Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 7 Ogos 2025

Honda X-ADV 750 – Raja Kembara Bandar dan Luar Jalan

Terima kasih Boon Siew Honda (BSH) kerana sudi 'bagi' kami 2 buah skuter padu iaitu Honda X-ADV 750 dan ADV 350 baru! Yes...memang seronok betul dibuatnya apabila dapat bermotor dan menguji dua buah skuter 'adik beradik' yang nampak sama tapi tidak serupa! Pendek kata....si abang sesuai untuk semua keadaan (jalanan biasa atau laluan lasak) manakala adiknya peneman tangkas di kota yang sibuk tetapi kedua-duanya membawa satu matlamat yang sama iaitu untuk memberi rasa BEBAS dan FUN kepada si penunggang untuk bergerak, meneroka dan menikmati dunia tanpa batasan.

Honda X-ADV 750: Lebih baik berbanding dulu!

Pada saya...Honda  X-ADV 750 adalah satu rekaan bijak gaya adventure yang berjaya mengubah cara kita melihat dan menilai khususnya jentera automatik (skuter) yang dihasilkan jauh berbeza dari apa yang dilazimi manakala ADV 350 pula satu pilihan atau option buat mereka yang belum berkemampuan untuk berabis hampir RM100 ribu untuk sebuah jentera ala skuter.

Dari pandangan pertama, Honda X-ADV 750 sudah pun memancarkan aura ketegasan dan keberanian. Dengan rekaan agresif, lampu LED tajam, dan tubuh berotot, ia seolah-olah berkata: "Bawa aku ke mana saja."

Ditenagai enjin 745cc parallel-twin bersama sistem Dual Clutch Transmission (DCT), X-ADV bukan sekadar skuter — ia adalah kombinasi pintar antara kuasa motosikal dan praktikaliti skuter. Penunggang tak perlu lagi risau soal tukar gear atau kehilangan tork di laluan mencabar. Dengan hanya satu pulasan throttle, kuasa disalur dengan lancar, sama ada di lebuh raya, di laluan kota, atau di jalan berbatu.

Tidak dinafikan, ramai 'je' kawan-kawan yang kurang setuju dengan idea pembikinan jentera ini, "X-ADV 750 ini sukar difahami. Nak kata skuter pun bukan...nak kata motor adventure pun bukan!" Bagi saya, minat terhadap sesebuah jentera itu subjektif, lebih kurang sama dengan warna. Ada yang suka warna terang...tak kurang juga yang sukakan warna tenang dan warna gelap/hitam pun ada peminatnya.

Saya akui, apa yang kurang menyenangkan ialah pada harga jualannya dan jangka masa menunggu untuk memiliki model kegemaran ramai ini. Nilai jualan Honda X-ADV 750 mungkin pada saya antara yang paling pelik pernah ditawarkan di pasaran negara. Mana tidaknya...harga biasa RM76,000, harga model recond pula lebih mahal sekitar RM10,000 tetapi model 2nd hand pula, ada yang mencecah RM90,000 malah lebih. Oleh kerana masalah 'Senarai Menunggu' untuk unit X-ADV 750 dari pihak BSH cukup lambat, model-model yang dibawa masuk atau '2nd hand' habis disapu!

Dari sudut situ pun kita dah boleh menilai betapa popularnya model ini. Tak kisahlah orang kata disebabkan 'trend' semata-mata, janji yang minat akan terus minat!

Kembali semula! Saspensi panjang Showa, rim besar 17” dan 15”, serta sistem brek Nissin 4-piston memberikan kawalan maksimum dan rasa yakin sewaktu menunggang. Saya tidak pernah sekali pun rasa kurang yakin untuk membawa jentera ini ke laluan-laluan berselekoh. Tambahan pula, posisi duduk yang tinggi dan selesa menjadikan X-ADV bukan sahaja sesuai untuk lelaki berjiwa lasak, malah juga untuk mereka yang mencari kemewahan dalam pengembaraan harian.

Namun, jangan tersilap — walaupun nampak lasak, X-ADV turut menawan hati dengan teknologi moden seperti paparan TFT, Mod Tunggangan (Standard, Sport, Rain, Gravel & User), sistem Traction Control dan yang paling 'latest', sistem Cruise Control. Ya...untuk tahun 2025, memang ada beberapa peningkatan yang dilakukan oleh Honda untuk jadikan model ini lebih padu. Selain Cruise Control, lampu utama juga direka baru (lampu isyarat disepadukan dengan lampu utama), cermin pengadang angin lebih mudah dilaras (hanya guna 1 tangan), peredam hidraulik pelana kini ada dua (model terdahulu 1 sahaja),


Honda ADV 350 – Gaya Urban, Kemampuan Luar Biasa

Di sisi lain, hadir pula Honda ADV 350, ibarat adik kepada X-ADV, namun dengan identiti sendiri yang cukup kuat. Skuter ini dibina khas untuk penunggang bandar yang mengidamkan gaya lasak tetapi tetap mahu kekal praktikal dan mudah dikendalikan.

Dikuasakan enjin 330cc satu silinder dengan sistem CVT, ADV 350 menjanjikan perjalanan yang lancar dan tanpa tekanan. Ia sangat mesra pengguna — hanya pulas dan terus bergerak. Sama ada meredah kesesakan trafik di waktu puncak atau bersantai di pinggir bandar pada hujung minggu, ADV 350 adalah teman yang ideal.

Tampil dengan ciri-ciri seperti meter digital, ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas (boleh muat dua helmet!), dan port USB-C, ADV 350 bukan sahaja praktikal malah penuh gaya. Rekaan luarannya pula mengekalkan sentuhan ‘adventure’ dengan windscreen boleh laras, pelindung tangan, dan suspensi tinggi — membolehkan ia melalui laluan rosak dengan lebih yakin berbanding skuter biasa.

Dari depan, kalau dibandingkan antara model ini dengan abangnya, X-ADV 750, saya lebih minat dengan ADV350 kerana nampak lebih sasa....lebih garang! ADV 350 mungkin bukan untuk meredah hutan tebal, tapi ia cukup mantap untuk laluan gravel ringan, jalan kampung, dan semua liku-liku bandar yang mencabar.

Jadi.... Honda X-ADV vs ADV – Mana Satu Pilihan Hati?

Jika anda seorang penunggang berpengalaman, sukakan kuasa besar, berpoket dalam dan mahu satu jentera yang boleh dibawa ke mana-mana tanpa kompromi, X-ADV 750 adalah pilihan terbaik. Ia menawarkan keselesaan, kuasa, dan keteguhan dalam satu pakej premium. Tapi harganya memang tinggi!

Namun, jika anda mahukan sesuatu yang lebih ringan, senang dikendalikan, dan lebih sesuai untuk penggunaan harian serta bajet yang sederhana, ADV 350 memberikan nilai luar biasa yang menggabungkan gaya, teknologi dan kecekapan dalam satu tubuh ramping yang siap beraksi.

Kesimpulan

Dalam dunia motosikal hari ini, Honda berjaya mencipta dua ikon baru — satu untuk mereka yang mahu menakluk jalan raya, dan satu lagi untuk mereka yang mahu menikmatinya dengan tenang. Honda X-ADV 750 dan ADV 350 bukan sekadar skuter — mereka adalah simbol kebebasan, gaya, dan semangat pengembaraan. Kerana dalam hidup ini, bukan soal sejauh mana kita pergi, tapi bagaimana kita menikmati setiap kilometer perjalanan. RR

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

Hakim Danish Ramli meneruskan rentak konsisten salam saingan Moto3 apabila menamatkan perlumbaan di GPAragon di tempat ke-12.

Model Baru

Cyclone RT5 Tampil Dengan Ciri Premium - Bermula RM16,888

Cyclone RT5 kini rasmi masuk pasaran tempatan menerusi majlis perasmian Mforce Smartshop KW Keat Wei Motor Sdn. Bhd. di Alor Setar, Kedah.

Model Baru

MODA Sporter S SKII Tampil Dengan Beberapa Ciri Pembaharuan

MODA Sporter S SKII dilancarkan dengan pelbagai ciri pembaharuan.

Kembara

TM Bikers Ride ke Sri Lanka 2026

Jelajah TM Bikers Sri Lanka Ride 2026 berjaya dilaksanakan dengan penyertaan ahli-ahli TM Bikers bersama rakan-rakan.