Isu Terkini

Februari 2024

Warta Produk / 29 Mei 2019

Pirelli Diablo Rosso Sport Beri Keyakinan Buat Penunggang

Sebagai pencinta dan pengguna motosikal, kita pastinya inginkan perjalanan ke suatu tempat dapat dilakukan dengan lancar, menyeronokkan dan selamat. Dengan teknologi dan spesifikasi enjin yang semakin maju, jentera-jentera berkuasa sederhana dari 110cc hingga 300cc kini tidak hanya dipakai untuk berulang alik ke tempat kerja sahaja tetapi penggunaan motosikal telah pun semakin meluas. Tidak lagi menjadi perkara pelik jika melihat jentera moped dan sport berkuasa sederhana kini sudah memecut laju di dalam litar atau dipacu ke kawasan pergunungan yang berliku.

Apa pun tujuan atau hasrat kita, segalanya tidak akan mungkin dapat dilakukan jika jentera kita menggunakan tayar yang tidak mencengkam. Tayar yang tidak berada di dalam keadaan baik boleh menjejaskan rentak serta membahayakan perjalanan.

Selaku pengeluar tayar terkemuka di dunia, Pirelli dengan bangganya telah melancarkan siri terbaru Pirelli Diablo Rosso Sport yang direka khas untuk motosikal underbone dan jentera sport berkuasa sederhana hingga ke 400cc. Menerusi produk serba baru ini, Pirelli menjanjikan para penunggang motosikal akan menikmati kemantapan tunggangan harian seperti mana yang dirasai di dalam dunia perlumbaan.

Majlis pelancaran produk baru ini telah diadakan di Hotel Modena by Fraser Buriram, Thailand pada pertengahan Mac lalu bersempena perlumbaan WSBK pusingan kedua yang berlangsung di Litar Chang Buriram. Lebih mengujakan, acara selama tiga hari itu menerima kedatangan daripada wakil media dan para pengedar Pirelli dari beberapa buah negara di Asian seperti Indonesia, Thailand, Taiwan, Filipina, Vietnam dan Korea. Ribuan terima kasih buat South East Asia Auto Parts Sdn Bhd, pengedar rasmi Pirelli di Malaysia di atas jemputan menghadiri majlis pelancaran dan sesi ujian litar produk terbaru ini.

Pembangunan teknikal untuk Pirelli Diablo Rosso Sport menumpukan kepada profil, struktur dan corak bunga tayar bagi memastikan kadar cengkaman maksimum di semua keadaan jalan, meningkatkan tahap pengendalian dan menawarkan tahap konsistensi tertinggi ketika di permukaan basah.

Pirelli Diablo Rosso Sport disempurnakan dengan kemantapan profil dari dunia perlumbaan, sebatian istimewa untuk pengendalian optimum (jalan kering mahu pun basah) dan corak bunga tayar DIABLO Flash yang berikan prestasi cemerlang di setiap masa. Ia adalah produk yang dihasilkan dengan kepakaran Pirelli yang telah pun terbukti menerusi kapasitinya sebagai pembekal tayar rasmi untuk perlumbaan WSBK sejak 15 tahun yang lalu.

Sesuai Untuk Siapa?

Pirelli Diablo Rosso Sport ini disasarkan untuk beberapa jenis penunggang motosikal. Pertama: Penunggang motosikal muda (jentera moped 100-150cc) yang mahukan jentera mereka disempurnakan dengan tayar yang cantik, bergaya dan pada masa yang sama memiliki cengkaman yang hebat.

Kedua: Penunggang motosikal yang mahukan jentera mereka (sport/naked 125cc-400cc) disempurnakan dengan tayar 'replika' perlumbaan yang boleh menjadikan tunggangan lebih laju, miringan lebih meyakinkan dan segala pergerakan jentera sentiasa berada di dalam kawalan. Para penunggang ini seringkali akan menunggang ke kawasan berselekoh di waktu lapang dan masih menggunakan jentera yang sama untuk urusan lain. Pirelli Diablo Rosso Sport ternyata 'bersedia' untuk tujuan itu!

“Tayar ini adalah hasil penelitian pasukan R&D Pirelli di rantau Asia Pasifik yang memberi tumpuan kepada apakah keinginan dan gaya diminati oleh penunggang motosikal sekarang ini. Ternyata, para pemilik motosikal mahukan tayar yang berprestasi cemerlang untuk semua keadaan cuaca dan semua permukaan jalan. Inilah yang dimiliki oleh Pirelli Diablo Rosso Sport – tayar berprofil perlumbaan yang disempurnakan dengan keupayaan untuk tunggangan harian,” kata Pengarah Pemasaran Tayar S.p.a Asia Pasifik, Ms. Flavia Maffeis.

Pirelli Diablo Rosso Sport mempunyai dua sebatian berbeza yang cukup hebat iaitu Silika dan Carbon Black. Carbon Black memiliki kemampuan untuk mempercepatkan proses pemanasan agar cengkaman lebih efisien ketika kering atau basah. Silika pula meningkatkan kadar cengkaman ketika berada di permukaan basah dengan cukup cemerlang. Selain silica, penggunaan plastifying resins yang diambil daripada teknologi perlumbaan turut menjadikan produk ini lebih stabil di permukaan basah.

Untuk kemantapan tunggangan di laluan berselekoh, radius di bahu tayar telah dipertingkatkan dan dengan inovasi dan kebijaksaan ini, kadar miringan yang dapat dilakukan ketika menggunakan Pirelli Diablo Rosso Sport (miringan: 42%) adalah lebih baik daripada Pirelli Angel City (miringan: 35%) dan hampir menyamai kecemerlangan tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa (47%).

Sehari selepas majlis pelancarannya, para media jemputan diberi peluang untuk menguji Pirelli Diablo Rosso Sport di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand. Pelbagai jenis model seperti Yamaha YZF R3, Yamaha MT03, Yamaha MT15, Honda CB300, Kawasaki Z300, Benelli 302R, BMW G 310 R dan GPX Racing Mad 300 disediakan.

Litar Antarabangsa Chang juga dikenali dengan nama Litar Buriram berjarak 4.6 kilometer. Terdapat 12 buah selekoh (5 kiri dan 7 kanan), berkelebaran 12 meter dan mempunyai laluan lurus sepanjang 1000 meter. Kami bermula dengan menggunakan jentera BMW G 310 R yang berkuasa 34hp dan tork 28Nm. Walaupun baru masuk lap pertama, gabungan pengendalian hebat BMW ini dan cengkaman kuat Pirelli baru membolehkan kami mudah menyesuaikan diri dengan selekoh-selekoh di litar ini. Kami tidak perlukan banyak masa untuk memecut ke tahap maksima.

Apa yang lebih menarik, layout litar ini amat mudah untuk diingat. Ini membolehkan kita menggunakan gear yang tepat untuk masuk/keluar selekoh dengan pantas. Gabungan silika dan Carbon Black ternyata membuatkan cengkaman Diablo Rosso Sport ini cemerlang – kita boleh membrek dengan keras dari kelajuan tertinggi untuk masuk ke Selekoh 3 (pusingan 'U') tanpa rasa membuang walau sedikit pun.

Selepas empat lap, kami 'melompat' pula ke atas Yamaha MT-03. Posisi menunggangnya cukup selesa dan ruang penunggang yang luas adalah ciri-ciri terbaik untuk menikmati laluan berselekoh. Tayar Pirelli ini dicipta menerusi gabungan tiga 'kunci' utama iaitu Profil Perlumbaan + Sebatian Istimewa + Kemantapan Corak Bunga Tayar. Benar... semakin lama di atas litar, semakin 'sedap' ia menggigit permukaan jalan. Dengan MT-03, kami dapat memecut dan mencecah 163km/j di laluan lurus terpanjang dan terus mendapatkan brek enjin terbaik di gear kedua untuk masuk ke selekoh tajam dengan stabil sekali. Terima kasih Pirelli, nikmat benar terasa ketika ini!

Untuk memberi keyakinan buat para penunggang moped, kami diberikan peluang untuk menguji Pirelli Diablo Rosso Sport (slalom dan brek) yang dipasang pada jentera Yamaha Exciter 150 (Y15ZR) dan Yamaha Finn 115. Memang tiada keraguan untuk meliukkan setiap jentera yang disediakan pada hari tersebut. Cengkaman tayar ini sekali lagi terbukti cemerlang.

Selepas menyempurnakan sesi ujian selama 16 lap dengan lima jenis motosikal (Yamaha MT-03, BMW G 310 R, Honda CB300, MT-15 dan Benelli 302R), RR dapat merasakan kadar cengkaman Pirelli Diablo Rosso benar-benar mantap. Prestasi tayar secekap ini amat dikehendaki oleh para pencinta motosikal yang inginkan keselamatan, kepantasan dan kepuasan setiap kali memacu jentera mereka.

