, jenama motosikal Itali yang paling tua dan terus cemerlang hingga ke saat ini. Selepas dimiliki sepenuhnya oleh Qianjiang dari China pada tahun 2006 yang lalu, pelbagai model menarik telah diperkenal dengan menawarkan rekabentuk mantap, harga mampu milik, kejuruteraan yang dipercayai dan kemasan yang berkualiti. Jentera-jentera ini dibangunkan di Itali dan kemudiannya dibuat di China.

Antara model-model yang mendapat sambutan hebat di seluruh dunia ialah jentera pengembaraan TRK502 yang telah berjaya menduduki tempat ketiga dalam 'carta' motosikal paling laris selepas BMW R 1250 GS dan Honda Africa Twin. Sebanyak 10,000 unit terjual di Itali sahaja dan ia adalah satu kejayaan penting yang menyumbang kepada peningkatan jualan global sebanyak 6.70% atau 63,200 unit telah dipasarkan dan buat pertama kalinya dalam sejarah, ia telah melepasi tahap penjualan maksima 60,000 unit.

Model terbaru yang kini berada di pasaran ialah Imperiale 400 yang dinamakan bersempena model 125cc/175cc yang dikeluarkan oleh syarikat 'saudara'nya iaitu Motobi pada tahun 1960an yang lalu. Ia mempunyai gaya retro seperti model popular Royal Enfield Classic 350 yang ternyata amat disukai oleh para pengguna motosikal di India dengan pengeluaran sebanyak 432,000 unit pada tahun 2018-2019 dan jumlah itu mewakili 53% daripada jumlah keseluruhan penjualan jentera RE iaitu 806,870 buah jentera.

Syarikat dari China ini juga ingin mencuba nasib dalam pasaran yang besar dan langkah pertamanya ialah dengan membuka sebuah kilang pemasangan Benelli QJ serba baru yang terletak kira-kira 30km dari utara Hyderabad. Di kilang ini sahaja mampu menghasilkan 4,000 buah jentera Imperial – hampir kesemuanya sold out walaupun harganya (US2,370) lebih tinggi daripada Royal Enfield (US2,160). Bagi pasaran Itali, harga yang ditetapkan ialah Euro3,999 (termasuk cukai 22%). Itulah harga yang ditetapkan oleh CEO Benelli QJ, Ms Yan Heimei yang juga dikenali dengan panggilan Madame Klara.

Benelli ini menggunakan format enjin silinder tunggal, sistem penyejuk udara, dua injap dan memiliki tubuh badan yang cukup menarik. Dalam 'dirinya' ada nilai retro dan ada modennya. Itulah yang menyebabkan mengapa jentera ini cukup diminati oleh pelbagai lapisan penunggang motosikal tidak kira siapa. Ia adalah 'teman' istimewa kita yang boleh dibawa melihat keindahan mata hari terbenam dengan santai yang amat mudah.

Untuk pasaran Eropah, Benelli ini hanya didatangkan dalam dua warna iaitu hitam dan kelabu, sayang sekali tidak ada pula warna merah seperti unit prototaip yang diperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa EICMA 2018 suatu ketika dulu.

“Ketika kami memulakan projek ini pada tahun 2016 yang lalu, kebanyakan permintaan datangnya dari negara-negara pengedar kami di Asia. Kami ingin menggabungkan rupabentuk klasik 60an dengan kejuruteraan abad ke-21,” kata Pengurus R&D Benelli, Stefano Michelotti yang memimpin pasukan konsep keseluruhan jentera ini.

Selepas bekerjasama dengan bahagian alat ganti QJ di China untuk memastikan spesifikasi muktamad, Michelotti & Co. terus menyerahkan projek itu kepada pasukan tempatan untuk dapatkan komponen tempatan terbaik dan berkualiti tinggi. Model ini juga wajib melepasi piawaian Euro 4 dan akhirnya fasa pengeluaran tiba pada bulan September tahun lalu.

“Kami menggunakan casis jenis tiub twin-loop yang dipadankan dengan penyerap hentak belakang berkembar jenis klasik. Untuk bahagian enjin pula, kami mahukannya ringkas yang membolehkan sesetengah daripada para pelanggan kami mampu menyelenggara sendiri di rumah. Namun begitu, enjin tersebut masih mampu untuk menyaingi kepantasan dan kelancaran para pencabarnya,” tambah Michelotti.

