☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 11 Januari 2022

Modenas Dominar D400 –Sport Tourer Mampu Milik

Kerjasama di antara MODENAS dan Bajaj Auto Limited (BAL) yang merupakan syarikat dari India itu adalah satu langkah strategi yang tepat sejak tahun 2017 bagi mengembangkan lagi pasaran motosikal di Malaysia. Dengan kerjasama tersebut MODENAS telah memperkenalkan beberapa model yang cukup popular sehingga kini iaitu Pulsar RS200, Pulsar NS200 ABS, Pulsar NS160 dan Dominar D400.

Dominar adalah sebuah jentera yang sesuai dimiliki tidak kira peringkat umur. Ia juga boleh dijadikan sebagai rakan untuk ke tempat kerja, bersiar-siar dan yang paling penting mesin ini amat sesuai untuk pergi mengembara tidak kira destinasi itu dekat mahupun jauh.

Apa yang paling menarik sekali, harga yang ditawarkan oleh Modenas sangat-sangat mampu milik buat mereka yang mencari sebuah jentera Sport Tourer bawah 400cc. Namun untuk memilikinya pengguna perlu menaik taraf lesen memandu motosikal daripada B2 kepada B Penuh. Ini kerana, pengguna bagi jentera melebihi 250cc perlu memiliki lesen B penuh untuk mengelakkan daripada kena saman.

Posisi tunggangan jentera ini memang cukup selesa, tidak terlalu menegak untuk sebuah jentera Sport Tourer. Sesuai untuk semua jenis penunggang, tidak kira tinggi mahupun rendah. Sudut pelananya yang sempurna serta empuk terus memberikan kita bayangan destinasi yang ingin dituju.

Naikkan tongkat sisi, putarkan kunci, ‘On’kan suis di bar handel sebelah kanan kemudian tekan suis penghidup elektrik. Dominar ini dapat dihidupkan dengan mudah. Enjin silinder tunggal, DOHC dengan sistem penyejuk cecair ini berputar dengan lancar sekali. Bunyi enjinnya ternyata senyap dan lembut.

Dominar D400 menggunakan sistem ekzos berkembar baru yang pasti menawarkan bunyi yang cukup garang sekali. Memang sangat umphhh! Sebaik mendengar bunyi yang keluar dari ekzos tersebut. Bunyinya membuatkan kami tidak sabar untuk memerah pendikit.

Jentera ini memang cukup mudah untuk dikendali walaupun buat penunggang baru. Ruang di antara bar hendal dan penunggang memang luas, ia menawarkan kawalan yang lebih mudah di pelbagai sudut. Kelebaran bar hendalnya juga beri keselesaan buat penunggang. Membuat pusingan ‘U’ dengan Dominar D400 ini senang sekali walaupun mempunyai berat 182kg.

Dari segi tunggangan, sistem klac jenis Assist & Slipper dirasakan cukup lembut sekali. Proses penukaran gear dapat dibuat dengan mudah tanpa tersentak. Sistem klac yang baik juga dapat membantu hantaran kuasa yang tepat di setiap kedudukan gear untuk memintas kenderaan lain dengan mudah.

Pada awalnya, kami sangkakan penunjuk kedudukan gear hanya boleh dilihat menerusi paparan yang terdapat di tangki bahan api. Penunggang juga boleh memaparkan penunjuk gear pada paparan meter menerusi Button ‘S’ yang boleh didapati di sebelah kanan paparan pada tangki bahan api.

Oh ya! Dominar D400 ini disempurnakan dengan dua paparan LCD yang ada pada kepala dan tangki bahan api. Paparan-paparan tersebut menunjukkan beberapa info penting buat penunggang seperti putaran rpm, meter kelajuan, tahap bahan api, odometer, jarak perjalanan, kedudukan gear dan masa. Terdapat juga lampu amaran di bawah paparan LCD utama, di mana lampu ini akan menyala apabila petrol tinggal sedikit (dua tahap), peringatan servis dan tongkat sisi tidak dinaikkan.

Sebaik berada di lebuhraya, kami mula memulas pendikit dengan lebih galak lagi. Dapat kami rasakan enjin yang berkuasa 29.41kW (40PS) pada 8,650rpm dan tork 35Nm pada 7,000rpm bergerak dengan pantas sekali. Lampu penukaran gear akan berkelip-kelip sebaik sahaja putaran rpm mencapai 6,000rpm. Di kedudukan gear keenam, kami dapat mencatat kelajuan maksimum sekitar 160 - 165 km/j. Ditambah pula kerangka yang teguh, jentera tidak terasa bergoyang walaupun dalam kelajuan tinggi.

Dominar D400 dilengkapi dengan tayar-tayar bersaiz 110/70-17 (depan) dan 150/60-17 (belakang). Perhatikan permukaan jalan, sudut belokan, guna gear yang bersesuaian dan ambil selekoh dengan kelajuan yang sewajarnya agar berada di laluan yang tepat dan selamat. Mesin ini memang cukup seronok dilayan.

Pengambilan selekoh yang tepat juga turut disumbangkan oleh sistem saspensi pada jentera ini. Dominar didatangkan dengan saspensi hadapan jenis terbalik yang serba baru. Proses hentakannya bekerja dengan sempurna ketika membrek sebelum mengambil selekoh. Penyerap hentak belakang boleh laras jenis Nitrox cukup megagumkan. Jentera tidak terasa berbuai sebaik dimiringkan.

Dari segi keselamatan, mesin ini dipadankan dengan brek cakera hadapan 320mm dan belakang bersaiz 230mm. Dominar turut dilengkapi sistem ABS dua saluran demi mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan buat para penunggang. Sistem brek yang baik sememangnya sangat diperlukan terutama ketika musim hujan.

Bagi mereka yang gemarkan menunggang pada waktu malam, model ini mempunyai lampu hadapan jenis LED dengan lampu auto hidup (AHO) dan juga lampu belakang LED. Cukup terang buat penunggang untuk melihat suasana di hadapan serta pengguna jalan raya yang lain juga dapat melihat kita dari pelbagai sudut. Cukup menarik, panel suis pada bar hendal bahagian kanan dan kiri mempunyai lampu biru di setiap suis.

Boleh dikatakan, penggunaan bahan api pada Dominar D400 cukup jimat. Kami dapat menyusuri perjalanan sekitar 230 kilometer dengan isian penuh tangki 13 liter (masih berbaki satu tahap). Perlu diingatkan, penggunaan bahan api yang menjimatkkan juga bergantung dengan jenis gaya tunggangan setiap individu. Semakin laju kita bawa, semakin cepat ianya habis.

Seperti yang kami katakan pada awal cerita, Modenas Dominar D400 memang mampu milik. Jentera ini ditawarkan pada harga RM13,997 (tanpa insurans & cukai jalan) dengan dua pilihan warna iaitu Savanna Green dan Charcoal Black.

Terima kasih diucapkan buat Mr. Wai Lon yang berusaha membenarkan kami untuk menangkap gambar di sekitar Dragonfly Park @ Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam. Memang cukup menarik pemandangan di taman ini, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama seisi keluarga seperti berjogging, berbasikal, beriadah dan lain-lain lagi. Taman ini juga dilengkapi dengan kemudahan seperti taman permainan, kawasan kecergasan, tempat letak kereta, tempat duduk, gelanggang bola keranjang serta futsal. RR

Isu Pada

November 2021

Spesifikasi

Enjin:silinder tunggal, 4 lejang, DOHC
Isipadu:373.27cc
Kuasa maksimum:29.41kW (40PS) pada 8,650rpm
Tork maksimum:35Nm pada 7,000rpm
Tayar hadapan/belakang:110/70 – 17 / 150/60 – 17
Brek hadapan:cakera 320mm, ABS
Brek belakang:cakera 230mm, ABS
Saspensi hadapan:fork teleskopik USD
Saspensi belakang:penyerap hentak boleh laras Nitrox
Isi tangki: 13 liter

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor.

Dari Litar

Marc Marquez Menang Berganda di Motegi

Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) raih kemenangan di GP Jepun dalam perlumbaan Sprint dan perlumbaan akhir.

Warta Roda

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Tiga orang jurutera teknikal diterbangkan khas dari ZXMOTO China ke Malaysia bagi menjalankan sesi latihan dan bimbingan berkaitan kaedah pemasangan model-model motosikal keluaran syarikat berkenaan.

Warta Roda

Sah... Yamaha XMAX 300 TECH MAX Diserahkan Kepada 200 Pemilik Pertama

Tahniah buat 200 pemilik pertama Yamaha XMAX 300 Tech MAX di Malaysia yang telah menerima motosikal masing-masing menerusi program penyerahan khas yang diadakan serentak di seluruh negara oleh pengedar sah Yamaha Big Bike.