Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 20 Disember 2023

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Memang suatu yang menarik bila kita menunggang sebuah motosikal 'cafe' yang bentuknya mengajak kita kembali ke era klasik dan unik yang memiliki 'suara' cukup merdu. Hampir sesiapa saja yang melihat jentera ini dari dekat akan katakan “Cantik dan mantap motor ini.” Itu dia 'penangan' CMC Buccaneer 250i. Sebuah model dari CMC yang ditawarkan pada harga asas RM19,000. Mantapkan?

Cafe Racer merupakan model sport yang asalnya dari Britain dan cukup terkenal pada tahun 1960an dulu. Di kala itu, model-model cafe racer memang cukup menonjol kerana penampilannya yang agresif, garang dan direka untuk para pencinta dua roda yang berjiwa kelajuan. Siapa sangka, rekaan ini 'evergreen' – terus diminati hingga ke hari dan zaman ini.

Nak naik cafe racer, jaket pun kena yang sesuai. Banyak 'reference' boleh kita dapat melalui internet. Paling cepat kalau kita tengok cara dressing abang-abang yang 'ride' dalam The Distinguished Gentleman's Ride. Memang kalau kena gayanya, auto handsome la.

Nak dijadikan cerita, sebaik saja kami meninggalkan ibu pejabat CMC di Shah Alam, ada sekatan jalan raya. Setelah memberikan segala dokumen yang diperlukan (lesen dan cukai jalan), beberapa orang pegawai datang menghampiri kami untuk melihat dengan lebih dekat Buccaneer ini dan semuanya menunjukkan minat pada rekabentuk jentera ini. Dapat jugalah kami berborak dan berkongsikan beberapa info mengenai Buccaneer ini.

Ya... enjin 249cc, v-kembar, sistem sejukan udara ini menawarkan hantaran kuasa yang licin dan lancar. Dalam gear-gear pertengahan, kita dapat merasai kekuatan 18hp dan torknya 19Nm yang tidaklah begitu bertenaga tetapi sudah memadai untuk kita 'melarikan' diri daripada kenderaan-kenderaan bersaiz gergasi. Rasa naik motor V-kembar ini memang lain sikit – ada spesialnya berbanding enjin biasa. Bukan hanya dari segi corak hantaran tenaganya sahaja tetapi ada ‘feeling’ memberikan kita rasa atau nikmat yang berbeza.

Buccaneer 250i didatangkan dengan pelana setinggi 720mm yang membolehkan sesiapa sahaja menunggang jentera ini. Namun begitu, pelana model ini tidak begitu sesuai untuk ditunggang berdua kerana posisi pembonceng agak rendah.

Tinggi saya adalah 179cm dan dirasakan posisi menunggang untuk jentera cafe racer ini sedikit memenatkan untuk perjalanan jauh. Bahagian lipatan (bawah lutut) agak lenguh apabila jarak perjalanan melebihi 90 kilometer. Oleh kerana pelananya agak panjang dan selesa, kita boleh mengubah kedudukan dengan mudah dan kemasan pelana seperti baldu bukan saja menambah keselesaan tetapi juga menjadikan Buccaneer ini cukup elegan.

Sistem transmisi lima kelajuan yang disempurnakan pada model ini lancar tetapi tuas klacnya sedikit keras, namun begitu tidaklah sehingga mengganggu tunggangan. Satu persatu gear di masuk sambil menarik tuas pendikit untuk meningkatkan kelajuan dan memang seronok betul kendalikan jentera ramping yang hanya seberat 142kg ini di dalam bandar.

Apa yang boleh dicadangkan buat kawan-kawan yang ingin menyelit ketika di bandar ialah untuk menukar kedudukan cermin sisi (bar end) agar tidak terlanggar cermin sisi kereta-kereta yang berderet di laluan-laluan sesak. Dalam dok bercerita pasal ‘keklasikkan’ jentera ini, ada satu benda moden! Ia adalah soket USB pengecas yang berada di bahagian hadapan (sebelah lampu utama) – memang praktikal dan cantik sebab tersorok.

Panel meter CMC ini menggabungkan penunjuk digital dan analog. Informasi asas seperti tahap kelajuan, posisi gear, jarak perjalanan, tahap bahan api diletakkan di panel digital manakala jarum analog adalah untuk bacaan rpm.

Untuk disesuaikan dengan karaktor 'cafe racer', sudah tentu elemen bentuk bulat diterapkan sebanyak mungkin pada model ini. Antaranya pada rekabentuk lampu utama, lampu belakang, panel meter dan lampu isyarat.

Melihat pada rekabentuk jentera ini dari pandangan sisi, kami cukup tertarik pada rekabentuk sistem ekzosnya berwarna krom yang cukup cantik. Walaupun sistem ekzosnya 'terdedah', kalau pakai seluar 'jeans' memang tak terasa bahang panas cuma... nak turun dari motor tu hati-hatilah ye. Pelindung enjin juga menjadikan rekabentuknya lebih garang.

Enjin 249cc ini segar dan lembut. Memecut dalam kelajuan tinggi langsung tidak merisaukan kerana jentera ini cukup tegap. Laju maksimum yang kami dapat ialah sekitar 135km/j tetapi paling ideal ialah 110km/j. Dalam kelajuan ini, setiap pergerakan masih berada dalam kawalan.

Apa yang kami tagihkan ialah kemampuannya untuk lebih tangkas dimiringkan ke kanan dan ke kiri ketika kita berada di atas jalan. Kerangka ‘double cradle’ yang digunakan pada Buccaneer ini memang padan dengan konsep keseluruhannya cuma mungkin akan dirasakan tidak begitu cemerlang untuk kita guna meratah selekoh-selekoh tajam. Tapi kalau gunakan gear… kelajuan dan posisi badan yang betul, tak ada masalah pun.

Brooommm… bila masuk ke dalam bandar, kemerduan jentera ini menggamit ramai peminat untuk mendekatinya. Ya… sudah pun kami katakan tadi tetapi itulah hakikatnya. Buccaneer ini bagaikan magnet yang menarik ‘besi-besi’ pencinta jentera retro untuk mendekatinya. Ramai yang agak terkejut apabila dapat tahu harganya yang cukup berpatutan.

Okay, café racer CMC ini didatangkan dengan tayar hadapan bersaiz 100/80-17 (hadapan) dan belakang (130/90-15) berbunga ‘zig zag’ seperti jentera-jentera retro dulu kala. Nampak padu dan pada masa yang sama menambah kestabilan permukaan jalan yang keras (hard surface). Rim-rim yang dipasang pada tayar ini adalah jenis aloi dan jujurnya saiz tayar belakang agak sukar untuk kita dapatkan dalam pasaran. Kena rajinlah… tapi kalau nak senang, terus ke ibu pejabat CMC je lah.

Pergerakan tayar-tayar ini dikawal oleh pakej brek-brek cakera beserta sistem ABS. Memang yakin untuk ditunggang di dalam hujan atau di permukaan basah. Fork hadapan jenis teleskopik dan dibalut pula dengan getah hitam menyerlahkan lagi sifat retro atau klasiknya. Bahagian belakang disokong oleh penyerap hentak tunggal hidraulik dengan pra-beban boleh laras yang bekerja dengan baik untuk menampung bebanan dan menyerap segala hentakan di laluan-laluan kurang baik.

Terdapat dua warna pilihan iaitu kelabu dan hijau yang boleh anda pilih mengikut minat masing-masing. Berminat? Kunjungi ibu pejabat CMC yang beroperasi di Shah Alam atau mana-mana pusat pengedar CMC yang berhampiran. Okay… jangan buang masa, pergi cepat! RR

Isu Pada

Julai 2023

Spesifikasi

Enjin4 lejang, V-kembar, sistem sejukan udara
Isipadu249cc
Kuasa maksimum18.1hp pada 8,000rpm
Tork maksimum19.0Nm pada 6,000rpm
Tayar100/80-17 (depan) & 130/90-15 (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & penyerap hentak tunggal hidraulik (belakang)
Brekcakera 280mm, ABS (depan) & cakera 240mm, ABS (belakang)
P x L x T2,040mm x 750mm x 1,090mm
Isi tangki14 liter
PengeluarCMC Motorcycles

Popular

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

  • Warta Roda

    Kemalangan di Lebuhraya Karak. Penunggang Motosikal Dikesan Polis

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

Perlumbaan MotoGP pusingan kelima yang berlangsung di Litar Jerez sememangnya penuh dengan drama. Kita bermula dengan prestasi luar biasa yang dipamerkan oleh Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) yang akhirnya berjaya meraih petak paling hadapan.

Warta Roda

Motosikal dihanyut banjir. Mujur mangsa selamat.

Seorang peneroka melalui pengalaman cemas apabila motosikal ditunggangnya terbalik dibawa arus ketika cuba meredah laluan dinaiki banjir di Felda Air Tawar 3 di sini.

Dari Litar

MotoGP 2025 (Qatar): Minggu Sempurna Buat Marc Marquez!

Sejak di sesi latihan bebas, jentera bernombor '93' sentiasa mendapatkan rentak yang luar biasa, catatan masa terpantas, diikuti dengan kedudukan petak pertama, menang perlumbaan Sprint Test dan mengakhiri GP Qatar juga sebagai Sang Juara.

Model Baru

Harley-Davidson 2025 - Street Bob Nampak 'OTAI!'

Untuk tahun 2025, Harley-Davidson menyenaraikan beberapa model yang telah diberikan nafas serba baru. Jom kita mulakan dengan model bobber 'otai' iaitu Street Bob. Street Bob ialah bobber yang kurus dan ramping dengan bar hendal jenis mini-ape yang dipadankan dengan enjin Milwaukee-Eight® 117 Classic V-twin bersesaran 1,923cc yang cukup padu!