Imperiale ini cukup mantap dan selepas model 400cc ini, kami sedang merancang untuk memperkenalkan pula model 125cc dan 250cc yang bakal menawarkan lebih gaya tetapi versi ini masih di peringkat awal. Idea ini datangnya ketika saya membuat pemeriksaan di litar lasak milik Valentino Rossi yang baru sahaja dibesarkan. Saya dapat bayangkan keseronokan menunggang Imperiale Street Tracker yang mampu memecut, melompat dan mudah dikawal, termasuklah oleh penunggang cilik,” tambahnya lagi.

Enjin 374cc ini memiliki dimensi lejang panjang bersaiz 72.7 x 90mm yang lengkap dengan counterbalance di bahagian depan yang bertindak untuk mengurangkan gegaran. Kepala silindernya menawarkan ruang pembakaran hemispherical gaya lama. Untuk pecutan yang mantap dan penjimatan bahan api, jentera ini disempurnakan dengan sistem suntikan bahan api menggunakan ECU Deplhi.

Imperiale di-datangkan dengan kotak gear lima kelajuan serta mempunyai hamburan kuasa setinggi 15.5bhp pada 5,500rpm dan tork 29Nm pada 4,500rpm. Walaupun jentera ini seberat 205kg dengan isian tangki 90% penuh, ia amat mudah untuk dikendalikan termasuklah mengangkat tongkat tengahnya. Dengan sifatnya ini, kita dapat menunggang ke mana sahaja dengan Benelli. Kalau nak ride lama, pasang sahaja kotak sisi di kiri dan kanannya, baru seronok. Ya... tidak lupa juga tambah cermin depan baru yang lebih sesuai untuk pengembaraan. Madame Klara menegaskan bahawa akan hadir ke pasaran, aksesori menarik untuk model ini nanti! Yes!

Apa yang Stefano Michelotti maksudkan dengan rekaan casis 'tradisi' itu ialah penciptaan berasaskan kerangka model lagenda Norton Featherbed yang dicipta 70 tahun yang lalu. Inovasi kerangka ini memang cukup hebat dan mantap. Menerusi kerangka ini, penyerap hentak belakang dicondongkan kepada 40º seperti mana yang pernah dilakukan pada jentera milik Dresda, Dunstall atau Rickman suatu ketika dulu yang terbukti cukup lincah meratah selekoh-selekoh tajam. Pergerakan bahagian hadapan dikawal oleh fork 41mm tak boleh laras tetapi tetap tawarkan pengendalian yang baik.

Pelana setinggi 780mm dibalut dengan sempurna manakala sepasang spring di bawahnya menyerap hentakan dengan baik dan ia turut membuatkan ruang lebih luas serta sangat selesa. Pasangan kita juga pasti akan memuji betapa luas dan seronoknya menunggang Benelli ini. Saya juga suka sudut tiga segi di antara pelana - tempat pemijak - bar hendal yang memberikan keselesaan untuk seseorang yang tinggi seperti saya. Bar hendalnya yang rata menjadikan posisi menunggang tegak dan natural.

Tekan sahaja suisnya, enjin Benelli SOHC berderum segar. Ketika dalam kedudukan melahu, putaran enjinnya agak tinggi, sekitar 1,500rpm tetapi tiada langsung gegaran pada mana-mana bahagian. Saya katakan ianya 'Ultra-smooth' dan cukup senyap. Karaktor ini saya minat! Kotak gear lima kelajuan yang dipadankan padanya menawarkan nisbah-nisbah yang bagi saya sudah cukup baik. Saya agak terkejut dengan betapa ringan dan mudahnya saya membuat penukaran gear dan kekuatan kuasa tork pada Imperiale membolehkan kita meluncur tanpa sentapan walapun pada kedudukan rpm rendah.

Apabila putaran ditingkatkan dari 4,000rpm hingga 6,800rpm, kita dapat rasakan sifat garangnya sudah mula hadir dan menurut Michelotti, enjin Imperiale 400 telah diuji pada tahap putaran 6,000rpm untuk 200 jam tanpa henti demi membuktikan ketahanan dan kelasakannya. Apa pun, kadar pecutan mudah mencecah tahap tertinggi, lebih-lebih lagi dalam gear ketiga. Apabila cuba memintas pada kelajuan 50-80km/j dalam gear ketiga, kita mudah capai putaran tertinggi seterusnya kuasa enjin mulai menurun. Untuk elakkan dari berlaku, turunkan gear dan kawal semula pergerakan enjin.

Untuk disesuaikan dengan karaktor dan tubuh badannya, Benelli telah melengkapkan jentera ini dengan tayar hadapan bersaiz 100/90-19 dan tayar belakang bersaiz 130/80-18 yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang. Kualiti perjalanan bersama Imperiale agak menurun apabila tiba di laluan berbonggol dan tidak rata walaupun dengan adanya pelana berspring, masalah tersebut berjaya diatasi dengan pemilihan fork hadapan oleh QJ yang efektif. Begitu juga dengan prestasi brek hadapan jenis cakera bersaiz 300mm dan belakang 240mm yang membolehkan kita mengawal pergerakan lebih mudah dan memperlahankan kelajuan dengan lebih efisien.

QJ ternyata amat mementingkan kualiti dan usahanya ke arah itu wajar diberi perhatian oleh para pencinta motosikal di seluruh dunia. Tahap kemasan dan kualiti pembikinan khususnya pada suis dan lampu isyarat memang cukup tinggi lebih-lebih lagi jika dipadankan pada harganya. Panel meternya jenis analog dan berbentuk bulat. Cantik tetapi nombor-nombor tertera agak sukar dilihat apabila kita menunggang di bawah sinar matahari – kecil benar dan tidak sepadan dengan latarbelakangnya yang berwarna putih.

Apa pun, barisan lampu penunjuk amat cerah dan senang dilihat manakala penunjuk meter LCD yang pamerkan kedudukan gear, jarak perjalanan, trip dan masa menyejukkan hati. Ia senang dibaca dalam apa keadaan sekalipun. Benelli Imperiale 400 adalah sebuah produk yang cukup berbaloi untuk dimiliki. Ia cantik, enjin mudah diselenggara dan amat seronok untuk ditunggang.

Model ini juga telah dilancarkan pada bulan November lalu di Litar Antarabangsa Sepang bersempena perlumbaan MotoGP Malaysia dan dijadualkan akan masuk ke pasaran negara tidak lama lagi. Ia didatangkan dalam tiga versi warna menarik iaitu merah, hitam, kelabu dan boleh dimiliki pada harga RM15,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Benelli QJ telah meningkatkan kualiti produknya dapat bersaing dan berdiri sama tinggi dengan model-model yang dikeluarkan oleh jenama-jenama lain dari Eropah. Lihatlah kecemerlangan Benelli menerusi TRK502 Adventure, 502 Cruiser dan model roadster, Leoncino. Siri 750cc kembar-parallel menerima maklum balas hebat sewaktu dipamerkan di EICMA 2019 tempohari manakala jentera pengembaraan mewah tiga silinder 1200cc juga telah mendapat kelulusan. Benelli semakin maju. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Mattia Tomucci & Giovanni Giardina

Isu Pada

Jun 2020

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, SOHC, sistem penyejuk udara
Isipadu374cc
Gerek x Lejang72.1 x 90mm
Kuasa maksimum15.5kW pada 5,500rpm
Tork maksimum29Nm pada 4,500rpm
Pengurusan enjinsuntikan bahan api
Brek hadapan & belakangcakera 300mm (depan), cakera 200mm (belakang) serta sistem ABS
P x L x T2,170 x 820 x 1,120mm
Isi tangki12 liter
PengeluarMforce Bike Holdings Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    Aveta Malaysia Perkenalkan Cub Adventure Mampu Milik - Ranger Cub Cross 115

  • Model Baru

    BMW Motorrad Umum Ketibaan Jentera Elektrik, CE 02

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Lancarkan 3 Model Serba Baru

  • Warta Roda

    Beli Suzuki GSX-8S, GSX-S150 atau Raider R150Fi & Berpeluang Menang GSX-S1000GX

  • Warta Roda

    CFMOTO 800NK Menang 'Product Design' Terbaik di Anugerah Red Dot

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Lima individu cedera termasuk tiga cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam.

Model Baru

KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran

Berita 'sah'nya kehadiran model KTM 990 RC R versi jalanan pastinya memberi senyuman dan keterujaan buat para peminat jentera sportbike.

Warta Roda

Tiga Warna Baru Yamaha Y15ZR

Hong Leong Yamaha Motor menampilkan warna terbaru untuk model Y15ZR iaitu Cyan, Biru & Kelabi.

Warta Roda

Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

Suzuki Malaysia telah mengadakan sesi tunggang uji bersama pihak media baru-baru ini dengan menampilkan dua buah skuter terbaru mereka iaitu Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX.