Isu Terkini

Disember 2023

Pandu Uji / 26 Disember 2023

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Untuk segmen jentera pengembaraan, Triumph Tiger 1200 hadir ke pasaran dengan lima versi berbeza iaitu GT, GT Pro, GT Explorer, Rally Pro dan Rally Explorer. Masing-masing mempunyai spesifikasi yang hampir sama tetapi hakikatnya tidak serupa. Antara persamaan di antara kelima-lima model itu penggunaan kerangka keluli tiub dan sub-kerangka 'bolt-in' aluminium, sistem brek, panel meter, sistem saspensi dan banyak lagi.

Kami diberi peluang untuk menunggang uji Triumph Tiger 1200 GT Pro dan ia merupakan model teratas atau top-of-the-line dalam barisan kembara-lasak. Jujurnya GT Pro merupakan sebuah model yang memang cukup selesa untuk ke mana sahaja. Mengapa kami kata begitu? Jawapannya mudah sahaja, Tiger Pro ini mudah dikawal, hantaran enjin yang lembut, selesa untuk perjalanan jauh/dekat dan lengkap dengan pakej keselamatan serba moden.

Unit yang ditunggang ini dilengkapkan dengan pelana versi rendah yang sesuai untuk apa juga ketinggian tetapi secara peribadi, saya lebih suka pelana standard. Okay, panel meter Tiger ini bersaiz 7 inci yang memberi paparan cukup jelas dan ia juga boleh disambungkan dengan My Triumph Connectivity System untuk memberikan kita akses kepada alunan muzik, navigasi dan panggilan telefon khususnya.

Hanya dengan sekali tekan, enjin jentera ini berputar dengan lancar dan cukup senyap. Tidak lama kemudian, tiba di satu persimpangan. Ketika menunggu lampu bertukar dari merah ke hijau, ada jumpa rider menyapa “Besar betul motor ni abang! Susah tak kalau nak control?” - Saya terus jawab “Tak susah... janji biasakan diri.”

Ya! Sememangnya mengawal Triumph Tiger 1200 cukup mudah sekali dan inilah hasil daripada pengalaman dan kecintaan para jurutera syarikat ini yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk terus mempertingkatkan keseluruhan prestasi jentera ini. Bukan terlalu memuji tetapi pelananya memang cukup selesa... patutlah banyak je kita tengok 'harimau' ni kembara ribuan kilometer ke luar negara.

Adakah atas dasar keselesaan semata-mata menyebabkan orang membeli jentera ini untuk mengembara? Seperti yang sedia maklum, lima varian Tiger yang dikeluarkan untuk pasaran dicipta bagi tujuan-tujuan tertentu. Tiga daripadanya sesuai untuk jalanan biasa manakala dua lagi varian untuk rakan-rakan yang sukakan kelasakan.

Daripada sudut ini, kita sudah boleh membuat kesimpulan awal bahawa Triumph Tiger ini mampu berdepan dengan pelbagai jenis laluan, mukabumi dan cuaca. Nama pun Tiger... mestilah kuat.

Mari kita lihat rekabentuk Tiger 1200 baru ini. Casisnya direka baru yang lebih ringan dan dipadankan dengan sub- kerangka aluminium serta lengan ayun ‘tri-link’ yang bertegaran tinggi tetapi cukup ringan. Ia sangat jelas dapat kita rasa sewaktu mengemudi jentera ini di dalam kesesakan lalulintas, membaringkannya ke kiri dan ke kanan di laluan-laluan berselekoh.

GT Pro juga disempurnakan dengan throttle-by-wire, IMU dan sistem elektronik yang lain. 'Harimau' ini mempunyai lima mod tunggangan (Sport, Road, Rain, Off-Road, dan mod Rider yang boleh disesuaikan mengikut pilihan pemiliknya), Cornering ABS, Traction Control dan redaman saspensi.

Sistem saspensi separa aktif dari Showa mempunyai mod redaman On-Road dan Off-Road, dengan beberapa talaan untuk prestasi lebih mantap. Tidak lupa juga, GT Pro turut dilengkapkan dengan lampu selekoh, quick shifter, kawalan pelayaran, kawalan brek tahan bukit (Hill Hold) dan paparan TFT warna 7 inci dengan sambungan Bluetooth yang merangkumi multimedia, navigasi dan kawalan GoPro. Ya... motor ini hampir sempurna dari segala segi.

Tangki untuk model ini (GT Pro) adalah sebesar 20 liter – sama seperti model GT manakala tangki petrol untuk GT Explorer bersaiz 30 liter. Buat pemilik model GT Pro, satu isian penuh dapat memberikan kita jarak perjalanan lebih 200 kilometer.

Semakin banyak motosikal moden sekarang ini sudah pun menggunakan sistem kunci pintar. Trend atau kecanggihan ini bukan hanya ditawarkan pada motosikal berkuasa tinggi sahaja tapi dah pun dipasangkan pada motosikal bersesaran rendah. Triumph Tiger GT Pro ini juga hadir dengan sistem kunci pintar. Simpan je kunci tu dalam poket tak perlu nak keluarkan. Nak hidupkan enjin sekarang tekan je dan nak kunci hendal pun tekan je suisnya. So senang!

Sistem suluhan untuk Triumph ini adalah dari jenis LED, termasuk spotlight dan sistem lampu DRL. Ia bukan sahaja nampak eksklusif tetapi juga sangat cerah untuk memberi panduan terbaik di kala menunggang malam.

Enjin baru 1,160cc, DOHC, sistem penyejuk cecair, 3 silinder 'T-Plane' untuk Tiger ini menghasilkan kuasa maksimum setinggi 148bhp pada 9,000rpm dan 130Nm pada 7,000rpm yang dapat kita nikmati setiap kali pendikit dipulas. Enjin tiga silinder 'T Plane' mempertingkatkan pecutan dan memiliki respons yang mengujakan. Corak hantaran kuasanya yang lancar membolehkan kita memecut tanpa rasa ragu-ragu.

Keseronokan ini bertambah dengan adanya Triumph Shift Assist yang lembut, tepat... tanpa sangkut-sangkut. Memang best! Cermin pengadang angin untuk kesemua varian boleh dilaras dengan sangat mudah. Kita hanya perlu menolak ke bawah untuk rendahkannya dan tarik ke atas untuk menala ketinggian cermin ini. Memang bijak idea ini. Tak perlu buang masa semata-mata untuk menala cermin hadapan.

Setiap mod tunggangan memiliki corak hantaran kuasanya yang tersendiri – disesuaikan dengan pengalaman menunggang, tempat/lokasi dan cuaca. Ada yang santai, ada yang bersedia untuk berlumba dan ada juga menjamin keselamatan penunggang di waktu jalan basah. Model ini juga didatangkan dengan sistem Hill Hold yang mengelakkan jentera ini daripada terundur ke belakang ketika parkir di kawasan berbukit.

Triumph Tiger GT Pro didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 19” (depan) dan 18” (belakang) seperti mana model GT dan GT Explorer. Bagi varian Rally Pro dan Rally Adventure, kedua-duanya menggunakan tayar-tayar bersaiz 21” (depan) dan 18” di belakang. Meratah setiap selekoh memang sangat mengujakan dengan adanya sistem Optimised Cornering ABS yang membuat pengiraan berterusan mengikut pergerakan motosikal termasuk sudut miringan.

Tidak kiralah kita masuk jalan kampung atau masuk ke kawasan perladangan, sistem saspensi yang dimiliki oleh Tiger ini sangat-sangat mengagumkan cuma.... masa yang singkat tidak membenarkan kami untuk merasainya dengan lebih dekat. Secara keseluruhannya, Tiger baru ini memang sebuah motosikal serba boleh. Sesuai sebagai alat perhubungan harian dan pada masa yang sama, teman setiap penunggang untuk pengembaraan ribuan kilometer.

Triumph nampaknya makin agresif dalam pasaran motosikal dunia dan usaha ini cukup memberi inspirasi. Tiger akan terus menjadi model sandaran khususnya dalam dunia pengembaraan kerana kecemerlangan jentera ini telah terbukti. Kita dapat lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini siri Triumph Tiger semakin berkembang dengan pelbagai versi berbeza seperti Tiger Sport 660, Tiger Sport 850, Tiger 900 (GT, GT Pro, Rally dan Rally Pro) serta yang terkini, Tiger 1200 (GT, GT Pro, GT Explorer, Rally Pro dan Rally Explorer). RR

Isu Pada

Julai 2023

Spesifikasi

Enjinsistem penyejuk cecair, 12 injap, DOHC, tiga silinder, Euro5
Isipadu1,160cc
Kuasa maksimum148bhp pada 9,000rpm
Tork maksimum130Nm pada 7,000rpm
Tayar120/70R19 (depan) & 150/70R18 (belakang)
Saspensifork USD Showa 49mm dengan peredam separa-aktif (depan) & penyerap hentak tunggal Showa dengan peredam separa-aktif, pelarasan pra-beban automatik elektronik (belakang)
Brekcakera 320mm dengan angkup Brembo M4.30 Stylema (depan) & cakera 282mm dengan angkup Brembo (belakang)
P x L x T2,245mm x 849mm x 1,497mm
Berat basah245kg

Popular

  • Warta Roda

    Seorang Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Maut Atas Kecuaian Orang Lain

  • Warta Roda

    Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

  • Warta Roda

    Castrol Tawar Program Insurans Percuma Buat Penunggang Motosikal

  • Dari Litar

    Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

  • Dari Litar

    Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Brough Superior Nefud - Jentera Dual-Purpose 'Desert Storm'

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Pengeluar jenama motosikal ikonik Itali, Bimota bakal kembali ke pentas perlumbaan dunia pada tahun 2025 dengan menyertai Kejuaran Dunia Superbike (WorldSBK).

Warta Roda

Cubaan Meragut Gagal, Suspek Telah Ditahan

KUCHING: Dua peragut berputih mata selepas cubaannya meragut seorang wanita di Taman Desa Wira, Batu Kawa digagalkan orang awam.

Warta Roda

GWM Bakal Perkenal Jentera Kembara 2000cc

Pengeluar kenderaan empat roda, Great Wall Motor (GWM) bakal melancarkan model kembara eksklusif yang hadir dengan enjin 2000cc, 8 silinder dan dikatakan memiliki susunan formasi seperti enjin Honda Gold Wing.

Warta Roda

Penuntut UniSZA Maut Bertembung Dengan Kereta

Seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta.