Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 8 September 2020

SUZUKI KATANA HEBAT & ANGGUN

Ia mula diperkenalkan pada tahun 1981 dan serta merta mendapat perhatian ramai di seluruh dunia dan mampu mengubah trend rekabentuk jentera jalanan hingga ke hari ini. Namanya diambil daripada rekaan pedang mempunyai bilah melengkung dan memiliki pemegang hulu pedang panjang yang digunakan oleh Samurai. Bagi rakan-rakan pencinta motosikal Suzuki khususnya di Malaysia, Katana adalah sebuah model lagenda yang sentiasa tersemat di hati.

Suzuki Katana menawarkan rekabentuk yang tajam... mantap... tegap dengan kekuatan enjin cukup mengagumkan. Usah sebut mengenai bunyinya... memang merdu sekali. Keanggunan rekabentuk Suzuki ini mempesonakan sesiapa sahaja yang melihatnya tidak kiralah ketika di zaman kegemilangannya 1980an dulu atau pada tahun 2019 ini.

Bermula dengan enjin berisipadu 1,100cc, Suzuki telah melahirkan beberapa siri lagi dengan enjin lebih kecil seperti 550cc, 650cc (model ini menggunakan pacuan shaft) dan 750cc. Pada tahun 1984, GSX750S diperkenalkan dan ia adalah model paling rare dan paling unik pernah terdapat di dunia. Model tersebut adalah satu-satunya motosikal yang memiliki lampu hadapan moden jenis flip-up atau pop-up yang terus menjadi sinonim dengan model Katana.

Populariti jentera ini terbukti apabila ia digunakan dalam filem sensasi Azura pada tahun 1984 lakonan seniwati Fauziah Ahmad Daud dan penyanyi lagenda, Dato' Jamal Abdillah. Katana terus menjadi bualan sebagai antara model yang terpantas dan berjaya meraih beberapa kejuaraan di luar negara. Sayang sungguh, nama Katana makin terhakis bersama rekabentuk hebatnya tidak lama kemudian.

Pameran Antarabangsa Intermot 2018 menemukan kita semula dengan lagenda ini. Ia dilahirkan semula untuk kembali 'menakluki' dunia motosikal jalanan seperti mana yang telah ia lakukan sebelum ini. Pedang diasah semula... adakah ia masih berkilat dan berkilau seperti dulu?

Terima kasih buat Suzuki Assemblers Sdn Bhd atas kepercayaan buat RR untuk menunggang uji model ini selama tiga hari dan jujurnya ia adalah saat yang ditunggu-tunggu kerana ingin benar menikmati sebuah motosikal lagenda yang sentiasa disebut-sebut.

“Nama Katana dipilih kerana rupabentuknya tersendiri – tajam... aerodinamik... hebat seperti sebilah pedang, memiliki semangat juang pahlawan Samurai dan sebutan KA – TA – NA juga mudah dan sedap didengar.

Sememangnya model ini adalah gabungan rekabentuk sebuah mesin jalanan sporty tetapi masih mengekalkan ciri-ciri retro agar kesinambungan terhadap model terdahulu tidak terputus,” kata Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Sdn Bhd, En. Munihiko Uetsuki.

Apabila melihat model ini dari dekat, perasaan kami memang cukup teruja. Yess!... ia dah berada di hadapan mata. Mungkin sudah terpesona dengan rekaan model 1984 (lampu utama flip-up), kami lebih sukalah jika model 2019 ini mengekalkan rekabentuk tersebut kerana ia adalah identiti terunggul Suzuki Katana yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pesaingnya.

Posisi menunggang Suzuki ini memang sesuai untuk semua jenis perjalanan tidak kira dekat ataupun jauh. Ruang peha dan kakinya cukup luas manakala bar hendalnya jenis aluminium lebar juga menjadikan pengendalian lebih mudah. Itulah keutamaan yang sentiasa difikirkan oleh Suzuki iaitu dengan menawarkan sebuah jentera yang sesuai untuk ditunggang dalam bandar, mengharungi kesesakan lalu lintas, memecut di lebuhraya dan tangkas di laluan berselekoh. Cuma sudut belokan agak kecil – sedikit menyukarkan kita untuk bergerak dengan pantas di kawasan yang terhad. Guna sedikit beban berat badan, baru lebih senang.

Katana ini agak tinggi (825mm)... sedap sekali ditunggangi. Panel meter kini jenis digital tetapi agak sukar untuk dilihat kerana susunannya agak kurang kemas. Apa pun, ia memaparkan segala informasi penting seperti jarak perjalanan, putaran rpm, tahap kelajuan, posisi gear, tahap bahan api, suhu, traction control (TC), jam, purata penggunaan bahan api, trip meter dan lap time. Suzuki turut melengkapkan model ini dengan lampu-lampu LED yang sangat cerah dan mudah dilihat.

Sebaik sahaja enjin dihidupkan, bunyi enjin yang padu membuatkan kami tidak sabar-sabar meninggalkan ibu pejabat Suzuki terbaru yang kini terletak di Kawasan Perindustrian Perai, Prai. Sistem ekzos 4-2-1 yang disempurnakan dengan Suzuki Exhaust Tuning (TEN) bukan sahaja cukup garang didengar tetapi juga mengawal tekanan secara teratur agar pembakaran pada rpm rendah lebih efisien. Fuh... Memang best betullah!

Terdapat tiga tahap talaan TC yang boleh dipilih iaitu 1 (Low) sesuai untuk tunggangan sport, pantas dan di permukaan jalan yang baik, 2 (Middle) disyorkan untuk tunggangan bandar dan di keadaan jalan biasa manakala 3 (High) dipilih jika kita berada di dalam permukaan yang basah atau di dalam hujan. Sistem TC ini juga boleh kita matikan (OFF).

Kami meninggalkan Pulau Pinang menuju ke Taiping memandang sudah lama tidak menikmati kesegaran udara di Taman Tasik Taiping dan hari juga sudah lewat petang. Ketika berada di lebuhraya, enjin jentera ini direntap agar dapat merasakan di mana hebatnya Katana ini. Sememangnya enjin empat lejang, DOHC, 999cc berkuasa maksimum 110kw pada 10,000rpm dan tork 108Nm pada 9,500rpm menawarkan prestasi yang benar-benar mengagumkan. Enjin ini adalah dari model supersport GSX-R1000 (siri 2005-2008) yang telah ditala semula untuk mesin jalanan. Kuasa enjin yang luas membolehkan kita memecut laju dalam mana-mana gear dengan selesa.

Model ini juga didatangkan dengan lampu penukar gear yang boleh ditala mengikut tahap putaran yang kita hendaki. Jika sudah mampu menarik sehingga 11,500rpm, silakan. Untuk menukar dan memilih talaan, segalanya boleh dibuat menerusi suis Mode dan Select yang terdapat pada bar hendal sebelah kiri. Kami cuba untuk menalakannya pada 11,000 rpm sebelum lampu tersebut berkelip-kelip. Hasilnya, kelajuan sudah mencecah sehingga 190km/j dalam gear ketiga pada putaran enjin 11,000rpm. Hebat kan!

Untuk disesuaikan sebagai jentera allrounder, Katana ini dilengkapi dengan kerangka aluminium twin-spar yang menawarkan ketegapan dan pengendalian yang benar-benar hebat. Kerangka ini turut disambungkan dengan lengan ayun aloi aluminium yang direka daripada model GSX-R1000 2016. Ketegapan jentera ini benar-benar kami nikmati sewaktu memecut lebih daripada 220km/j – tanpa sebarang gegaran pada mana-mana bahagian.

Laluan dari Bukit Merah - Kamunting – Taman Tasik Taiping memang nyaman dan mempunyai selekohselekoh yang menyeronokkan. Kecemerlangan sistem suntikan bahan api dengan Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) memastikan kadar pembakaran dan hantaran kuasa lebih efisien cuma kami amat berharap agar Suzuki melengkapkan jentera ini dengan mod tunggangan agar kawalan kuasa di peringkat pertengahan lebih baik. Sebagai jentera yang diperkenalkan untuk tahun 2019, Suzuki perlu lebih matang agar mempunyai pakej elektronik yang terkini. Ini penting kerana para pesaing mereka sentiasa perkenalkan model-model hebat yang canggih dan harga mampu milik.

Keberkesanan prestasi sistem saspensi Katana ini membolehkan kita mengambil selekoh demi selekoh pada kelajuan yang agak tinggi. Tiada sebarang riaksi negatif menandakan jentera ini 'tidak setuju' dengan kadar miringan yang dipilih oleh si penunggang. Terima kasih buat fork hadapan jenis terbalik KYB dan penyerap hentak link type di belakang yang bertindak dengan baik agar tunggangan terus tangkas di setiap situasi.

