Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 10 September 2016

BMW S 1000 XR Cepat, Lekas & Deras

Di dalam kepunyaannya, BMW Motorrad memiliki sebuah blok enjin berkapasiti 1,000cc, di dalam konfigurasi empat silinder sebaris yang berupaya untuk mengeluarkan lebih daripada 150hp. Enjin ini digunakan di dalam model-model “supersports” S1000RR dan HP4, dan juga model “naked” S1000R.

Konsensus amnya, enjin ini merupakan antara enjin empat silinder, empat lejang, satu liter yang terbaik di dunia. Maka, tidaklah mengejutkan jika BMW memuatkannya pula ke dalam sebuah lagi model S1000, kini dengan abjad ‘X’ dan ‘R’ di penghujungnya.

Model S 1000 XR ini merupakan penyertaan BMW ke dalam kategori motosikal yang sangat niche, iaitu sports adventure, ataupun kembara pantas. Kategori ini amnya didiami oleh motosikal-motosikal yang mempunyai ciri-ciri dan prestasi superbike ataupun supersports tetapi dengan posisi tunggangan yang lebih tegak dan jarak perjalanan sistem ampaian yang lebih panjang. Ia lebih didapati pada motosikal adventure ataupun dual-sport.

Dalam kata lain, kategori sports adventure ini cuba untuk memberikan penunggang kuasa dan kelincahan yang dipadukan dengan keselesaan untuk membolehkan perjalanan merentas negara dan benua dengan pantas, tanpa lesu.

Soalannya, adakah penyertaan S1000XR ini mencapai matlamat yang disebutkan di atas? Untuk menjawab persoalan ini, RR telah mengambil sebuah jentera ini daripada BMW Motorrad Malaysia untuk beberapa hari.

Sebagai sebuah motosikal yang berharga lebih daripada RM100,000 (secara tepatnya, RM109,900 sebelum insurans, cukai dan GST), tentunya BMW telah memuatkan pelbagai bantuan penunggang elektronik (electronic rider aids), seperti sistem kawalan elektronik pendikit (ride-by-wire), kawalan cengkaman (traction control), peta pendikit (throttle map), sistem ampaian dinamik (Dynamic ESA) dan penukar gear tanpa klac (quickshifter).

Bantuan penunggang elektronik yang disediakan dengan meluas ini secara menyeluruh menyumbang kepada pengalaman yang sangat memuaskan. Malah, boleh dikatakan tanpa sistem kawalan dan bantuan elektronik yang disediakan, motosikal ini akan menjadi tidak terkawal.

Bayangkan, enjin 1 liter ini mengeluarkan 160hp pada 11,000rpm. Kuasa sebanyak itu, pada berat 228kg (basah) jika dibuka pendikit seluas-luasnya hanya akan menghasilkan tiga kemungkinan jika tidak dikawal. Pertama, roda depan terangkat dan wheelie; kedua, roda belakang hilang cengkaman dan berputar tanpa bergerak hingga botak atau ketiga, kedua-duanya sekali.

Tetapi itu bukanlah tujuan S 1000 XR ini wujud. Tujuan ianya wujud adalah untuk mengukir gerak pengembaraan di atas jalan berturap dengan pantas dan selesa. Ianya juga wujud untuk penunggang memburu selekoh-selekoh tajam mahupun landai, dengan deruan enjin yang seakan menggalakkan pendekatan agresif di selekoh-selekoh itu.

Sahihnya, S 1000 XR ini merupakan satu pakej yang hampir lengkap untuk keperluan pengembaraan tetapi ianya tidaklah sempurna. Ada beberapa kekurangan pada motosikal ini, tidak berbeza dengan mana-mana motosikal lain. Tetapi sebelum mengulas tentang kekurangannya, biarlah kita dahulu bercerita tentang keistimewaan yang ada padanya.

Kuasa maksima 160hp di engkol ini dipadankan dengan tork maksima 112Nm pada 9,250rpm. Ini bermakna enjinnya cukup bersemangat dan memberikan kuasa dan kelajuan yang lebih daripada cukup kepada rata-rata kesemua jenis penunggang motosikal melainkan mereka yang merupakan penagih kelajuan yang tegar.

Saya tidak pula menguji tahap kelajuan maksima S1000XR ini kerana tidak berkesempatan menunggangnya di trek, tetapi memadailah dengan menyebut bahawa pihak BMW sendiri mencatat kelajuan maksimanya sebagai “lebih daripada 200km/j”. Mungkin BMW tidak ingin menggalakkan pemilik-pemilik S 1000 XR ini untuk mendapat tahu kelajuan sebenar kenderaan mereka.

Apa yang boleh saya katakan, jika anda tidak mengambil perhatian, mencapai kelajuan 200km/j itu boleh berlaku dengan hampir sekelip mata sahaja … tetapi, janganlah mencuba, iya?

Sesuai dengan gelaran sports adventure, S 1000 XR ini mempunyai jarak roda (wheelbase) sepanjang 1548mm, yang merupakan jarak roda terpanjang untuk platform S1000 (1,439mm untuk S 1000 R dan 1,438mm untuk S 1000 RR).

