Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 17 Februari 2021

Honda BeAT 110: Lincah, Praktikal & Mudah Dikendali

Bercerita mengenai skuter, ia sebuah jentera yang amat mudah dikendalikan kerana untuk menggerakkannya kita tidak perlu menggunakan gear. Pulas sahaja pendikit untuk meningkatkan kuasa. Bagi mereka yang ingin mencari sebuah jentera yang tahan lasak, jimat dan mampu milik, Honda BeAT 110 adalah antara pilihannya.

BeAT merupakan sebuah skuter pilihan yang tepat buat mereka yang berdepan dengan kesesakan lalu lintas setiap hari. Model ini merupakan sebuah jentera yang ringan untuk dipacu ke mana sahaja serta memiliki tubuh badan yang ramping. Dengan rekaan aerodinamik dan sporty, kami yakin model ini mampu menawan hati mereka yang melihatnya.

Pelana yang empuk memberi keselesaan buat penunggang mahupun pembonceng. Dengan ketinggian pelana 740mm, mesin ini mudah untuk dipanjat buat semua golongan terutama kaum wanita. Ruang di antara penunggang dan bar hendal cukup luas. Kami boleh mengubah posisi tunggangan dengan pantas ketika memecut atau mengambil selekoh. Lantainya juga boleh dikatakan lebar. Kita boleh meletakkan kaki di mana sahaja mengikut keselesaan. Dengan hanya menggunakan satu kunci, kita dapat menghidupkan enjin, membuka pelana dan mengunci.

Untuk membuka pelananya senang sahaja. Putarkan kunci ke ‘SEAT’ kemudian tekan suis SEAT yang terletak bersebelahan kunci utama. Ia akan terbuka dengan lembut. Memang tidak asing lagi, setiap model skuter pasti mempunyai ruang bawah pelana. Untuk memudahkan pergerakan, BeAT disempurnakan dengan tempat penyimpanan barang bawah pelana yang lebih besar dan berkapasiti 11.7 liter (berbanding dengan model lama 11.2 liter).

Pemilik dapat menyimpan pelbagai jenis barang seperti set baju hujan, set penyelenggaraan, botol air, sarung tangan dan beg tangan. Buat kaum wanita pasti rasa selamat dan yakin untuk ke mana sahaja kerana dapat menyimpan barang peribadi. Sayangnya, ruang tersebut tidak mampu memuatkan sebuah topi keledar. Harap pihak BSH dapat mempertimbangkan masalah ini pada masa akan datang. Bagi mereka yang gemar ke pasar atau membeli barang, terdapat tempat penyangkut yang terletak di belakang fairing hadapan.

Ruang dan rekaan bahagian kokpit memang kemas dan sedap mata memandang. Selain ruang di bawah pelana, model ini turut dilengkapi dengan ruang kecil yang terletak di bahagian bawah kepala. Kita dapat meletakkan barang-barang yang kecil seperti kain, powerbank, telefon pintar, kunci dan macam-macam lagi.

Menghidupkan skuter ini sangat mudah. Naikkan tongkat sisi, putar kunci utamanya, tarik tuas brek dan tekan suis penghidup. Sebaik sahaja dihidupkan, pergerakan enjin 109.51cc ini cukup senyap dan lancar. Selain suis penghidup elektrik, enjin pada model ini juga boleh dihidupkan menggunakan kaedah tendang.

BeAT didatangkan dengan enjin silinder tunggal, SOHC, 4 lejang dengan sistem penyejuk udara menawarkan pengalaman tunggangan yang mengasyikkan. Model ini juga turut disempurnakan dengan enjin eSP (enhanced Smart Power). Teknologi ini berfungsi membantu pecutan kuasa lebih efisien, pembakaran lebih cekap dan pengurangan kehilangan kuasa. Sistem suntikan bahan api (PGM-FI) yang mematuhi piawaian Euro 4 melancarkan lagi pergerakan skuter ini. Kita dapat membuka dan menutup pendikit tanpa sebarang masalah.

Gerek bersaiz 47.000mm dan Lejang 63.121mm menawarkan kuasa tork yang mantap dalam kelasnya. BeAT memiliki kuasa tork 9.53Nm pada 5,500rpm mampu menggerakkan mesin seberat 90kg dengan bantuan sistem pacuan akhir CVT (tali sawat) yang beroperasi dengan baik. Enjin baru ini sangat segar dan lancar sebaik pendikit dipulas dan membolehkan kita meluncur ke hadapan dengan pantas tanpa sebarang gangguan.

Kami sedar BeAT bukanlah sebuah jentera untuk dipecut, namun jentera ini perlu diuji. Berbekalkan kuasa maksimum 6.47kW pada 7,500rpm, skuter ini mampu mencapai kelajuan sehingga 110km/j. Ketegaran casisnya membantu pecutan di lebuhraya dengan lebih meyakinkan.

Apabila melihat paparan meter analog dan LCDnya, ia ringkas tetapi menarik dan mudah dibaca tidak kira waktu. Dengan sekali imbas sahaja kami dapat melihat informasi penting seperti tahap kelajuan, bahan api dan jarak perjalanan. Lampu penunjuk ‘ECO’ pada paparan meter akan menyala apabila jentera ditunggang santai untuk penjimatan yang optimum. Lampu ini akan tetap menyala apabila keseimbangan di antara kuasa dan bahan api tidak melebihi 60 km/j. Namun, lampu ECO akan terpadam sebaik sahaja pendikit dipulas dengan lebih galak untuk mencapai kuasa tertinggi.

Menunggang di dalam kawasan bandar memang mencabar tetapi bukan untuk BeAT ini. Kerangka jenis underbone dengan teknologi eSAF (enhanced Smart Architecture Frame) yang lebih ringan menawarkan pengendalian amat mudah. Jentera ini dapat dilayangkan ke kiri dan kanan dengan selamat. Untuk memintas dan mencelah kenderaan yang bersesak-sesak di dalam bandar juga mudah. BeAT akan menuju ke destinasi dengan selesa.

Sistem keselamatan pada BeAT diperkemaskan dengan penggunaan brek hadapan jenis cakera dan gelendong (belakang). Sistem brek ini lebih meyakinkan dengan teknologi Combi Brake (CBS) yang direka oleh Honda sendiri. Bagaimana CBS ini berfungsi? Brek hadapan dan belakang akan bekerja dengan serentak apabila kita menekan tuas brek di sebelah kiri. Jentera akan berhenti dengan jarak yang lebih dekat. Untuk cengkaman lebih baik, tarik sahaja kedua-dua tuas brek. Terdapat juga pengunci tuas brek di sebelah kiri untuk mencegah pemecutan atau pergerakan secara tidak sengaja apabila motosikal berhenti ketika enjin masih hidup.

Untuk sentiasa berada tepat di laluannya ketika mengambil selekoh, BeAT telah menggunakan sepasang tayar hadapan bersaiz 80/90 – 14 M/C dan 90/90 – 14 M/C (belakang). Miringkan sahaja badan motosikal ini, tayar akan menggigit permukaan jalan dengan cemerlang. Saspensi hadapan jenis fork teleskopik bertindak dengan kemas. Kita tidak akan mudah menggelongsor ke hadapan walaupun membrek dengan keras. Penyerap hentak belakangnya memberi keselesaan buat penunggang ketika mengambil selekoh.

BeAT boleh dijadikan sebagai teman pengembaraan. Menunggang pada waktu malam bersama jentera ini tidak mengecewakan. Ruang hadapan diperkemaskan dengan lampu utama jenis LED berbentuk agresif menawarkan suluhan yang amat terang. Rekabentuk di bahagian belakang diserlahkan lagi dengan penggunaan lampu belakang yang baru. Cukup jelas untuk penunggang di belakang melihat kehadiran kita.

Model yang memenuhi standard kenderaan cekap tenaga EEV (Energy Efficient Vehicle) ini menawarkan penjimatan penggunaan petrol. Kami dapat memacu BeAT sehingga 150 kilometer dengan sekali isian penuh tangki 4.2 liter. Penggunaan bahan api yang jimat adalah bergantung dengan jenis gaya tunggangan setiap individu tersebut.

Honda BeAT 110 ditawarkan pada harga RM5,555 (tidak termasuk cukai jalan, insurans & pendaftaran) dengan jaminan waranti selama 2 tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). Model ini mempunyai empat pilihan warna iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue, Force Silver Metallic dan Space Magenta Metallic. Untuk melihat lebih dekat, mari ke pusat pengedar sah motosikal Honda yang berdekatan dengan anda. RR

Isu Pada

Januari 2021

Spesifikasi

Enjinsatu silinder, SOHC, 4 lejang, sistem penyejuk udara
Isipadu109.51cc
Kuasa maksimum6.47kW pada 7,500rpm
Tork maksimum9.53Nm pada 5,500rpm
Sistem bahan apisuntikan bahan api PGM-FI
Saspensifork teleskopik (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang)
Tayar80/90 - 14 M/C (depan) & 90/90 - 14 M/C (belakang)
P x L x T1,877 x 669 x 1,074mm
Isi tangki4.2 liter
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Berita Kelab

Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

Konvoi Kembara Road Rider Crew Taiping (RRCT) 3.0 dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-4 kelab

Pandu Uji

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Kalau kita bercerita tentang jentera jalanan atau Streetbike kelas pertengahan yang betul-betul seimbang dari segi power, pengendalian dan feel tunggangan, Triumph Street Triple 765 adalah antara yang paling cemerlang.

Warta Roda

Mforce Smartshop Pertama Perak Dirasmikan

Sekalung tahniah buat Sin Lean Huat Trading Sdn Bhd yang kini dengan rasminya merupakan cawangan pengedar rasmi Mforce Smartshop yang pertama di negeri Perak.

Dari Litar

Penantian 10 tahun Malaysia, Hakim Danish Cipta Sejarah Baru

Hakim Danish Ramli melakar sejarah apabila meraih kemenangan sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas muncul juara di GP  Republik Czech.