Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 8 Disember 2020

MV Agusta Superveloce 800 Keanggunan Yang Tinggi Nilainya

Sejak MV Agusta berada di bawah pemilikan hartawan Rusia iaitu keluarga Sardarov, beberapa perubahan yang hebat telah berjaya dilakukan pada syarikat bersejarah milik Giovanni Castiglioni. Antara 'bintang' yang sedang bersinar ialah Superveloce 800. Ia adalah satu di antara beberapa model baru yang akan diperkenalkan satu demi satu. Apa yang lebih mengagumkan, jentera yang cukup cantik ini merupakan hasil rangkaian dan ilham bekas pemilik syarikat dari Itali ini.

Tidak dinafikan, Superveloce 800 menawarkan rekabentuk gabungan baru dan lama, retro dan avantgarde yang benar-benar anggun serta menggoda. Ciptaan yang sangat mengagumkan. Itulah kata-kata yang layak diberikan buat pencipta jentera ini, Adrian Morton yang telah berkhidmat sebagai Pengarah Rekabentuk MV Agusta selama 16 tahun. Sepanjang tempoh beliau bertugas, sudah berlaku tiga kali perubahan pemilik terbaru. Dari keluarga Castiglioni ke Harley-Davidson, kemudian kembali semula ke keluarga Castiglioni dan yang terkini tentulah menjadi milik kepada keluarga Sardarov. Sasaran Morton ialah untuk menjadikan syarikat ini berada di tempat paling depan dalam konteks inovasi serta ciptaan.

Superveloce 800 adalah contoh terbaik! Model ini diasaskan daripada platform F3 800 Supersport. Kali pertama model Superveloce ini dipertontonkan buat tatapan umum ialah di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA 2018 lalu dan telah menerima pengiktirafan sebagai The Most Beautiful Motorcycle of the Show. MV Agusta kemudiannya dijemput untuk menyertai acara berprestij, Villa d'Este Concorso d'Eleganza yang sekali mengangkat nama MV untuk meraih kemenangan di tempat pertama dalam kategori Motosikal Konsep.

Pada minggu yang sama, MV telah membuka tempahan di talian untuk versi Edisi Terhad Serie Oro yang berwarna Metallic Scarlet/Silver. Menurut Pengarah R&D MV, Brian Gillen, kesemua unit Serie Oro ini telah terjual dalam masa enam hari sahaja. Sayangnya produksi untuk model terhad ini terganggu berikutan ancaman Covid-19 yang menyebabkan penutupan keseluruhan operasi selama 10 minggu. Ini bererti, jadual produksi yang sepatutnya bermula pada bulan Februari lalu terpaksa ditunda seketika. Kini model yang ditunggu-tunggu itu telah pun siap sepenuhnya.

Superveloce Serie Oro
Superveloce Serie Oro

Bersempena EICMA 2019 yang lalu, MV Agusta telah memperkenalkan versi jalanan biasa yang mempunyai rekabentuk yang sama. Harganya sekitar €20,300 (termasuk cukai 22% + waranti kilang 3 tahun tanpa had perjalanan), memang lebih rendah berbanding versi Serie Oro yang ditawarkan pada harga €27,990. Model baru ini ditawarkan dalam warna red/silver, red/charcoal atau white/charcoal. Produksi untuk model ini juga telah bermula. Ini amat bagus sekali.

Peluang untuk menunggang uji jentera ini memang ditunggu-tunggu. Walaupun terpaksa berhadapan dengan cuaca yang panas (36°C), sesi ini amat penting agar segala persoalan penting akan terjawab. Adakah Superveloce ini sebuah jentera serba boleh? Adakah prestasi Superveloce sama hebat seperti rekabentuknya? Semuanya akan terjawab....

Oleh kerana ia bukanlah unit Serie Oro, model ini tidaklah begitu mewah tetapi jangan silap ya, ia masih cantik dan anggun. Kemasan bahagian fairingnya yang menyembunyikan semua skrew membuatkan kita akan mengagumi penciptanya.

Kesempurnaan MV Agusta ini turut disumbangkan oleh bahagian depannya yang berbentuk seperti hidung, lampu utama dan belakang poly-ellipsoidal, bentuk pelana belakangnya yang menarik dan spoiler kecil di bahagian hadapan fairing yang tidaklah mengganggu penglihatan kita sewaktu menundukkan kepala ketika memecut.

Tubuh badan Superveloce ini dibuat menggunakan plastik berbanding bahan gentian karbon yang digunakan pada model Serie Oro. Lengan ayun model Oro berwarna seperti tembaga tetapi untuk model biasa, ia berwarna hitam.

Model Oro telah dilengkapkan dengan paip dua corong Neo-Agosni ciptaan SC Project yang bukan sahaja cukup cantik tetapi juga menghasilkan bunyi yang mantap. Untuk model biasa, ia didatangkan dengan sistem 3-1-3 'Morton Organ' yang lengkap dengan powervalve yang menjanakan kuasa hantaran sama tinggi dengan model F3 800 iaitu 148 bhp/108 kW pada 13,000 rpm dan tork 88 Nm/8.97 kg, pada 10,600 rpm. Tidak banyak perubahan yang dilakukan pada bahagian enjin melainkan di bahagian valve timing manakala ECU Eldor telah ditala semula agar hantaran kuasa di peringkat pertengahan lebih tinggi.

Sebaik sahaja memanjat ke atas pelananya, saya dapat rasakan betapa seronok motosikal MV ini malah posisi menunggangnya lebih selesa berbanding F3 yang lebih tertumpu sebagai jentera lumba. Bar hendal telah ditinggikan sebanyak 18mm dan sedikit ke belakang. Menurut Brian Gillen, bahagian belakang jentera ini direndahkan sebanyak 15mm. Walaupun nampak kecil tetapi kesannya amat baik kerana kita tidak perlu lagi membongkok. Bahagian tangan dan bahu tidak dibebankan dengan berat tubuh badan (seperti menunggang F3).

Gillen turut melakukan pemetaan baru yang kini lebih sesuai dengan karaktor Superveloce. Prestasinya memang hebat. MV ini didatangkan dengan sistem powershifter dua arah yang cukup lancar. Kita juga tidak perlu sering kali menggunakan kotak gear seperti mana menunggang F3. Dengan keluasan banjaran kuasanya, enjin Superveloce ini dapat diturunkan sehingga 5,000rpm – memang boleh ditunggang di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Walaupun begitu, kita akan terasa haba panas di bahagian sisi kiri ketika menunggang jentera ini dengan perlahan.

Sistem ekzos ikonik milik MV Agusta ini berderum dengan megah setiap kali pendikitnya direntap. Hantaran kuasa jelas dirasakan bermula pada 7,000rpm dan ketika inilah kekuatan torknya (72Nm) dapat kita nikmati. Ketika putaran berada separuh daripada garisan merah, kemantapan enjin MV ini memang cukup terasa. Jika kita bermain gear-gear dalam kedudukan 11,000rpm, tayar hadapan pasti terangkat dan inilah yang dinamakan nikmat dalam bermotosikal. Pecutannya amat pantas tetapi setiap pemilik jentera ini pastinya akan lebih kagum dengan tahap pengendaliannya yang cukup mudah.

Untuk model ini, MV telah melengkapkan jentera ini dengan mod tunggangan Custom yang sesuai untuk kegunaan litar tetapi saya tidak begitu cenderung untuk menggunakannya. Saya lebih suka merentap pendikit dengan ganas dan menikmati kekuatan brek enjinnya. Apabila bertukar kepada mod Race, respon pendikit terus bertukar menjadi lebih mantap. Saya lebih sukakan mod Sport yang dirasakan lebih ideal. Dalam mod ini, saya dapat mengambil kesempatan di atas kerangka berinspirasi dari model F3 dan fork jenis Marzocchi yang membenarkan kita berada di dalam selekoh dengan pantas.

Tahap cengkaman yang cemerlang dari tayar 180 di belakang dan geometri kemudi yang tangkas, Superveloce dapat kita miringkan ke kiri dan ke kanan dengan mudah – pakej inilah yang diidam-idamkan. Dengan penggunaan mod Sport, brek enjin dikurangkan sedikit dan ini membolehkan saya meratah setiap selekoh dengan lebih pantas. Saspensi belakang jentera telah diperhalusi untuk memberi tindak balas dengan lebih lembut. Ia menyerap dengan baik sewaktu saya merentap pendikit untuk memecut dengan pantas di permukaan jalan yang agak beralun. “Ia adalah sebuah motosikal yang amat meyakinkan!”

“Saya gembira awak cukup yakin dengan jentera ini,” kata Brian Gillen sewaktu menegur saya yang sedang menyejukkan diri dari suhu 36°C.

Saya cukup bertuah kerana MV telah melengkapkan model ini dengan brek jenis Brembo yang mampu memperlahankan kelajuan dengan cepat dan meyakinkan. Superveloce ini meninggalkan memori indah buat sesiapa sahaja yang bersamanya, itu saya pasti. Superveloce merupakan sebuah jentera yang mudah benar untuk dikawal. Kita tidak perlu bersusah payah menariknya di dalam untuk mencecah lutut atau menggunakan brek dengan kuat ketika mencari laluan yang tepat di dalam selekoh. Gunakan gear yang betul, arahkan bebanan badan dan rasailah tindak balasnya yang tangkas.

Superveloce merupakan sebuah jentera moden dan tradisional pada masa yang sama. Gaya tunggangannya juga menarik – lebih relaks dan menyeronokkan. Pecut, miringkan dalam selekoh, keluar dan pecut semula tanpa ragu-ragu. MV Agusta terkenal dengan slogan Motorcycle Art dan Superveloce ini amat tepat dengan kata-kata itu. Namanya hebat, rupanya menarik dan menunggangnya cukup mantap. Bagi saya, ia adalah satu ciptaan yang bijak! Bagi mereka yang memilikinya, “Untung laaaaa...” RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Milagro/Thomas Maccabelli

Isu Pada

Oktober 2020

Spesifikasi

Enjintiga silinder, 4 lejang, 12 injap
Isipadu798cc
Gerek x Lejang79 x 54.3mm
Kuasa maksimum108kW pada 13,000rpm
Tork maksimum88Nm pada 10,600rpm
Saspensifork teleskopik Marzocchi USD (depan) & penyerap hentak tunggal dengan spring pra-beban
Tayar120//70-ZR17 (depan) & 200/55-17 (belakang)
Tinggi pelana830mm
Isi tangki16.5 liter
Berat173kg

Popular

  • Warta Roda

    Beli Suzuki GSX-8S, GSX-S150 atau Raider R150Fi & Berpeluang Menang GSX-S1000GX

  • Warta Roda

    CFMOTO 800NK Menang 'Product Design' Terbaik di Anugerah Red Dot

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

MSBK1000: Azroy Menang Dengan Bergaya

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan BOON SIEW HONDA RACING TEAM dalam kategori MSBK1000 A mendapatkan kemenangan kedua di pusingan satu MSBK 2024.

Model Baru

Vmoto Sudah Berada Di Malaysia. Lancarkan CPx PRO dan TC Max

Vmoto, pengeluar jentera elektrik terkemuka global, kini mengumumkan kemasukannya ke pasaran Malaysia dengan memperkenalkan dua model terbaharu iaitu CPx PRO dan TC Max.

Model Baru

Lambretta Kembali Ke Pasaran Malaysia. Bakal lancarkan model X250 dan G350 tidak lama lagi...

Lambretta telah mengumumkan kehadirannya secara rasmi di Malaysia. Sebagai ikon yang menggabungkan keanggunan klasik Itali dengan tema moden-retro yang bergaya, rangkaian skuter Lambretta menawarkan stail yang berkekalan sepanjang zaman.

Warta Roda

Castrol Tawar Program Insurans Percuma Buat Penunggang Motosikal

Castrol dengan bangganya telah memperkenalkan satu inisiatif khas buat penunggang motosikal iaitu "Program Insurans Percuma".