Info: Taman Wetland terletak di Putrajaya yang berkeluasan 138 hektar dan kawasan sekitar yang bersaiz 1977 hektar. Antara tarikan utama di sini ialah menara pemerhati setinggi 18 meter, nurseri tanaman, denai semula jadi, kolam flamingo, kawasan berkelah, kawasan berbasikal serta tarikan menarik yang lain.

Ia semestinya syurga buat pencinta alam semula jadi terutamanya burung-burung. Menerusi menara pemerhati itu, para pengunjung bukan sahaja dapat melihat kawasan sekitar tetapi juga pelbagai jenis spesis burung yang seringkali berterbangan di kawasan ini. Pastinya ia adalah destinasi pilihan buat seisi keluarga.

Bagi penggemar aktiviti bebas, turut dilengkapkan di sini (di sebelah jambatan), ialah Pusat Rekreasi Air. Pengunjung boleh menyewa kayak, boat kayuh, berkanu, memancing.

Di sini juga terletaknya Pusat Penghayatan Alam yang merupakan hub informasi yang memberikan pelbagai maklumat mengenai ekosistem yang dipersembahkan menerusi ruang pameran interaktif yang dilengkapi dengan sistem audio visual, paparan imej 3 dimensi dan model ekosistem. Pusat Penghayatan Alam ini dibuka setiap hari (kecuali Isnin) bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Jarak perjalanan fork depannya ialah 150mm, manakala untuk ampaian monoshock belakang pula, 140mm. Sebagai perbandingan, jarak perjalanan sistem ampaian bagi S1000R dan S1000RR ialah 120mm depan dan belakang.

Maksudnya, berdasarkan kepada jarak roda dan jarak perjalanan ampaiannya, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa S 1000 XR ini tidak akan selincah lain-lain ahli keluarga S1000. Akan tetapi, dengan kawalan elektronik Dynamic Electronic Suspension Adjustment (Dynamic ESA), perbezaan pengendaliannya berbanding dengan adik-beradiknya tidaklah terlalu ketara.

Memilih seting yang sesuai untuk Dynamic ESA ini adalah semudah memicit butang. Anda boleh memilih seting “seorang penunggang”, “penunggang dan pembonceng”, ataupun “penunggang, pembonceng dan bagasi”. Selepas itu, tidak perlu lagi memikirkan tentang redaman kemampatan mahupun lantunan, ataupun beban awal untuk ampaian depan atau belakang.

Dan pada amnya, Dynamic ESA ini sungguh berkesan! Selekoh-selekoh boleh diserang dengan agresif, manakala lopak-lopak diserap dengan mudah. Kesannya, ia memberikan keyakinan yang sangat tinggi kepada penunggang.

Posisi penunggang juga menyumbang kepada keyakinan ini, kerana BMW telah membentuk tempat duduk dan pasak kaki dalam cara di mana penunggang akan duduk tegak tetapi kakinya berada ke belakang sedikit daripada lutut. Ini menyebabkan penunggang akan berada di posisi yang selesa tetapi pada masa yang sama sentiasa bersedia untuk mengubah pusat graviti motosikal itu apabila berada di selekoh.

Seperti juga jentera S1000 yang lain, BMW memberikan pilihan untuk memuatkan sistem “tukarpantas” (quickshifter) HP Pro Shift Assist yang membolehkan penukaran gear tanpa klac kepada S 1000 XR. Unit yang kami uji mempunyai quickshifter ini, yang sememangnya agak handal.

Untuk menukar kepada gear yang lebih tinggi, pendikit hendaklah dalam kedudukan terbuka, manakala menukar kepada gear yang rendah, pendikit perlu ditutup dahulu. Boleh dikatakan, anda hanya akan menggunakan klac ketika masuk ke gear pertama ataupun ketika berjalan dengan perlahan, sebagai contoh di dalam trafik.

Pada masa lainnya, dan terutama sekali ketika sedang memecut ataupun mengurangkan kelajuan, klac itu umpama satu memori usang sahaja.

Ya, “penjimatan” masa yang diberikan oleh penggunaan quickshifter itu tidaklah terlalu bermakna di jalanraya awam, jika dibandingkan di track, tetapi … enak sangat digunapakai.

Perlu disebut juga, S 1000 XR ini di-bekalkan dengan tayar hadapan 120/70 ZR17 dan belakang 190/55 ZR17, yang cukup efektif dan memberikan penuh cengkaman di cuaca kering. Saya tidak dapat menguji tahap cengkaman tayar ini pada jalan yang basah, akan tetapi saya yakin ianya lebih daripada memuaskan. Ianya merupakan pilihan yang sangat sesuai bila dipadankan dengan jentera BMW ini.

Namun, S 1000 XR ini tidaklah bebas daripada beberapa kekurangan. Akan tetapi, kekurangan yang ada pula, tidaklah mustahil untuk di atasi.

Enjinnya mengeluarkan getaran yang ketara di gagang handlebar di antara 4,000 hingga ke 6,000 rpm sebelum ianya terasa seperti reda. Melihat kepada komen-komen daripada pemilik S 1000 XR ini di forum-forum atas talian, ramai juga pemilik yang mengalami getaran ini. Bukan semua orang merasakannya, akan tetapi saya cukup merasakannya sehingga setiap kali menunggang jentera ini berterusan selama lebih daripada satu jam, tangan saya berasa kebas!

Menurut forum-forum yang saya lihat, getaran ini boleh dikurangkan dengan memasang hujung gagang (bar ends) yang lebih berat pada gagang sedia ada. Menurut laporan daripada pemilik yang telah memasangnya, getaran di gagang itu banyak berkurang.

Unit ujian yang diberikan telah dipasang set pannier BMW di kedua-dua belah kenderaan. Dan dengan terpasangnya set pannier itu, bahagian belakang motosikal telah menjadi lebih lebar daripada bahagian depan, yang ditentukan oleh gagangnya.

Akibatnya, anda perlu peka dengan situasi ini, terutama sekali dalam kawasan bandar, di dalam arus trafik ketika menuras antara kereta-kereta. Saya telah beberapa kali terhiris kotak pannier (dengan lembut, kerana bergerak perlahan) di dalam senario yang saya sebutkan itu.

Masalah ini juga boleh diatasi dengan mencabut keluar kotak-kotak tepi itu, dan memasang kotak atas bagi perjalanan di mana anda di dalam mod “wira bandar”.

BMW juga telah mencipta skrin hadapan yang boleh diubah kedudukannya pada dua tahap. Menukar kedudukannya amatlah mudah, sebenarnya, dan boleh dilakukan sambil kenderaan itu bergerak.

Akan tetapi, saya tidak mendapati bahawa perlindungan daripada angin yang diberikan oleh skrin itu memadai, pada kedua-dua kedudukan. Pada kedudukan rendah, aliran angin seolah bertumpu kepada bahagian tengah topi keledar saya, menyebabkan saya merasai seperti tengkuk saya berlawanan angin sepanjang perjalanan.

Pada kedudukan yang tinggi pula, perlindungan angin telah diperbaik, tetapi kesan gelora di kiri dan kanan pula bertambah. Kesimpulannya, kedua-dua kedudukan tidak memberikan keselesaan kepada saya.

Akan tetapi, saya mengaku bahawa ini adalah sesuatu yang sangat subjektif, kerana ia bergantung kepada ketinggian penunggang dah posisi kepalanya ketika menunggang. Tambah pula, menukar skrin asal kepada yang lebih tinggi, lebih lebar dan/atau lebih rendah dan kurus adalah perkara remeh sebenarnya.

Sebagai kesimpulan, untuk menjawab soalan yang diajukan pada permulaan coretan ini, ya, S 1000 XR ini sememangnya sebuah motosikal yang amat sesuai untuk merentas benua, dan untuk melakukannya dengan (sangat) pantas dan selesa. Ianya juga sebuah motosikal yang memberikan penuh keyakinan kepada penunggang, dengan bantuan elektronik yang meluas.

Getaran pada gagang di 4,000 hingga ke 6,000rpm itu boleh diatasi dan sebenarnya bukanlah satu masalah. Bila itu diketepikan, boleh dikatakan BMW telah mencipta sebuah penanda aras baru, dan agak tinggi, bagi kategori sports adventure ini dan inilah cabaran kepada pengeluar-pengeluar lain untuk mencapainya, mahupun mengatasinya.

Memiliki sebuah BMW S 1000 XR, dalam kata lain, bukanlah sesuatu yang akan anda kesali. RR

Isu Pada

September 2016

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 siinder sebaris, sistem penyejuk cecair
Isipadu999cc
Gerek x Lejang80 x 49.7mm
Nisbah mampatan12.0:1
Kuasa maksimum160hp pada 11,000rpm
Tork maksimum112Nm pada 9,250rpm
Tinggi pelana 840mm
Berat228kg
Isi tangki20 liter
PengeluarBMW Group Malaysia

Popular

  • Warta Roda

    CFMOTO 800NK Menang 'Product Design' Terbaik di Anugerah Red Dot

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Harley-Davidson Road Glide & Street Glide 2024 Di Pasaran Negara. Harga dari RM190,900.

Harley-Davidson Malaysia telah melancarkan dua model terbaru iaitu Road Glide & Street Glide dan turut menampilkan model eksklusif CVO Road Glide ST Edisi Ulang Tahun.

Warta Produk

GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-30 penubuhan GIVI Asia, pengeluar aksesori terkemuka itu telah melancarkan kotak simpanan aluminium terbaharu iaitu “THE MATTERHORN MONOLOCK TOP CASE”.

Warta Roda

Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

Suzuki Malaysia telah mengadakan sesi tunggang uji bersama pihak media baru-baru ini dengan menampilkan dua buah skuter terbaru mereka iaitu Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX.

Dari Litar

WorldSBK: Pasukan BMW Makin Ceria Dengan Prestasi Toprak!

Pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK menyediakan jentera sebaiknya buat Toprak dan Michael Van Der Mark untuk sebarang senario di sini.