Pada hari tersebut, para media turut diberi peluang istimewa untuk menguji dan merasai kecemerlangan Pirelli Diablo Rosso HR yang sedang dalam fasa pembangunan. RR dapat menikmati kecemerlangan tayar ini selama tiga lap dan mendapati ia cukup sesuai untuk penunggang lebih agresif yang inginkan cengkaman lebih sempurna di litar dan di laluan berselekoh. Miringan dapat dilakukan dengan lebih dalam dan lebih pantas manakala jentera juga lebih stabil ketika membrek dengan keras sebelum tiba di hujung laluan untuk ke selekoh seterusnya.

Untuk dapatkan maklumat lebih lanjut, sila hubungi South East Asia Auto Parts Sdn Bhd di talian 03-6250 3411, email: enguiry@seaap.com.my atau laman fb: https://m.facebook.com/seaapsb.

Bergambar kenangan bersama Ms. Flavia Maffeis (tiga dari kanan), Zulfahmi Khairudin (dua dari kanan) dan En. Hong Wei Peh dari Pirelli Asia Pte Ltd (dua dari kiri).

Bersempena dengan majlis pelancaran tayar terbaru yang berlangsung pada waktu malam, kami juga berpeluang untuk menyaksikan dan menikmati kemeriahan perlumbaan WSBK yang turut dianjurkan di litar yang sama pada pagi hari tersebut. Antara keistimewaan yang diberikan buat para tetamu Pirelli ialah bertemu dengan beberapa pelumba terkenal seperti Alvaro Bautista, Eugene Laverty dan Ryuichi Kiyonari serta mengambil gambar di petak grid.

RR tidak melepaskan peluang mengunjungi ruangan tapak promosi yang dimeriahkan dengan pameran motosikal dan produk dari pelbagai jenama. Walaupun ia tidaklah sebesar dan sehebat ruang promosi di SIC tetapi susun atur serta idea yang dizahirkan tidak mengecewakan.

Yamaha mempamerkan beberapa jentera terkini seperti YZF R1, YZF R6, YZF R3, MT-03, MT-15 dan banyak lagi. Honda pula meletakkan jentera terulung mereka iaitu CBR1000RR sebagai 'bintang' utama tapak promosi mereka manakala jentera ZX10R dan ZX6R menarik para pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat kemantapan rekaan Kawasaki.

Dari model pengembaraan hingga ke sport dan dari berkuasa 310cc hingga ke 1600cc... semuanya disusun dengan gah sekali di ruang promosi BMW Motorrad. Para pengunjung turut berpeluang untuk bergambar kenangan bersama gadis-gadis promosi yang cantik jelita. Antara produk lain yang turut bersama menyokong perlumbaan WSBK ialah Ohlins, DID Chain, Idemitsu, Motul, Touratech dan banyak lagi gerai-gerai pakaian menunggang yang menarik. RR

Isu Pada

Mei 2019

Popular

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

  • Warta Roda

    Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Artikel berkaitan

GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Kilang baru di Thailand, Brembo Mahu Tingkat Jualan Di Asia Tenggara

'Product Recall' Untuk Suzuki GIXXER 250, GIXXER 250SF & V-Strom 250SX. Jentera pengeluaran Malaysia Tak Terlibat...

Akan Datang: Topi Keledar GoPro

Gracshaw Tampilkan Barisan Topi Keledar Edisi DC Superheroes

CFMOTO Jelaskan Penghasilan Motosikal Yamaha untuk Pasaran China Sahaja

Kamera Aksi Insta360 Ace Pro dan Insta360 Ace Dilancarkan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Ducati telah melancarkan edisi istimewa jentera jalanan ikoniknya iaitu Monster, direka khas untuk memberi penghormatan kepada salah seorang juara Formula 1 yang paling terkenal. iaitu Ayrton Senna.

Warta Roda

Yamaha RXZ Diseludup Masuk dari Thailand?

Model popular, Yamaha RXZ antara kenderaan yang dikesan mula aktif diseludup masuk ke dalam negara melalui Sungai Golok, Kelantan.

Model Baru

Royal Enfield Lancarkan Model Baru Bullet 350. Harga asas dari RM23,500

Royal Enfield Malaysia melancarkan model terbaru iaitu Bullet 350 yang ditawarkan pada harga dari RM23,500.

Warta Produk

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Arai Helmet mempersembahkan topi keledar edisi terhad RX-7V EVO Isle of Man TT 2024 yang ke-15.