Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 25 November 2020

CFMOTO 250SR Mantap, Hebat & Tidak Mengecewakan

CFMOTO adalah salah satu jenama yang cukup terkemuka di China. KTNS Holdings Sdn Bhd merupakan pengedar rasmi jenama tersebut di Malaysia. Untuk memperkukuhkan lagi jenamanya, CFMOTO telah memperkenalkan sebuah model sportbike pertama mereka pada hujung bulan Julai yang lalu.

Sebuah jentera berkuasa tinggi ataupun sportbike sudah pasti menjadi kegilaan buat sesetengah penunggang dua roda di Malaysia. Untuk menunggangnya memerlukan seseorang itu mempunyai lesen B penuh. Namun, bagi mereka yang memiliki lesen B2 tiada halangan untuk memiliki CFMOTO 250SR kerana ia sebuah jentera berkapasti tidak melebihi 250cc. Model ini juga direka buat mereka yang mahu berjinak-jinak dalam segmen sportbike.

Terdapat dua varian untuk model ini iaitu SE (Edisi Istimewa) dan LE (Edisi Terhad). Apa yang membezakan kedua-dua varian ini hanya warna sahaja iaitu SE ditawarkan dalam bentuk warna Nebula Black manakala LE pula Turquoise Blue. Dari segi spesifikasi enjin masih sama. Model yang RR pandu uji adalah model SE. Terima kasih diucapkan atas kesudian pihak KTNS Holdings memberi peluang buat kami merasa sendiri kehebatan jentera ini.

CFMOTO 250SR (SR merupakan singkatan untuk Sport Racing) mempunyai rekabentuk yang agresif , moden dan terkini demi memenuhi keperluan setiap penunggang. Boleh dikatakan jentera ini bakal menjadi pesaingan dalam segmen sportbike kelas pertengahan. Jika dilihat 250SR memilik rekabentuk yang kecil walaupun ianya sebuah jentera 250cc. Sebaik duduk di atasnya seperti menunggang sebuah jentera sportbike berkapasiti 150cc. Sudah menjadi trend masa kini di mana kebanyakan motosikal berkapasiti besar dibina dengan bentuk yang kecil sedikit.

Pandangan di bahagian hadapan cukup mantap! Mesin ini diserlahkan lagi dengan kehadiran lampu utamanya berbentuk seperti mata Helang yang lengkap dengan kemasan LED. Lampu belakang dan lampu isyarat juga turut disempurnakan dalam bentuk LED. Suluhannya amat terang ketika menunggang pada waktu malam.

Pelana yang setinggi 780mm cukup mudah untuk dipanjat oleh semua jenis penunggang tidak kira tinggi ataupun rendah. Bar handel yang rendah menawarkan posisi tunggangan sporty. Memang patut model ini berDNAkan seperti jentera perlumbaan. Rekaan tangki bahan api memberikan keselesaan optimum buat penunggang ketika berada di jalan-jalan berliku ataupun memerah pendikit dengan galak semasa di lebuhraya.

Selepas sahaja memulas kunci utamanya, memang cukup canggih. Mata kami terus tertumpu pada paparan meter TFTnya. Ia memaparkan pelbagai maklumat penting seperti tahap kelajuan, putaran rpm, masa, suhu, jarak perjalanan, kedudukan gear dan tahap bahan api. Model 250SR turut memiliki panel meter dengan dua jenis paparan yang berbeza untuk mod Sport dan Eco. Apa yang menarik, skrin paparan tersebut terdapat teknologi auto-adjust di mana kita boleh menetapkan kadar kecerahan pada lampu meter mengikut keadaan tidak kira pagi atau malam.

Untuk menghidupkan enjin CFMOTO ini perlu menolak butang suis penghidup ke bawah yang terletak di sebelah kanan bar hendal. Dengan sekali tolak enjin dapat berputar dengan baik. Deruman sederhana kuat kedengaran apabila enjinnya dihidupkan. Tidak lama kemudian kami mula memulas pendikit dengan lebih galak lagi. Putaran rpm hampir mencecah 10,000rpm. Sistem ekzos mula mengeluarkan deruman bunyi yang cukup garang. Fuhh! Memang terbaik… Ini membuatkan kami semakin tidak sabar untuk menguji prestasi 250SR.

Kami dapat rasakan enjin bertransmisi enam kelajuan ini berputar dengan lancar sekali sebaik 250SR digerakkan. Mod Eco dipilih untuk tunggang santai. Sebagai sebuah jentera sportbike, posisi tunggangan yang membongkok sedikit agak memenatkan apabila menunggangnya di tengah-tengah kesesakan dalam kota. Namun, ia bukanlah alasan untuk kami berseronok dengannya.

Kami mula menukar haluan ke luar bandar. Menunggang dalam kawasan kampung memang menyeronokkan sambil menghirup udara segar. Keadaan trafik di sini tidak sesak dan kurang dengan kenderaan. Jentera ini juga ternyata mampu menarik perhatian orang sekeliling. Ada sahaja mata yang memandang.

Kami menukar mod Sport sebaik sahaja memasuki lebuhraya. Sebelum itu, 250SR didatangkan dengan enjin empat lejang, 249cc, silinder tunggal DOHC dengan sistem penyejuk cecair. Gerek bersaiz 72mm manakala lejang 61.2mm mampu menghamburkan kuasa maksimum 20.5kW pada 10,000rpm dan tork 22Nm pada 7,500rpm.

