☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 15 April 2023

Honda CB250R - Lawa... Berbaloi Dimiliki!

Model naked merupakan salah satu segmen motosikal yang cukup digemari buat para pecinta dua roda di negara ini. Mana taknya model ini mendapat sambutan kerana memiliki rupabentuk yang sangat agresif. Bukan itu sahaja, dari segi kekuatan enjinnya pula cukup sempurna.

Kategori 250cc antara model yang paling menarik perhatian ramai jika nak dibandingkan dengan mesin-mesin berkuasa tinggi. Ini kerana, lesen B2 adalah lesen motosikal yang majoritinya dimiliki oleh penunggang-penunggang di negara ini. Jentera dalam lingkungan sesaran ini menjadi pilihan utama buat mereka yang inginkan sebuah motosikal dengan kuasa enjin dan rekabentuk lebih besar.

Tahun demi tahun segmen motosikal jalanan bersesaran 250cc semakin meriah selepas banyak pengeluar motosikal telah menghasilkan jentera tersebut untuk para peminat dua roda. Ada beberapa jenama yang sangat berbaloi untuk dimiliki. Antara salah satunya adalah model yang kami tunggang uji ini, Honda CB250R.

CB250R merupakan sebahagian rangkaian daripada siri Honda Neo Sport Café yang membawakan elemen penggayaan klasik moden. Dari segi rekabentuk, model ini memang nampak sama seperti abang-abangnya iaitu CB650R dan CB1000R bermula dari pandangan hadapan sehinggalah ke belakang.

Kali terakhir kami menunggang uji model CB250R adalah pada penghujung tahun 2018. Jika kami bandingkan rupabentuk untuk model 2018 dan 2022 memang tidak mengalami perubahan yang ketara. Namun terdapat beberapa ciri-ciri yang dinaiktaraf untuk kesesuaian para penggunanya.

Sama seperti abang-abangnya, CB250R hadir dengan pengayaan lampu utamanya yang berbentuk bulat untuk mengekalkan gaya-gaya motosikal retro. Namun ianya tampil lebih ringkas di mana terdapat dua lampu nyalaan siang (DRL) yang terdapat di bahagian atas dan bawah.

Walaupun berwajah retro, CB250R masih sebuah motosikal yang moden. Lampu utamanya adalah jenis LED. Suluhan lampu tersebut cukup terang untuk kegunaan di waktu siang dan malam. Walaupun berada di bawah cahaya yang panas terik, pancaran lampu LEDnya mudah dilihat dari sudut jauh. Ini memberikan petanda kehadiran kita sebagai penunggang Honda CB250R buat para pengguna jalan raya yang lain.

Bukan sahaja di bahagian hadapan, lampu belakang dan lampu membelok juga menggunakan teknologi LED. Untuk tampak hebat, lampu membelok di depan akan kekal menyala secara statik sebaik sahaja kunci dipulas.

Ciri elemen moden pula diteruskan dengan penggunaan paparan meter jenis digital yang menunjukkan info-info penting seperti tahap kelajuan, tahap bahan api, putaran rpm, masa serta jarak perjalanan. Apa yang paling penting, Honda CB250R 2022 kini dilengkapi dengan penunjuk kedudukan gear untuk memudahkan pemiliknya menunggang jentera ini ke mana sahaja. Untuk lampu-lampu kecil di panel meter pula adalah gear Neutral (N), lampu amaran penukaran gear, lampu bahan api, suhu, lampu enjin, lampu isyarat dan ABS.

Kedua-dua kaki kami dapat memijak permukaan tanah dengan mudah selepas duduk di atas pelananya yang setinggi 800mm. Ketinggian pelana tersebut sudah cukup sempurna untuk jentera naked ini. Ruang pelana buat penunggang dan pembonceng cukup lebar. Ditambah pula posisi tunggangannya tidak terlalu membongkok menjadikan tunggangan jarak jauh tidak begitu memenatkan. Cuma bahagian pelananya kami terasa sedikit keras, tetapi itu bukan halangan untuk kami berseronok bersama CB250R ini.

Apa yang kami kurang suka pada model ini adalah tempat kunci untuk membuka pelana pembonceng. Tempat untuk membuka pelana terletak di bahagian bawah lampu belakangnya. Bagi kami agak kurang menarik jika melihat CB ini dari pandangan belakang. Selain itu, bagi pengguna baru pasti akan tercari-cari ruangan kunci tersebut. Selepas membuka pelana pembonceng, terdapat ruangan kecil yang cukup untuk menyimpan sarung tangan ataupun dompet.

Sebaik sahaja enjin dihidupkan, kami dapati putaran enjin bersesaran 250cc, 4 lejang, DOHC dengan sistem penyejuk cecair tidak begitu bising. Menghidupkan CB ini juga tidak terlalu susah. Manakala bunyi yang keluar dari sistem ekzosnya sangat merdu sekali. Namun, apabila pendikitnya mula dipulas dengan lebih galak, terhasil lah bunyi garangnya.

Hantaran kuasa pada jentera ini kami rasa sudah cukup sempurna. Walaupun CB250R bukan sebuah jentera yang paling laju dalam kelasnya, tetapi kami sangat berpuas hati selepas memacunya di dalam lebuhraya. Model ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 20.3kW pada 9,500rpm manakala torknya 23.4Nm pada 7,750rpm.

Walaupun ia menggunakan enjin silinder tunggal, kuasa hantaran di setiap kedudukan gear memang amat menyeronokkan. Dalam gear pertama, kami memecut bersama jentera ini sehingga 50km/j. Lampu amaran gear mula berkelip sebaik sahaja tahap putaran rpm melepasi 7,000rpm menandakan untuk kita bersedia menukar gear. Kami kemudian menambah kedudukan gear kedua (75km/j). Kedudukan gear ketiga dapat dicapai pada tahap kelajuan 105km/j. Sehinggalah ke gear keenam, CB250R mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 150km/j dengan berat badan kami pada 80kg.

Ketika di dalam kawasan bandar, kadar pecutan CB250R ini merupakan kelebihan utamanya. Kami dapat rasakan hantaran kuasa tork memang cukup mantap. Pilih sahaja kedudukan gear yang sesuai dan pulas sahaja pendikitnya. Bar hendal yang lebar serta berat jentera 144kg turut memberi sumbangan untuk kita mengawal jentera ini dengan mudah. Terutama apabila menyusuri deretan kenderaan yang tersangkut ketika waktu puncak.

Dari segi pengendalian, CB250R sangat stabil ditunggang.Terutama apabila menyusuri laluan-laluan berselekoh. Saspensi hadapan jenis fork USD yang berwarna keemasan bukan hiasan semata-mata. Saspensi ini telah menawarkan hentakan yang cukup kemas sekali. Boleh dikatakan jentera tidak terasa bergegar kuat walaupun kami lalu di permukaan jalan yang tidak rata. Manakala penyerap hentak tunggal dengan pelarasan spring lima tahap tidak membuatkan mesin ini mudah berbuai semasa mengambil selekoh.

Kelebaran tayar-tayar pada CB250R ini sudah cukup untuk kita memiringkan jentera dengan yakin sekali. Jentera ini menggunakan tayar hadapan bersaiz 110/70R–17M/C manakala belakang bersaiz 150/60R–17M/C yang memberikan cengkaman cukup mengagumkan. Kelincahan meratah jalan-jalan selekoh turut dibantu oleh sistem Assist & Slipper Clutch yang akan mengekalkan roda belakang daripada terkunci semasa menurunkan kedudukan gear dengan cepat.

Dari segi keselamatan, CB250R menggunakan sistem brek jenis cakera tunggal di bahagian hadapan dan belakang. Brek caliper jenis Nissin memang nampak lebih bergaya seperti jentera Big Bike. Prestasi breknya memang cukup mantap sekali. Dengan mudah kami dapat memberhentikan jentera dalam jarak yang selamat. Sistem ABS dua saluran (depan & belakang) yang dikawal dengan sistem Inertial Measurement Unit (IMU) pula berfungsi dengan baik walaupun membrek dengan keras.

Sistem suntikan bahan api PGM-Fi bukan sahaja memberikan tindak balas yang sempurna pada enjin, malah dari segi penjimatan bahan api memang sangat berbaloi. Pada kadar 1.7 liter kami dapat menunggang mesin ini sekitar 50 kilometer dengan gaya tunggangan yang santai. Namun ketika memecut, dengan laju, dalam 30 kilometer sahaja. Ini adalah dari segi pemerhatian yang kami buat sepanjang menunggang jentera ini. Dengan isian penuh tangki bahan api 10.1 liter, kami yakin CB250R mampu menyusuri perjalanan sehingga 250 kilometer.

Secara keseluruhan, kami boleh katakan Honda CB250R merupakan sebuah jentera naked suku liter yang cukup sempurna dan berbaloi untuk dimiliki sebagai jentera tunggangan harian. Selain itu, gaya retro modennya membuatkan ia sentiasa tampak releven untuk jangka masa yang lama.

Honda CB250R 2022 hadir dalam dua pilihan warna yang cukup menarik sekali iaitu Candy Chromosphere Red dan Mat Gun Black Metallic. Model ini ditawarkan pada harga bilik pameran yang disyorkan RM23,999.00 dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. RR

Isu Pada

Januari 2023

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, 4 lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu250cc
Kuasa maksimum20.3kW pada 9,500rpm
Tork maksimum23.4Nm pada 7,750rpm
Tayar110/70ZR - 17 (depan) & 150/60 - 17 (belakang)
Saspensifork USD Showa Separate Fork Function Big Piston (SFF-BP) (depan) & penyerap hentak tunggal dengan pelarasan spring 5 tahap (belakang)
Brekcakera 296mm, ABS (depan) & cakera 220mm, ABS (belakang)
P x L x T2,020mm x 805mm x 1,050mm
Isi tangki10.1 liter
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Seramai 393 penunggang motosikal dari seluruh negara menyertai Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 yang berlangsung di Gerik, Perak pada pertengahan September yang lalu.

Model Baru

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor.

Model Baru

LETBE PUNK 500: Bobber Gaya 'Jahat' Mungkin Masuk Malaysia Tahun Depan!!

LETBE PUNK 500 ialah motosikal kategori cruiser/bobber dengan enjin dua silinder 500cc.

Warta Roda

ZXMOTO 500RR Mula Masuki Pasaran Minggu Ini!

Penantian kini berakhir! ZXMOTO 500RR, yang telah dilancarkan dan mendapat perhatian ramai peminat motosikal di Malaysia sebelum ini, kini telah memulakan proses pengeluaran, dengan batch pertama mula berada di pasaran Malaysia bermula minggu ini.