Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 3 Ogos 2021

Yamaha Niken - Tiada Seumpamanya

Pelik, teruja, kagum dan akur bahawa ia memang lain daripada yang lain! Itulah perasaannya ketika memegang buat kali pertama jentera kembara bertayar tiga bernama Yamaha Niken. Niken bukanlah motosikal berstatus “Wow!” tetapi darjatnya lebih tinggi... “Woooowwwwwwwww!!” Ya! Itu baru sesuai.

Ia adalah antara satu-satunya motosikal yang mendapat perhatian semua orang bukan sahaja setiap kali berhenti tetapi juga ketika berada di atas jalan raya. Kira-kira 70% daripada penunggang jalan raya akan menekan hon, cuba rapat dan memberikan tanda bagus. Jarang benar kami berdepan dengan situasi seistimewa ini.

Apa itu Niken? Dalam bahasa Jepun, ia bermaksud 'Dua Bilah Pedang' yang dicipta pada abad ke-17 – kini diabadikan pada motosikal keluaran Yamaha yang memiliki sepasang tayar di depan.

Niken adalah sebuah motosikal untuk pengembaraan yang memiliki ciri-ciri di luar daripada kebiasaan. Mana tidaknya, jentera yang disempurnakan dengan enjin tiga silinder 847cc, CP3 ini hadir dengan rupawajah, rekabentuk dan teknologi yang mengagumkan. Bahagian belakang biasa saja tetapi bila beralih ke depan, segala kebijaksaan para pereka Yamaha mantap nampak jelas menerusi cara dan bagaimana mereka menggerakkan dua tayar di depan dengan sangat stabil. Apa yang kita nikmati kini adalah hasil ujian dan penilaian beribu jam yang dilakukan sebelum sistem ini diluluskan untuk kegunaan ramai.

Teknologi ini dinamakan Leaning Multi-Wheel (LMW), teknologi kawalan yang menggerakkan secara eksklusif jentera ini dengan stabil di semua permukaan jalan. Konsep asasnya ialah kedua-dua roda depan akan bergerak bersama/serentak ketika tubuh badannya dimiringkan. Dengan pergerakan dua tayar yang unik ini, Niken dapat kita gerakkan seperti motosikal biasa.

Jujur, pada mulanya Niken memang kekok sedikit untuk dikawal. Minda belum dapat memproses dengan tepat bagaimana untuk mengendali sebuah motosikal yang memiliki sifat ATV dan motosikal. Lama dahulu kami pernah menunggang sebuah skuter yang mempunyai sistem beroda dua di depan mirip seperti ini tetapi enjinnya tidaklah sebesar Niken.

Niken disempurnakan dengan kerangka Hybrid yang menghubungkan sistem LMW pada sistem penyerap dan tayar belakang. Teknologi LMW ini membenarkan jentera yang seberat 263kg bergerak dengan mudah dan tanpa ragu-ragu. Apabila kedua-dua tayar bergerak dengan serentak dan dalam sudut yang tepat, kita akan dapat lebih cengkaman – lebih yakin untuk melalui jalan-jalan berselekoh. Tayar hadapan bersaiz 120/70R15 manakala di belakang, 190/55R17 dan setiap satu tayar ini dikawal oleh sepasang fork USD boleh laras. Jadi, bahagian depan dikawal oleh empat batang fork yang cukup mantap.

Makin lama makin selesa. Posisi menunggang jentera ini memang natural, sama seperti kita panjat motor naked tetapi lebih mantap dan corak pengendaliannya sama seperti motosikal biasa lebih-lebih lagi apabila berada di lebuhraya. Apabila ada ekstra satu lagi tayar, kita lebih yakin untuk membaringkan motosikal ini dalam semua kelajuan.

Enjin CP3 ini berkuasa 113hp pada 10,000rpm dan tork 87.5Nm pada 8,500rpm yang mampu dipecut lebih daripada 205km/j. Pelindung udara di depan nampak macam kecil tetapi terbukti sudah cukup baik untuk memberikan keselesaan ketika memecut. Sistem Assist & Slipper Clutch (ASC) membolehkan kita menukar gear dengan lebih lancar terutamanya untuk memintas dan juga berseronok di laluan berselekoh.

Niken bagaikan magnet yang akan menarik semua orang untuk mendekatinya. Kalau nak kira nisbah orang yang datang menyapa kami setiap kali berhenti, ianya 8:10. Bagi peminat motosikal, mereka akan tanya tentang namanya, berapa saiz enjin, harga dan kebenaran untuk bergambar. Bagi bukan peminat motosikal, kebanyakannya akan bertanyakan tentang teknologi LMW ini, cara ia berfungsi, kestabilan dan harganya. Yamaha Niken ini bernilai di antara RM110,000 hingga RM115,000.

Enjin yang digunakan pada Niken ini diambil daripada model MT-09 yang telah dipadatkan dengan sistem elektronik cukup padu! Antaranya ialah mod tunggangan (tiga tahap), cruise control, traction control, ABS dan Quick-Shifter. Mod tunggangan model ini ada tiga tahap.

Tahap 1 paling mantap dan power. Tahap 2 sesuai untuk tunggangan biasa dan Tahap 3 paling rendah yang sesuai di kala hujan. Memang best betul mod Tahap 3 ini, walaupun pendikit dipulas dengan galak, kuasa hantarannya tetap perlahan dan 'lembab' – selamat betul kalau di jalan basah/licin.

Perjalanan di lebuhraya tidak memenatkan. Ia datang daripada sistem Cruise Control yang boleh ditala dengan sangat mudah, semuanya terletak di jari kita. Selepas membuat talaan yang sesuai, kelajuan masih dapat ditingkatkan dengan menekan butang '+'. Tekan pula butang '-' untuk memperlahankannya atau tekan RES (resume) untuk kembalikan pada kelajuan yang diset awal tadi. Sistem ini dimatikan apabila pendikit ditutup atau menggunakan brek.

Tidak ramai yang dapat menikmati betapa sensasinya jentera bertayar tiga ini dan tidak dinafikan, kami amat bertuah. Niken dibawa ke kawasan berselekoh tajam dan sesekali terlintas juga di fikiran - kemungkinan tak sebelah tayar akan terjungkit bila kita meleper terlalu dalam. Jawapan tidak sama sekali kerana kadar miringan maksimum untuk Niken ini ialah 45 darjah dan dengan pengagihan berat 50/50, tahap keseimbangannya memang sempurna.

Apa pun, selepas berjam-jam mengulangi laluan yang sama.... kami dapati Niken ini bukanlah sebuah mesin yang sesuai untuk penunggang biasa. Benar... mekanisma LMW jadikannya lebih cengkaman tetapi untuk memiringkan sebuah motosikal yang sebesar dan seberat Niken (khususnya di bahagian depan) tetap memerlukan pengalaman agar beban tubuh badan dapat digunakan bagi 'meletakkan' jentera ini dengan stabil di laluan yang mencabar. Ia bukan sebuah jentera yang boleh kita tunggang hanya dengan memilih sistem TC dan mod yang betul. Lagi pun, Niken bukanlah direka sepenuhnya untuk laluan berselekoh!

Bahagian depan Niken dikemaskan dengan lampu-lampu LED yang terang. Cermin sisi Yamaha ini diasaskan dari model YZF-R1 dan ia dipasang dengan lampu isyarat. Dengan saiz yang besar dan lampu-lampu amat terang, Niken ini mudah dilihat walaupun dari jarak jauh. Pergerakan di lebuhraya mudah, apabila diberi ruang, pulas sahaja pendikitnya untuk meluncur pantas ke hadapan.

Lengan ayun Niken direka lebih panjang iaitu 552mm, lebih 15mm berbanding MT-09. Lengan ayun ini dikawal oleh sistem penyerap hentak bahagian belakang jenis monocross boleh dilaras sepenuhnya. Ia adalah satu kemestian jika Yamaha mahu mengiktiraf Niken sebagai jentera kembara. Biar kita selesa untuk kita kawal setiap pergerakannya sama ada menunggang solo, berpasangan atau membawa bebanan barangan.