Pergerakan sistem transmisi jentera ini sangat lancar walaupun ketika bermainmain gear sewaktu berada di laluan berselekoh dan dengan adanya sistem Low RPM Assist, putaran enjin dapat dikawal secara automatik yang mengelakkan enjin daripada termati di dalam putaran yang rendah. Apa yang wajib kita berwaspada sewaktu berada di laluan kampung seperti ini ialah keadaan lalulintasnya yang jauh berbeza berbanding di bandar.

Orang tempatan akan masuk/keluar simpang dengan tiba-tiba, menukar laluan tanpa isyarat dan kemunculan binatang peliharaan seperti kambing, lembu, ayam, itik yang bebas ke sana ke mari. Pemerhatian cukup penting agar setiap pergerakan dapat kita awasi dan paling selamat dengan menunggang penuh berhemah serta hormati orang kampung.

Ke mana sahaja jentera ini dibawa, ia bagaikan magnet menarik para pencinta motosikal untuk mendekatinya. Memang semuanya teruja apabila melihat SUZUKI dengan huruf yang sama sejak 37 tahun lalu dan juga tulisan KATANA yang tertera pada bahagian fairing. Rata-ratanyanya lebih suka jika lampu hadapan jenis flip-up terus dikekalkan. Kami setuju!

Lampu-lampu LED yang dimiliki oleh Suzuki ini memang cukup terserlah apabila tiba di waktu malam. Ia cukup cerah tetapi tidak silau yang boleh mengganggu kenderaan di depan. Mungkin kerana terlalu teruja menggunakan kuasa enjinnya, memerah pendikit tanpa henti... kami dapati kadar penggunaan bahan api agak tinggi. Tangki 12 liter Suzuki ini hanya mampu membawa kami sekitar 180 kilometer sahaja sebelum tanda amaran berkelip-kelip meminta ia diisi semula.

Oleh kerana pelananya agak kecil, Katana baru ini lebih sesuai untuk tunggangan solo melainkan pembonceng orangnya kecil molek. Suzuki tidak pernah berkompromi dalam soal keselamatan. Tayar-tayar yang mengawal segala pergerakan jentera ini tidak kira perlahan atau laju dikawal oleh brek-brek hadapan dan belakang jenis Brembo yang didatangkan bersama sistem ABS. Kami yakin, setiap pemilik jentera ini akan dapati begitu mudah untuk menurunkan kelajuan tidak kira ketika di laluan lurus mahupun mengembalikan posisi sewaktu di dalam selekoh.

Selepas berpuluh tahun menunggu, kemunculan Suzuki Katana sememangnya ditunggu-tunggu. Secara keseluruhannya, ia adalah sebuah mesin jalanan yang cukup mantap tetapi masih perlu terus diperbaiki dari segi prestasi enjin dan sistem elektronik agar lebih kompetitif. Suatu ketika dulu, Katana pernah menjadi contoh dan dicemburui oleh para pesaingnya kerana menawarkan ciri-ciri hebat yang belum pernah terfikir oleh jurutera lain di zamannya. Kecemerlangan itu perlu diteruskan agar Katana sentiasa dihormati dan disanjungi sampai bila-bila.

Suzuki Katana ditawarkan dalam dua warna iaitu Metallic Mystic Silver (YMD), Glass Sparkle Black (YVB) dan dijual pada harga asas RM84,500. RR

Isu Pada

September 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 silinder sebaris, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu999 cc
Gerek x Lejang73.4 x 59.0 mm
Nisbah mampatan12.2:1
Kuasa maksimum110kW pada 10,000 rpm
Tork maksimum108Nm pada 9,500 rpm
Tinggi pelana852 mm
Isi Tangki12 liter
Berat215 kg
PengedarSuzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Model Baru

KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran

Berita 'sah'nya kehadiran model KTM 990 RC R versi jalanan pastinya memberi senyuman dan keterujaan buat para peminat jentera sportbike.

Warta Roda

Peraturan Baru MotoGP Bermula Musim 2027 - Kapasiti Enjin Dikurangkan Kepada 850cc

MotoGP bakal mengenakan peraturan baru kepada semua pasukan bermula musim 2027.

Warta Produk

GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-30 penubuhan GIVI Asia, pengeluar aksesori terkemuka itu telah melancarkan kotak simpanan aluminium terbaharu iaitu “THE MATTERHORN MONOLOCK TOP CASE”.

Dari Litar

Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Pengeluar jenama motosikal ikonik Itali, Bimota bakal kembali ke pentas perlumbaan dunia pada tahun 2025 dengan menyertai Kejuaran Dunia Superbike (WorldSBK).