Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 5 Ogos 2024

Suzuki Gixxer SF250 - Tampak Gah di Jalanan

Perkenalan model-model 250cc sememangnya amat mendapat sambutan di pasaran negara kerana untuk menunggangnya tidak perlu menaiktaraf lesen motosikal kepada B penuh. Tambahan lagi, jentera berkapasti 250cc sangat sesuai buat mereka yang ingin merasa motosikal dengan cc lebih besar sedikit dan berkuasa.

Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia pelbagai jenama motosikal sudah mengeluarkan pelbagai motosikal dengan enjin berkapasiti 250cc. Bagi kami model Suzuki juga antara senarai yang boleh dicadangkan kerana bukan sahaja jenama yang amat dipercayai tetapi harganya pula cukup mampu milik di tanah air kita ini.

Beberapa bulan yang lalu kami (RR) telah merasa jentera 250cc keluarga Suzuki Malaysia iaitu Gixxer 250. Di sini, Gixxer mempunyai dua varian iaitu naked dan full fairing. Untuk tunggang uji kali ini, kami diberi kepercayaan oleh Suzuki Malaysia untuk menguji model sport mereka iaitu Gixxer SF250 (SF bermaksud Sport Fairing). Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat tunggang uji Gixxer 250 boleh didapati di dalam majalah keluaran bulan Jun 2024 Bilangan 450.

Selepas mengambil jentera Gixxer SF250 di pejabat rasmi Suzuki Malaysia di Glenmarie, Shah Alam, kami terus ke arah Tanjung Karang, Selangor. Selepas duduk di atas pelana setinggi 800mm kami memutarkan kunci dan tekan suis penghidup elektrik. Enjin jentera ini amat mudah dihidupkan dengan bantuan Suzuki Easy Start System. Walaupun ia sebuah jentera sport, posisi tunggangan tidak terlalu sporty. Pelananya yang empuk membuatkan kami tersenyum sepanjang perjalanan.

Tiba di persimpangan lampu isyarat, Gixxer ini juga mampu menarik perhatian penunggang lain yang berada di sebelahnya. Rupabentuk keseluruhan yang diinspirasikan dari model siri GSX-R dan Hayabusa amat cantik sekali.

Suzuki Gixxer SF250 menawarkan rekabentuk yang sporty dan aerodinamik dengan mempunyai tarikan istimewa buat peminat-peminat dua roda di luar sana. Bahagian hadapan tampak agresif dengan menampilkan sepasang lampu yang tajam beserta pencahayaan yang optimum menerusi lampu LEDnya. Garis-garis tebal pada badan jentera memberikan sentuhan futuristik. Lambang Suzuki pada panel badan jentera memberikan personaliti yang mengagumkan agar lebih menonjol di jalan raya.

Kami kemudian singgah di persekitaran Setia Alam untuk mengambil gambar sebagai ‘backup’ memandangkan cuaca di langit kelihatan seperti mendung. Sebelum memulakan perjalanan semula kami berhajat untuk singgah di Pantai Remis, Jeram. Untuk menguji ketangkasan Gixxer SF250 ini, kami memilih Lebuhraya Pantai Barat (WCE) sebagai laluan untuk ke kawasan pantai.

Selain memilik rupa yang mantap, prestasi enjin pada jentera ini juga cukup memuaskan hati. Spesifikasi enjinnya sama sahaja seperti Gixxer 250. Model ini didatangkan dengan enjin satu silinder, 249cc, empat lejang dengan sistem penyejuk minyak. Laluan di lebuhraya sedikit lengang. Pendikit semakin dipulas dengan lebih galak. Dengan berbekalkan enjin berkuasa 26.5hp pada 9,300rpm dan tork 22.2Nm pada 7,300rpm, kami dapat memecut sekitar 135km/j.

Penukaran gear yang tepat memudahkan jentera untuk memecut dengan cepat. Walaupun cermin penghadang angin tidak tinggi, kami tidak terkena tamparan angin yang begitu kuat. Cermin sisinya pula cukup besar, mudah untuk melihat kehadiran kenderaan di belakang sebelum menukar laluan.

Sistem saspensinya juga bekerja dengan baik sekali manakala saspensi hadapan jenis fork teleskopik menyerap hentak cukup sempurna sebelum kami mengambil selekoh. Dengan hadirnya lengan ayun beserta penyerap hentak tunggal di belakang, jentera tidak terasa seperti berayun ketika mengambil selekoh. Tunggang berdua juga beri keselesaan buat penunggang belakang.

Penggunaan tayar yang sesuai juga antara sumbangan untuk kita mengambil selekoh dengan baik. Suzuki Gixxer SF250 menggunakan tayar hadapan bersaiz 110/70R17M/C 54S dan belakang 150/60R17M/C 66S. Permukaan tayar dapat mencengkam jalan dengan sempurna terutama ketika suhu jalan tengah tinggi.

Selepas menunggang lebih kurang 30 minit dari Setia Alam, kami akhirnya tiba di Pantai Remis, Jeram untuk berehat seketika. Mujur cuaca pada waktu ini tidak mendung lagi. Pemandangan di sekitar pantai amat mendamaikan ditambah dengan tiupan angin laut. Kalau berkelah ni mesti syokkk! Kami tidak lama di sini. Selepas menambah koleksi gambar kami terus bergerak menghala ke Kuala Selangor.

Perjalanan kami kali ini rilek dan santai dengan menyusuri jalan-jalan di persekitaran pekan. Menunggang perlahan menonjolkan lagi rupa Gixxer ini di khalayak umum. Trafik pada ketika ini sedikit sibuk.

Maklumlah hampir waktu puncak, orang ramai keluar untuk mencari makan tengah hari. Kami tiba di pekan Kuala Selangor sekitar jam 12.30 tengahari.

Perhentian kami adalah di Laluan Seni Pekan Lama Kuala Selangor. Di sini terdapat banyak lukisan mural yang dilukis pada bangunan. Konsep art street seperti ini amat menarik sekali sebagai tarikan pelancong serta menyerlahkan lagi bakat pelukis tempatan. Selain laluan seni, terdapat lagi kawasan-kawasan menarik seperti Taman Alam, Bukit Malawati, Masjid Raja Lumu dan pelbagai lagi.

Walaupun di bawah cahaya mentari, paparan meter LCD dengan berlatar belakangkan warna biru gelap memudahkan kami melihat segala info-info seperti tahap kelajuan, tahap rpm, kedudukan gear, jarak perjalanan, masa dan bahan api. Antara sistem keselamatan yang dipadankan bersama Gixxer SF250 adalah penggunaan sistem brek jenis cakera di tayar hadapan dan belakang. Manakala sistem ABS dua saluran pula meyakinkan lagi penunggang untuk memacu jentera ini pada waktu hujan agar roda tidak mudah terkunci ketika membrek dengan keras.

Hentian terakhir kami adalah kawasan sawah padi yang terletak di Tanjung Karang. Masa kami di sini singkat memandangkan cuaca di sebelah petang panas. Dapatlah juga untuk kami bergambar.

Dengan menampilkan teknologi Suzuki Eco Performance (SEP), sistem suntikan bahan api mengoptimumkan penggunaan bahan api yang menjimatkan. Tangki bahanapi pada jentera ini adalah 12.0 liter. Kami yakin perjalanan bersama jentera ini dapat menyusuri jarak sekitar 300 – 350 kilometer (bergantung pada gaya tunggangan seseorang).

Suzuki Gixxer SF250 sememangnya sebuah motosikal yang seronok sekali. Untuk menunggang jauh, berkonvoi, ulang alik ke tempat kerja, ke universiti/kolej mahupun tunggangan harian - tiada masalah. Model ini ditawarkan pada harga RM15,500 (tanpa pendaftaran, insurans & cukai jalan) dengan dua pilihan warna iaitu Metallic Sonic Silver/Metallic Triton Blue (Edisi GP) dan Metallic Matte Black No. 2. RR

Isu Pada

Ogos 2024

Spesifikasi

Enjinsatu silinder, empat lejang, SOHC & sistem penyejuk minyak
Isipadu249cc
Kuasa maksimum26.5 hp pada 9,300rpm
Tork maksimum22.2Nm pada 7,300rpm
Brekcakera (depan & belakang) ABS dua saluran
Tayar110/70R17M/C 54S (depan) & 150/60R17M/C 66S (belakang)
Tinggi pelana800mm
P x L x T2,010mm x 740mm x 1,035mm
Isi tangki12 liter
PengeluarSuzuki Malaysia Sdn bhd

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Selama 15 tahun, festival ini berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil komuniti kustom kepada acara gaya hidup yang menjadi tumpuan peminat automotif bukan sahaja di Malaysia, malah dari seluruh Asia.

Warta Roda

Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

Boon Siew Honda kini memeprkenalkan versi edisi khas ADV160 yang diinspirasikan daripada watak superhero ikonik Marvel iairu Spider-Man.

Warta Roda

Empat Penunggang Maut Dalam Kemalangan Membabitkan Motosikal Dan Kereta

Empat penunggang maut manakala yang lain cedera dalan kemalangan antara beberapa motosikal dan sebuah kereta di LPT.

Dari Litar

MotoGP Malaysia Kekal Di Sepang Hingga 2031

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan MotoGP Malaysia akan terus dianjurkan selama lima tahun lagi.