☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 6 April 2022

Yamaha Tracer 9 GT - Sesuai untuk Perjalanan Jauh 7 Dekat

Yamaha Tracer 9 diperkenalkan ke pasaran kira-kira tujuh tahun lalu dan mendapat pelbagai riaksi apabila model kembara itu menggunakan enjin 847cc. CP3 yang pernah digunakan oleh MT-09. Beberapa perubahan talaan serta karaktor enjin yang disesuaikan dengan sifat sebenar Tracer, ya... boleh kita katakan Yamaha telah berjaya! Tracer memang seronok ditunggang.

Beberapa tahun kemudian, generasi kedua dilancarkan dengan nama Tracer 900GT yang memiliki spesifikasi keseluruhan lebih mantap. Walaupun masih kekal dengan saiz enjin yang sama (847cc), ia dipadatkan dengan sistem elektronik canggih yang jadikan kualiti tunggangan lebih baik.

Harga jualan ketika itu juga tidak terlalu tinggi. Dengan RM58,888 kita dapat membawa pulang sebuah jentera kembara moden, cantik dan tahan lasak. Selain peningkatan sistem elektronik, Yamaha telah memantapkan model tersebut dengan sistem saspensi yang benar-benar mantap. Bezanya jauh betul dengan model generasi pertama!

Ketika dunia masih dibelenggu dengan isu Covid-19, Yamaha melancarkan model terbaru Tracer 9 GT di peringkat global. Tak akan kami lupa apabila melihat betapa cantiknya jentera kembara baru ini. Sejak dari itu, hari demi hari kami menunggu bilakah peluang untuk melihat dan menyentuh Yamaha ini tiba.

Tanggal 22 Oktober, pihak HLYM telefon kata ada tiga motor untuk diperkenalkan dan salah satu daripadanya ialah Tracer 9 GT. Bila tengok depan mata... memang teruja jadinya. Harga untuk Tracer baru ini ialah RM69,500 jauh juga bezanya berbanding Tracer lama yang berada di bawah RM59 ribu.

Akhirnya unit untuk diuji tersedia malah siap dengan bok tengah dan sisi kiri kanan. Bok GIVI ini adalah pilihan buat pelanggan yang berminat untuk melengkapkan Tracer 9 GT mereka. Harga untuk GIVI topcase (bok tengah/atas) ialah RM2,074 manakala bok sisi pula bernilai RM3,137 untuk sepasang. Bok ini cantik, tahan lasak, luas dan mudah untuk ditanggal/dipasang.

Dari segi rupa, bahagian depan Tracer 9 GT baru ini memang lebih mantap dengan lampu-lampu LED dan lampu posisi yang memiliki pencahayaan cukup terang. Manakala lampu belakangnya sama seperti Tracer sebelum ini.

Pelana 825mm memang agak tinggi. Namun begitu, apabila sudah berada di atasnya, kita rasa lebih selesa dan yakin! Posisi menunggang yang menegak membantu postur badan berada di tahap terbaik untuk tunggangan dekat mahu pun jauh. Tracer 9 GT juga menawarkan posisi menunggang yang selesa untuk pembonceng.

Bagi penunggang yang berketinggian biasa, anda mungkin perlu menjengket sedikit tetapi geometri rekaan yang bijak oleh para jurutera Yamaha menjadikan Tracer 9 GT ini mudah untuk kita semua kendalikannya tanpa sempadan tinggi tubuh badan. Ruang kaki cukup luas dan 'super' selesa untuk bergerak dan mengubah posisi.

Cermin pengadang angin Yamaha ini boleh dilaras dengan mudah. Sambil menunggang pun kita boleh ubah tahap ketinggiannya. Ini cukup praktikal khususnya ketika kita perlu mengubah ketinggiannya dengan cepat. Contohnya, apabila masuk ke dalam bandar, cermin pengadang angin ini perlu diturunkan agar kita dapat sumber angin dari bahang panas tetapi untuk elak daripada ditampar angin kuat ketika memecut, pengadang angin perlu berada di kedudukan paling tinggi. Jadi, pelarasan perlu dilakukan dengan cepat.

En. Greg Tee -atas motor- cukup bergaya dengan Tracer 9 GT.
En. Greg Tee -atas motor- cukup bergaya dengan Tracer 9 GT.

Deruman enjin tiga silinder jenis crossplane atau CP3 bersesaran 889cc (model dulu 847cc) memang cukup padu. Belum bergerak kita dah tahu ia memang laju. Tracer 9 GT menggunakan sistem penyejuk cecair yang menghasilkan kuasa 87.5kW pada 10,000rpm dan tork 93.0Nm pada 7,000rpm.

Tracer baru ini didatangkan dengan empat mod tunggangan yang disediakan menggunakan nombor dari D1 (paling power) hingga D4 (paling rendah). Mod tunggangan ini sama seperti mod sport, touring, rain dan lain-lain. Untuk membuat talaan, gunakan suis di bar hendal sebelah kiri. Memang mulanya susah juga nak guna tetapi kami yakin anda akan dapat kuasai/serasikan selepas beberapa lama mengendalikan jentera ini.

Panel meter TFT Tracer 9 GT ini terbahagi dua. Ia mengingatkan kami pada panel meter Yamaha RXS100 dulu. Nampak sama tapi tak serupalah! Panel meter sebelah kanan memaparkan beberapa info seperti tahap bahan api, suhu enjin, suhu persekitaran, trip dan trip time. Paparan sebelah kiri pula terdiri daripada putaran enjin, posisi gear, tahap kelajuan, mod tunggangan, traction control, mod-saspensi, jam, tahap bahan api, pemanas pendikit, setting dan talaan brake control.

Hantaran kuasa penuh dalam mod D1 memang sangat mengujakan. Dengan pantas jentera ini mampu dipecut dari 30km/j ke 200km/j tanpa rasa goyang atau ragu-ragu. Lebih padu bila jentera yang enjinnya cukup 'sedap' ini dipadankan dengan sistem Quick Shifter yang membolehkan kita menukar gear tanpa gunakan sistem klac. Licin... lancar dan laju!

Untuk menambah keselesaan, Yamaha turut melengkapkan model ini dengan sistem Cruise Control yang cukup membantu (mengurangkan keletihan tangan kanan) untuk perjalanan jauh.

Bercerita tentang perjalanan jauh, Yamaha ini dimantapkan dengan sistem saspensi separa-aktif yang akan menyerap segala tekanan di laluan lasak, kasar atau licin dengan cemerlang.

Teknologi ini memang cukup mengagumkan. Selain itu kita juga boleh memilih tahap redaman saspensi. Terdapat dua pilihan. A-1 kami rasa lebih sesuai untuk tunggangan sport, menunggang solo manakala A-2 kami gunakan ketika menunggang berdua dan apabila membawa bebanan.

Tracer 9 GT baru ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan IMU 6-axis sama seperti YZF-R1. Sistem IMU ini akan mengawal Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS) dan Front-Wheel LIFT Control System (LIF) yang membantu penunggang mengawal jentera dengan mudah dalam keadaan cuaca serta permukaan berbeza.

Dari Kuala Lumpur, kami memecut menuju ke Port Dickson dan singgah untuk sesi fotografi di Eagle Ranch Resort yang beroperasi di Lot 544, Batu 14, Jalan Pantai, PD. Resort ini memberi peluang untuk kita menikmati suasana seperti hidup di zaman 'cowboy' dan sememangnya persekitaran di Eagle Ranch cantik, bersih dan menarik.

Selain berehat dan bersantai dengan menu-menu yang lazat-lazat belaka, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh kita lakukan di sini. Antaranya ialah permainan Telematch, Go-Kart, Rope Course, Paintball Wars, Sea Rafting, Memanah, Flying Fox, Water Obtacles dan banyak lagi. Terima kasih buat En. Greg Tee dan Ms Shahira Majid yang telah membantu segala proses tugas kami di sana berjalan dengan lancar. Untuk dapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan promosi dan harga bilik, kunjungi www.eagleranch.com.my.

Dengan tubuh badan yang tinggi, Tracer 9 GT ini nampak gagah apabila berada di tengah-tengah bandar. Kita dapat melihat keadaan trafik melepasi bumbung-bumbung kereta manakala cermin sisinya juga cukup besar dan jelas.

Kami tinggalkan hembusan angin dan kebiruan air laut di Port Dickson dan mengubah haluan ke Ulu Langat. Nak tengok sungai dan hutan hijau pula. Kerangka aluminium yang ringan tetapi bertegaran tinggi menawarkan tunggangan yang mengasyikkan. Kita dapat melayangkan jentera ini ke kiri dan ke kanan dengan mudah di laluan-laluan berselekoh. Guna D2, sus-mod A-1 dan TC1.... mantap!!!!

Tracer 9 GT dilengkapkan dengan tayar hadapan tanpa tiub bersaiz 120/70Z R17 M/C (58W) dan 180/55Z R17 M/C (73W) di belakang. Pergerakan kedua-dua tayar ini dikawal dengan sempurna oleh sistem brek cakera hidraulik yang bersaiz 298mm (depan) dan 245mm (belakang).

Selepas lebih 300 kilometer perjalanan, bahagian punggung (penunggang) dirasakan kebas sedikit dan mungkin kerana pelananya yang kurang tebal atau posisi pembonceng yang agak memberi tekanan ke bahagian depan. Apa pun, itu perkara kecil sajalah. Rehat lima minit, hilanglah!

Tiga generasi telah berlalu. Daripada satu cubaan untuk bersaing dalam segmen baru tujuh tahun dulu kini sudah menjadi jentera pengembaraan antara kesukaan ramai. Apabila sanggup mendengar kritikan, rela mencuba benda baru dan berani selari dengan arus kemodenan, hasilnya memang hebat. Itulah yang boleh dinikmati oleh Yamaha sekarang ini menerusi Tracer 9 GT. Namun begitu, jangan leka kerana saingan akan lebih hebat manakala citarasa pengguna dua roda juga sering berubah-ubah. RR

Isu Pada

April 2022

Spesifikasi

Enjin3 silinder, DOHC, sistem penyejuk cecair, 4 lejang
Isipadu889cc
Kuasa maksimum119Ps pada 10,000rpm
Tork maksimum93Nm pada 7,000rpm
Tayar120/70ZR17M/C (depan) & 180/55ZR17M/C (belakang)
Saspensifork USD (depan) & penyerap hentak tunggal (belakang)
Brekcakera 298mm (depan) & 245mm (belakang)
P x L x T2,175mm x 885mm x 1,470mm
Isi tangki18 liter
PengeluarHong Leong Yamaha Motor

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Disyorkan untuk anda
Pandu Uji

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Sempena penganjuran Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026, pihak media turut diberi peluang menyertai acara edisi kedua itu dengan menunggang Kawasaki KLE500.

Model Baru

Kawasaki Versys 900 2027: Versatil & Berkuasa

Kawasaki melangkah ke era lebih menarik dengan memperkenalkan Versys 900 2027, sebuah motosikal sport-touring yang menggabungkan enjin 948cc, empat silinder sebaris yang berkuasa 120hp pada 9,500rpm dan tork 9.3Nm pada 8,000rpm.

Warta Roda

Honda ADV160 RoadSync Kini Dengan Warna Perlumbaan Trico

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. memperkenalkan Honda ADV160 Trico Edition dengan Honda RoadSync, yang menampilkan corak warna merah, putih dan biru yang telah membawa semangat perlumbaan Honda sejak sekian lama.

Warta Roda

Yamaha XMAX 250 vs XMAX 300: Empat Media Kongsi Pengalaman

Kalau nak tahu sedap atau tidak sesebuah skuter, jangan tengok angka atas kertas saja. Jangan hanya sekadar membaca komen di sosial media. Jawapannya kena cari sendiri...kena rasai sendiri. Begitu juga dengan perbezaan antara dua skuter 'terhangat' di pasaran. Tak lain dan tak bukan... Yamaha XMAX 250 dan yang terbaru, Yamaha XMAX 300.