Sistem klac yang lembut memudahkan kami menukar gear tanpa sebarang masalah. Jalan semakin lengang, inilah masanya untuk memecut. Semakin lama pendikit mula diperah dengan lebih galak lagi. Satu persatu gear ditambah sehinggalah tahap kelajuan hampir mencapai 150km/j. Itulah kelajuan yang dapat kami capai.

Dengan berat 165kg beserta kerangka jenis trellis, mesin ini menawarkan pengendalian yang mudah. Walaupun dipecut ke tahap maksimum, 250SR tidak langsung terasa seperti melayang-layang.

Semakin lama menunggangnya, semakin seronok pula rasanya. Kami membawa jentera ini ke laluan berselekoh pula. Untuk sentiasa berada tepat di laluannya dengan yakin, 250SR dilengkapi dengan tayar-tayar bersaiz 110/70 R17 (depan) dan 140/60 R17 (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan sempurna. Tetapi apabila permukaan jalan basah tungganglah secara berhati-hati. Bahaya tidak kenal anda seorang yang profesional atau tidak.

Tunggangan akan lebih sempurna dengan adanya sistem saspensi yang baik. Saspensi jenis terbalik (USD) di bahagian hadapan telah bekerja dengan kemas. Segala hentakannya amat sempurna semasa membrek. Di belakang pula menggunakan penyerap hentak tunggal. Jentera tidak terasa seperti membuai ketika kami mengambil selekoh. Sekali gus memberikan keselesaan buat penunggang.

Setiap jentera amat memerlukan sistem brek yang mantap. Model ini telah dilengkapi dengan brek cakera 292mm di bahagian hadapan, manakala belakang pula cakera 220mm. Ternyata sistem brek bertindak dengan baik sekali. Ini membuktikan kami dapat memberhentikan kelajuan dengan cepat dan mudah.

Tidak kira menunggang dekat ataupun jauh kita pasti terdedah dengan perubahan cuaca. Tambahan lagi, bila hampir sahaja hujung tahun hujan sentiasa turun tidak kira waktu. Pada waktu petang orang mula pulang dari tempat kerja, jalan semakin sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Apa yang kami lihat, masih lagi ada sesetengah penunggang/pemandu yang suka menukar laluan sesuka hati.

Semasa kami menunggang 250SR (pada waktu hujan), terdapat sebuah kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba tanpa memberi sebarang isyarat. Dengan rasa terkejut, kami terus menekan tuas brek. Mujurlah 250SR mempunyai sistem ABS di bahagian depan dan belakang. Jentera yang dipacu dapat diperlahankan dengan selamat walaupun membrek dengan kuat. Tayar langsung tidak menggelongsor.

Mesin ini dilengkapi tangki bahan api 12 liter. Kami dapat memacunya sejauh 210 kilometer dengan sekali isian sahaja. Penggunaan petrol juga memainkan peranan. Kadar kegunaan bahan api akan berubah mengikut saiz penunggang, cara dan gaya tunggangan seseorang.

Jika anda berminat dengan model ini, CFMOTO 250SR ditawarkan pada harga RM15,800 (edisi istimewa) dan RM17,800 (edisi terhad). Setiap pembelian akan menerima waranti kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). Takkan lah nak tengok sahaja… mari kunjungi bilik pameran KTNS Holdings Sdn Bhd atau ke pengedar sah jentera CFMOTO yang terdapat di seluruh Malaysia. RR

Isu Pada

Oktober 2020

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, empat lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isi padu249cc
Kuasa maksimum20.5kW pada 10,000rpm
Tork maksimum22Nm pada 7,500rpm
Transmisi6 kelajuam
Tayar110/70 R17 (depan) & 140/60 R17 (belakang)
Brek cakera 292mm (depan) & cakera 220mm (belakang) beserta ABS
Tinggi pelana780mm
Tangki bahan api12 liter
PengedarKTNS Holdings Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    BMW Motorrad Umum Ketibaan Jentera Elektrik, CE 02

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Lancarkan 3 Model Serba Baru

  • Warta Roda

    Beli Suzuki GSX-8S, GSX-S150 atau Raider R150Fi & Berpeluang Menang GSX-S1000GX

  • Warta Roda

    CFMOTO 800NK Menang 'Product Design' Terbaik di Anugerah Red Dot

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Suzuki Malaysia Lancarkan 3 Model Serba Baru

Bersempena dengan acara Malaysia Autoshow 2024, Suzuki Malaysia hari ini telah melancarkan tiga model sensasi yang dinanti-nantikan iaitu Suzuki GSX-S1000GX, Suzuki GSX-8R dan V-Strom 800.

Warta Roda

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Seramai 13 wakil pengedar dan pemilik Yamaha dari Taiwan telah menikmati pengalaman menunggang di Malaysia baru-baru selama 4 hari 3 malam dengan jarak perjalanan sejauh 1,050 kilometer.

Warta Roda

Yamaha RXZ Diseludup Masuk dari Thailand?

Model popular, Yamaha RXZ antara kenderaan yang dikesan mula aktif diseludup masuk ke dalam negara melalui Sungai Golok, Kelantan.

Warta Roda

Tiga Warna Baru Yamaha Y15ZR

Hong Leong Yamaha Motor menampilkan warna terbaru untuk model Y15ZR iaitu Cyan, Biru & Kelabi.