Kami benar-benar kagum dengan Niken apabila dibawa ke dalam bandar. Jika tidak terlalu sesak, jentera ini boleh mencelah dengan pantas dan selesa. Kami lipat cermin sisi ke dalam sedikit. Ia seperti ketika kita menunggang XJ6 atau Tracer yang menggunakan kotak barang sisi, cuma bezanya Niken lebar di depan.

Niken telah kami bawa menjelajah hampir ke separuh negeri Selangor. Harapnya angka positif Covid-19 turunlah, rindu juga makanan dan tempat-tempat menarik di negeri lain. Untuk satu tangki 18 liter, ia menawarkan perjalanan sejauh 320 kilometer. Kedudukan bar hendal yang sempurna, posisi/tinggi pelana yang sesuai memberikan 100% keselesaan. Bukan terlalu memuji Niken ini tetapi itulah hakikatnya (pada pengalaman kami). Tidak ada sakit-sakit atau ketidakselesaan pada mana-mana bahagian.

Kedua-dua tayar di hadapan dipadankan dengan brek-brek cakera hidraulik bersaiz 298mm beserta ABS manakala di belakang, ia dikawal oleh brek cakera hidraulik yang bersaiz 282mm juga lengkap dengan ABS.

Walaupun dikatakan berkali-kali Niken sama seperti motosikal biasa, bagi kami Niken adalah Niken. Tidak ada seumpamanya! Perasaan ketika berada di atasnya sangat unik dan berbeza daripada menunggang jentera berkuasa tinggi yang lain. Niken berada di tahap yang lebih tinggi. Tahniah buat Yamaha di atas kejayaan mereka menghasilkan sebuah jentera abnormal yang amat mengagumkan.

Apa yang boleh dibincang ialah tentang harganya. Nilai yang mencecah RM100 ribu ini bukan murah. Niken lebih sesuai buat mereka yang benar-benar berkemampuan, ingin sesuatu yang berbeza dan pencinta motosikal sejati. Jika tidak... dapatkan Yamaha MT-09 yang boleh dimiliki pada harga sekitar RM50,000 atau Yamaha Tracer 900 GT RM60,000 yang juga lengkap dengan pelbagai sistem elektronik terkini. RR

Isu Pada

Jun 2021

Spesifikasi

Enjintiga silinder, 12 injap, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu847cc
Kuasa maksimum113hp pada 10,000rpm
Tork maksimum87.5Nm pada 8,500rpm
Kotak gear6 kelajuan
Saspensifork USD dengan sistem Leaning Multi-Wheel boleh laras (depan) & penyerap hentak tunggal boleh laras (belakang)
Tayar120/70R15 (depan) & 190/55R17 (belakang)
P x L x T2,150mm x 883mm x 1,250mm
Tinggi pelana820mm
Isi tangki18 liter

Popular

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

  • Warta Roda

    Kemalangan di Lebuhraya Karak. Penunggang Motosikal Dikesan Polis

Disyorkan untuk anda
Pandu Uji

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

Makin tinggi...makin sejuk...bestnya! Apa yang penting, kedinginan udara nyaman yang 'menghentam' badan itu menambah keseronokan. Tak kisahlah naik superbike ke...naik skuter ke...atau naik PG-1, bagi pencinta motosikal, inilah erti kebebasan.

Dari Litar

CP150: Musim Pembuka Tirai 2025 Hujung Minggu Ini

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix 2025 pusingan 1 bakal berlangsung di litar Antarabangsa Sepang pada 19hb - 20hb April 2025.

Warta Roda

Motosikal dihanyut banjir. Mujur mangsa selamat.

Seorang peneroka melalui pengalaman cemas apabila motosikal ditunggangnya terbalik dibawa arus ketika cuba meredah laluan dinaiki banjir di Felda Air Tawar 3 di sini.

Warta Roda

Warna Baru Untuk Yamaha Y15ZR Special Edition

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) hari ini memperkenalkan Yamaha Y15ZR Edisi Istimewa (SE) yang hadir dengan warna Bronze Fury serba baru. Model SE i ni ditawarkan pada harga (cadangan) RM9,498 (tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans).