Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Ogos 2024

MV Agusta Enduro Veloce 2024

Agak ironis apabila model MV Agusta serba baru muncul di pasaran sejurus selepas jenama lagenda itu telah diperoleh dari gergasi Austria PIERER Mobility, iaitu KTM. Jentera yang hadir dengan tiga silinder 931cc terkini dari MV ini ditakdirkan untuk membentuk kepada keseluruhan siri model baru dalam beberapa bulan dan tahun akan datang.

Stefan Pierer sendiri beritahu saya pada Jun lalu, selepas dia membeli 25.1% daripada saham MV Agusta daripada pemiliknya ketika itu iaitu keluarga Sardarov Rusia. “Motosikal pengembaraan berada dalam sektor pasaran yang besar, tetapi ia juga segmen yang paling sukar, dan paling berdaya saing. Maka, tiada siapa yang menunggu model seperti itu dari MV Agusta.”

Edi Orioli
Edi Orioli

Namun enam bulan kemudian di Pameran EICMA Milan November lalu, ruang pameran MV Agusta menampilkan pengenalan baru apa yang dipanggil Lucky Explorer 9.5 tetapi kini ‘diperkenalkan’ semula sebagai MV Agusta Enduro Veloce (sedap namanya!) dan dengan manfaat pembangunan jentera ini selama dua tahun di pangkalan R&D CRC yang beroperasi di San Marino yang dinamakan sebagai MV Agusta Centro Stil.

Siapa sangka, motosikal yang tidak mahu dikeluarkan oleh Boss itu akhirnya telah masuk pengeluaran, dan boleh didapati di pengedar MV di seluruh dunia. Jadi sekarang Pierer dan anak buahnya mesti menunggu riaksi dan pendapat pasaran sama ada motosikal Adventure yang dihasilkan oleh pengeluar warisan berspesifikasi unik akan menikmati nilai penjualan yang diharapkan.

Model ini ditawarkan pada harga €23,000 (RM117,064) di pasaran Itali dengan cukai 22% dengan waranti kilang perbatuan tanpa had selama empat tahun. Enduro Veloce ini hanya didatangkan dalam satu skema warna iaitu kombo Merah/Perak.

MV berteknologi tinggi baru versi Edisi Terhad pula diperkenalkan dengan nama LXP Orioli. Hanya 500 unit dikeluarkan pada harga €30,600 atau RM156,790. Ya… ia ditetapkan oleh MV sebagai motosikal kembara ‘mewah’ yang mampu dibawa menikmati perjalanan di semua tempat. Nama ini adalah satu penghormatan kepada pelumba Itali Edi Orioli, yang meraih dua kemenangan Dakar pada 1990 dan 1994.

Saya mendapat jemputan eksklusif untuk menunggang uji jentera prototaip yang mula ditampilkan pada Jun 2022 lalu. Ini membuatkan saya benar-benar yakin bahawa MV mempunyai kreativiti motosikal yang cukup bagus dan personaliti yang mantap.

Peluang ini datangnya ketika pelancaran akhbar di pulau Sardinia untuk perjalanan sejauh 240km/150b di sepanjang jalan pesisiran pantai, melalui pemandangan tepi laut yang indah dan di lereng bukit yang mencabar. Ada juga laluan offroad yang cukup panjang untuk menguji kemantapan sebenar jentera ini.

Sejarah hebat MV Agusta tidak boleh dipertikaikan. Ia dahulunya dipanggil Ferrari dua roda, dengan 270 kemenangan dalam Grand Prix dan 75 gelaran Kejuaraan Dunia termasuk 17 mahkota 500GP berturut-turut.

Dalam dunia perlumbaan lasak, MV Agusta turut meraih gelaran Itali MX/Enduro berturut-turut pada 1950-an dan 60-an, serta memiliki pasukan Itali dalam ISDT acara di luar negara. Tetapi selepas keluarga Castiglioni memperoleh MV 30 tahun yang lalu, tumpuan mereka untuk jenama itu sedikit berbeza tetapi kini telah kembali dalam proses meluaskan syarikat dengan motosikal kembara.

Merekacipta bentuk model ADV agar yang tidak kelihatan seperti kebanyakan model-model pengeluar lain adalah soalan yang sukar. Mungkin Enduro Veloce kelihatan agak hambar dari sisi, saya rasa Pereka MV iaitu Stephane Zache telah melakukan kerja yang baik dalam memberikan personaliti dan penggayaan di bahagian hadapan.

Lampu utama kelihatan kemas dan padu tetapi paling penting ‘perasaan’ kita apabila berada di atasnya. MV ini memang cukup dinamik. Tekan suis penghidup, saya mulanya agak kecewa kerana sudah tidak ada lagi bunyi tiga silinder yang garang ketika enjin melahu. Bunyinya sangat sederhana.

Namun begitu, apabila kuasanya mula ditarik, perasan terus berubah menjadi gembira. Suara sistem ekzos memang mantap, boleh jadi bunyi enjin jentera Euro 5 terbaik! Apabila sudah lebih daripada 3,000rpm, ia lagi galak tambahan pula dilengkapkan dengan sistem powershifter kuasa dua hala yang benar-benar sempurna. Proses menambah/menurun gear tanpa klac yang ditawarkan oleh MV Agusta ini memang cukup sempurna.

Nisbah gear yang ditetapkan untuk jentera ini juga ideal, gear ketiga sudah mencukupi buat saya menyusuri laluan-laluan berliku di Sardinia. Pada ketinggian 850-870mm, tempat duduk Enduro Veloce boleh laras dan mudah diakses untuk penunggang 180cm/5’10” seperti saya.

Berada di atas pelana yang direka cukup baik memberikan ruang menunggang yang luas. Saya sangat mengalu-alukan sebuah motosikal yang menjadikan kita berada ‘bagaikan’ di dalam dan bukannya di atasnya. Memang luar biasa sedikit berbanding dengan jentera ADV biasa.

Dengan ini, kita (penunggang) akan berada lebih yakin untuk mengendalikan, memecut dan menukar arah dalam apa jua kelajuan sekalipun – saya memang puji dengan kestabilan dan betapa mudah jentera ini dapat dikawal.

“Kami melakukan banyak ujian menggunakan roda hadapan 19 inci, dengan semua jenis penunggang dan tahap kemahiran, dan menyedari bahawa ketangkasan jentera MV ini tidak terjejas jika menggunakan tayar hadapan bersaiz 21-inci. Ia juga sudah tentu lebih sesuai untuk tunggangan jalan lasak,” kata Ketua Bahagian Kejuruteraan, MV Alessandro Volpini.

Saya bersetuju, dan hasilnya… kita akan rasanya corak tunggangan lebih sporty dan akan gemar menunggang Enduro Veloce dengan kuat dan pantas khususnya melalui selekoh tajam. Bar hendal jenis aloi yang dipadankan pada MV Agusta ini juga menyumbang bukan sahaja kepada keselesan untuk perjalanan jauh tetapi juga membantu pengendalian lebih cekap di laluan-laluan terhad – termasuklah dalam kelajuan rendah.

Saya cukup terkejut apabila mendapati bahawa skrin pengadang angin Enduro Veloce tidak boleh dilaras (secara manual mahupun elektrik). Hasilnya? Bahu menerima pukulan angin yang kuat pada kelajuan 140km/j. Memanglah tak sakit tetapi cukup mengganggu semasa memecut di lebuh raya yang panjang.

Topi keledar saya juga bergoyang kuat pada sebarang jenis kelajuan di atas 100km/j. Untuk sebuah jentera dari jenama hebat dan harganya juga agak ‘hebat’, isu ini langsung tidak boleh saya terima. Bagaimana pihak MV tak menyedari masalah ini?

Walaupun tangki bahan api 20 liter rasa besar (MV mendakwa penggunaan bahan api gabungan sebanyak 5.6lt/100km) jentera ini masih dirasakan ramping. Ini menandakan binaan padat enjin yang membolehkan saya meletakkan kedua-dua kaki di atas tanah dengan selesa - jarang boleh dilaksanakan pada kebanyakan jentera Adventure yang tinggi. Walaupun ia lebih 220kg, pengagihan berat memang wajar mendapat pujian.

Bagaimana dengan kualiti menunggang? Jawapannya mudah… sangat baik dan mewah. Terima kasih kepada sistem saspensi Sachs yang boleh laras sepenuhnya untuk bertindak balas terhadap hentakan laluan berbonggol dan permukaan ‘buruk’ di jalanan dengan cemerlang sekali.

Untuk memperlahankan MV ini juga tidak perlu risau, ia hadir dengan brek Brembo Stylema yang sudah terbukti berfungsi dengan sempurna walaupun untuk jentera Superbike yang berkelajuan lebih daripada 300km/j. Walaupun peluang menunggang off-road tidak lama dan tidaklah begitu jauh, karaktor serta tahap keseimbangan MV ini sememangnya memberikan senyuman. Padu betul!

Kita harus akui - ini adalah motosikal yang akan dibeli oleh 95% pemilik yang akan digunakan di atas jalan raya. Kebanyakan tempat yang mereka akan lawati adalah ke kawasan-kawasan pergunungan, destinasi percutian yang jalannya tidaklah begitu sukar untuk diredah.

Hakikatnya, MV Agusta perlu cekal dalam perjuangan mereka di pasaran. Cabaran besar yang akan dihadapi oleh para pengedar MV adalah untuk memujuk bakal pelanggan MV untuk datang, berfikir tentang jenama ini dan menunggang uji Enduro Veloce.

Selepas PIERER Mobility melengkapkan pemerolehan awal MV Agusta, dia menghantar jentera prototaip Enduro Veloce ke Ibu Pejabat KTM (Amerika Utara) di Temecula, California. Di sana, jentera itu diuji dengan keras di laluan biasa dan jalan lasak pada jarak 10,000km menggunakan laluan di Pantai Barat Amerika Syarikat yang sangat memenatkan.

"Kami gagal untuk ‘merosakkannya’ dan percayalah, kami dah cuba! Ketika menghantar MV ini pulang, tidak ada sebarang kritikan mahu pun cadangan penambahan baikan. Ia menepati piawaian hebat sebuah model kembara," kata Pengurus Perlumbaan (jalan biasa dan flat track) iaitu Chris Fillmore yang juga pemenang Rekod Pendakian Acara Mendaki Pikes Peak.
Kenyataan itu menceritakan segala yang ditawarkan oleh MV Agusta Enduro Veloce! RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: MV Agusta/RedMediaHouse

Isu Pada

Ogos 2024

Spesifikasi

EnjinTiga silinder, 4 lejang, 12 injap, DOHC
Isipadu931cc
Kuasa maksimum124 hp pada 10,000rpm
Tork maksimum102Nm pada 7,000rpm
Tayar90/90-21 (depan) & 150/70-18 (belakang)
Saspensifork teleskopik hidraulik USD jenis Sachs (depan) & lengan ayun aluminium bertempa dengan penyerap hentak tunggal jenis Sachs (belakang)
Tinggi pelana850mm/870mm
P x L2,360mm x 980mm
Berat kering224kg
Isi tangki20 liter

Popular

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

  • Warta Roda

    Kemalangan di Lebuhraya Karak. Penunggang Motosikal Dikesan Polis

Artikel berkaitan

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Disyorkan untuk anda
Model Baru

ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd telah memperkenalkan jenama terbaru iaitu ARIIC

Dari Litar

CP150: Saingan Sengit di Garisan Penamat

Tahniah buah Afif menewaskan pelumba pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR iaitu Danial dalam perlumbaan akhir CP150.

Dari Litar

Espana Superbike Championship (ESBK):Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez

Pelumba negara, Qabil Ifran mengungguli perlumbaan kelas ESBK Talent Cup di Espana Superbike Championship (ESBK) yang berlangsung di Litar Jerez baru-baru ini.

Warta Roda

Tiga Warna Terbaru Untuk Yamaha Y16ZR ABS 2025

Hong Leong Yamaha Motor hari ini mengumumkan pengenalan kepada 3 warna terbaru untuk model Y16ZR ABS 2025. Warna-warna menarik tersebut terdiri ialah Fiery Red, Desert Steel dan Emerald Pearl.