☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 5 Januari 2021

MOTO GUZZI V7 III RACER Selesa, Mudah & Menyeronokkan

Memang dah lama mengidamkan motor ini kerana ia adalah salah satu kebanggaan buat Moto Guzzi sejak diperkenalkan lebih 50 tahun yang lalu. Ia mempunyai rekabentuk retro yang cukup menawan, bunyi yang mantap dan tawarkan posisi menunggang yang mantap ...sporty.

Moto Guzzi mula memperkenal model V7 700 pada tahun 1967…ya, 52 tahun yang lalu dan ketika itu, enjinnya bersesaran 757cc dengan sistem penyejuk jenis udara. Tahun 1972, V7 Sport pula dilancarkan dengan rekabentuk lebih sporty. Ya… model yang diuji ini juga memiliki rupabentuk sporty dan posisinya juga agak membongkok. Mula - mula memanjat ke atasnya memang terasa seperti pelumba zaman dahulu.

Dari segi gaya rekaannya, ia mirip dengan jentera retro tetapi dikemaskan dengan teknologi serba baru seperti sistem traction control (MGCT), suntikan bahan api, sistem ABS, piawaian Euro 4 dan saspensi belakang KYB boleh laras. Kemasan ala krom di tangki, enjin aloi, pelana cukup anggun, kerangka berwarna merah serta warna hitam pada bahagian madgad, ekzos, rim dan penutup pelana belakang (single seat) sememangnya menzahirkan kemantapan Moto Guzzi ini. Kami cukup sukakan lambang burung helang berwarna merah yang diletakkan di situ (tangki) dan lambang yang sama juga boleh dilihat pada lampu utamanya. Di sisinya, barulah tertera dengan cukup jelas logo V7 III Racer. Bijak sekali!

Pelananya setinggi 770mm tidak memberi masalah untuk semua jenis penunggang, tidak kiralah si tinggi lampai atau rendah, lelaki mahupun wanita. Model yang telah disediakan untuk kami ini telah diberi sedikit perubahan. Sistem ekzos asalnya telah diganti dengan sistem ekzos (aksesori) rekaan GB Workshop yang menawarkan bunyi lebih mantap dan lebih garang. Memang MELETUP bunyinya sebaik sahaja kami menghidupkan enjin. Inilah yang kami tunggu-tunggu – bunyinya memang sesuai benar dengan sebuah jentera berbentuk café racer.

Jantung V7 III Racer bersesaran 744cc, sistem penyejuk udara, v-kembar berdegup dengan tenang  ketika dalam keadaan melahu. Bunyinya sebiji-sebiji memang mengasyikkan. Tuas klacnya sedikit keras tetapi tidaklah mengganggu dan sebaik sahaja gear dimasukkan, Moto Guzzi ini meluru ke hadapan dengan pantas. Gabungan rekabentuk café racer dan bunyinya yang cukup mantap, ia menarik perhatian ramai di mana sahaja kita pergi.

Sebagai jentera berDNA mesin perlumbaan, memecut laju dengannya memang seronok. Casis merah yang ‘cun’ itu bukan sahaja direka untuk tujuan kosmetik semata-mata tetapi juga mempunyai peranan cukup penting dalam kestabilan dan pengendalian mudah ketika meluncur dalam kelajuan tinggi.

Mungkin dari segi rekabentuk retronya, penunggang baru tidak menyangka jentera ini memiliki kemampuan memecut yang cukup cemerlang. Mata mereka pasti terbuka luas apabila melihat jentera begitu cepat berlari ke hadapan. Dengan jelas kita dapat melihat pergerakan meternya mencecah 180km/j ketika menggunakan kekuatan enjin berkuasa 52hp pada  6,200rpm dan tork 60Nm pada 4,900rpm. Walaupun cermin hadapannya kecil, sudut laluan udara dari depan dirasa sungguh efisien. Memang ‘racer’ betullah tetapi kami berpandangan ia bukan direka untuk memecut dan oleh itu, kelajuan sekitar 130-140km/j adalah yang paling ideal.

V7 III Racer seberat 209kg dengan panjang tapak rodanya bersaiz 1,463mm agak berat dan sukar untuk digerakkan dengan menggunakan khudrat tangan dan kaki. Agak memenatkan. Kalau nak tolak ke laluan mendaki boleh semput jadinya tetapi segala kekurangan ini hilang sebaik sahaja enjin dihidupkan dan kaki mula menekan gear. Tolakan kuasanya di dalam gear-gear pertengahan cukup gagah. Kita dapat memintas dengan pantas dan karaktor seperti itu memang amat kami sukai. Dengan kekuatan brek enjin yang jelas untuk kita bezakan dalam setiap gear, Moto Guzzi ini juga cukup lincah untuk ditunggang di laluan-laluan berselekoh.

Prestasinya di laluan bengkang-bengkok memang cukup hebat dan ia benar-benar di luar jangkaan kami. Fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak Ohlins di belakang menggalas bebanan dengan cemerlang yang membolehkan kita melayangkan jentera ini ke kiri dan ke kanan penuh bergaya. Dengan adanya sistem MGCT, kita sentiasa ‘dikawal’ untuk menikmati perjalanan tanpa rasa ragu-ragu. Terdapat dua tahap MGCT iaitu Level 1, Level 2 dan Off. Ia amat berguna ketika berada di laluan licin atau basah khususnya. Sensor yang terdapat pada tubuh badan Moto Guzzi akan mengawal kadar putaran tayar agar penunggang lebih selamat dalam semua keadaan.

Untuk mengekalkan kedudukan kita di laluan dengan selamat dan pantas, rasailah sendiri betapa baiknya sistem pertahanan yang disempurnakan pada jentera ini. Brek hadapan 320mm dan belakang 260mm jenis Brembo cukup efisien dan memuaskan hati. Ia tidaklah semantap brek-brek V85TT tetapi sudah cukup memadai untuk menceriakan perjalanan anda.

Dengan posisi menunggang yang mantap, bar hendal yang ke bawah, menunggang laju memang cukup mengujakan. Tunduk sikit sahaja kita dah rasa keenakannya. Apa yang kurang selesa ialah kedudukan cermin sisi model yang diuji ini jenis bar end yang kecil, menyukarkan kami melihat keadaan trafik di belakang. Kalau nak memotong memang kena pandang belakang untuk kepastian. Apa pun, dalam kelajuan tinggi, jentera ini tidak pernah mengecewakan langsung, ia tegap dan mudah benar untuk dikendalikan.

Model café racer ini dilengkapkan dengan tayar-tayar bersaiz 100/90 R18 (depan) dan 130/80 R18 di belakang yang menggigit permukaan jalan dengan cekap. Walaupun V7 III ini bukanlah dicipta untuk meratah selekoh-selekoh tajam, tetapi kestabilan serta kelincahannya memang amat mengagumkan. Kami dah pecut di lebuhraya, sudah meleper di jalan-jalan berselekoh serta bersiarsiar di kampung dan desa, petrolnya masih banyak. Tangki yang bersaiz 21 liter sememangnya sudah mencukupi untuk kita menikmati perjalanan sejauh 300 kilometer. Memang jimat!

Dua panel meter analog mengembalikan perasaan bagaikan sedang memacu jentera café racer di era 80an dan ia memang cukup praktikal. Tanpa perlu merenung lama, kita sudah dapat mengagak tahap kelajuan dan ketinggian putaran rpmnya. Itulah kelebihan motosikal yang menggunakan panel meter analog – tak buang masa! Turut dipaparkan pada meter ini ialah jarak perjalanan, trip, jam, purata penggunaan bahan api, suhu, purata kelajuan dan tahap bahan api.

Dengan tubuh badan yang ramping, posisi menunggang yang tidak meletihkan, Moto Guzzi ini memang sesuai untuk dibawa ke dalam bandar. Apa yang sekali lagi mengganggu kami daripada menikmati jentera ini di tengah kota ialah pada tuas klacnya yang agak keras, lenguh juga tapak tangan kiri untuk mengawal tuas klacnya. Kami pasti ini hal yang remeh, kunjungi pusat servis Moto Guzzi berhampiran dan para mekanik berkemahiran tinggi mereka akan selesaikan masalah ini dengan pantas.

Miliki Moto Guzzi V7 III Racer pada harga promosi yang cukup menarik iaitu RM65,700! Jangan lepaskan peluang ini!

Perkhidmatan lepas jualan yang ditawarkan oleh pihak Didi Resources Sdn Bhd memang memberi keyakinan dan keselesaan buat para pelanggan mereka. Ini memang sangat penting sekali. Jika berkunjung ke Gasket Alley contohnya, para pelanggan turut dapat melihat, membeli alat ganti, aksesori, pakaian menunggang dan juga menikmati juadah hebat di Makhan by Kitchen Mafia di sana. RR

Isu Pada

Oktober 2019

Spesifikasi

Enjin4 silinder, sistem penyejuk udara, v-kembar
Isipadu744 cc
Gerek x Lejang80 x 74 mm
Kuasa maksimum52hp pada 6,200 rpm
Tork maksimum60Nm pada 4,900 rpm
Transmisi6 kelajuan
Tinggi pelana770 mm
Isi Tangki21 liter (termasuk simpanan 4 liter)
Berat209 kg
PengedarDidi Resources Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor.

Warta Roda

Pusat Servis & Pejabat Urusan Mforce KL Berpindah Ke Lokasi Baru!

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. mengumumkan perpindahan Pusat Servis dan Pejabat Urusan Mforce cawangan Kuala Lumpur ke premis baharu yang lebih luas dan lengkap di Jalan Segambut Tengah. Langkah ini merupakan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasakan perkhidmatan selepas jualan seiring dengan peningkatan jumlah pemilik motosikal-motosikal Mforce di Malaysia.

Warta Roda

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Tiga orang jurutera teknikal diterbangkan khas dari ZXMOTO China ke Malaysia bagi menjalankan sesi latihan dan bimbingan berkaitan kaedah pemasangan model-model motosikal keluaran syarikat berkenaan.

Warta Roda

Honda Ride to Reach: 65 Buah Motosikal Honda Turun Padang

Sebanyak 65 buah motosikal Honda membanjiri kawasan Pantai kuala Muda, Pulau Pinang bagi menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).