☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 23 November 2020

Suzuki Burgman 400 ABS Gen-3: Bagaikan Peluncur Jalanan

Dilahirkan pada tahun 1998 keluarga Burgman bermula dengan enjin bersesaran 125cc hingga ke 650cc yang ketika itu dihasilkan terutamanya untuk pasaran Amerika Utara. Pada tahun 2003, pasaran Kanada ditembusi dan berkembang menerusi generasi kedua dengan model 125, 400 dan 650.

Kini, generasi ketiga Burgman 400 ABS yang baru dilancarkan di Amerika Utara pada 2018 manakala di Malaysia, model ini diperkenalkan menjelang suku ketiga tahun lalu. Sememangnya kehadiran Burgman ini menyaingi model-model lain kategori Maxi-scooter dalam kelasnya. Berwajah baru, tegap dan menawan lagi mengiurkan. Rupabentuk aerodinamik dan sporty adalah ciri-ciri yang dipamerkan untuk model Suzuki ini.

Ketika mula-mula menunggangnya di Litar Go-Kart Sepang, Burgman dengan mudah menarik hati dengan kelincahannya meratah setiap selekoh tajam di litar tersebut. Sistem brek yang mantap membolehkan kami mengurangkan kelajuan dengan pantas dan tepat tanpa rasa risau atau bergoyang. Ruang kaki yang luas menawarkan posisi menunggang yang cukup mudah untuk kami mengawal setiap pergerakan skuter maksi ini. Walaupun sesi menunggang Burgman 400 ini hanya seketika, ia telah memberikan maklum balas yang cukup positif.

Terima kasih buat Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd di atas kesudian memberi peluang buat kami bersamanya semula. Untuk mengambil model ini, kami ke salah satu pengedar rasmi Suzuki iaitu Motosikal Mok yang terletak di No. 26, 28, Jalan 4A/27A Seksyen 2, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur.

Bila dapat melihat dan membeleknya dengan lebih dekat – ternyata kualiti pembinaan jentera ini cukup tinggi. Lampu hadapan dan belakang yang telah dikemaskini menggunakan LED tampak lebih anggun dan seksi. Kedudukan tunggangan amat natural dan bersesuaian tetapi ketinggian pelananya 755mm mungkin sedikit mengecewakan bagi mereka agak rendah (berketinggian 152 cm ke bawah). Walaupun begitu, ianya jarang dipertikaikan kerana keempukkan kusyen dan keselesaan semasa menunggang teramat baik.

Dengan berat keseluruhan sekitar 220kg, ia lebih ringan dari generasi sebelumnya. Dibantu oleh suntikan bahan api yang mula diperkenalkan pada 2003 bagi keluarga Burgman ini memberikan penjimatan dan kelancaran tunggangan di setiap masa. Enjin 4 lejang, sejukkan cecair, satu silinder, 4 injap yang bersesaran 399cc menghamburkan kuasa setinggi 30.5hp pada 6300rpm.

Secara ujian, kelajuan tertinggi 150km/j pada 8,700 rpm direkodkan tetapi kelajuan 120km/j adalah paling selesa untuk perjalanan jauh. Apa yang hendak dikhabarkan ialah, Burgman 400 ini langsung tidak bergoyang atau bergegar ketika kita

mengerahkan tenaganya ke tahap maksimum. Sewaktu memecut di lebuhraya dari Kuala Lumpur ke Melaka, kami dapat menikmati skuter maksi ini dengan selesa sekali – guna sebelah tangan pun boleh! Dengan kelajuan ini kita mampu mendapat penggunaan petrol sejauh 205km dengan muatan tangki 13.5 liter. Daya imbangan keseluruhan Burgman 400 ini adalah antara terbaik. Tanpa keraguan semasa membelok di simpang mahu pun di selekoh.

Tampanan angin hanya terasa sekiranya kita menjenguk kepala luar dari kawasan cermin pengadang angin yang agak tinggi. Bagi mereka yang bertinggian lebih daripada 5'8', mereka perlu menunduk sedikit jika ingin 'menyorok' di belakang cermin ini ketika memecut laju. Tidak lupa juga... kedudukan cermin sisinya yang sesuai (pada ketinggian bahu) memudahkan penglihatan di belakang dan ia cukup kukuh - tanpa sebarang getaran kuat.

Suis penalaan dan suis isyarat mudah dicapai. Panel meter bersepadu cukup ringkas. Tolok speedo, tako dan petrol mudah dibaca manakala punat selenggara juga mudah dicapai dan digunakan. Dengan adanya tuas brek parkir (lebih kurang macam handbrake kereta) kita tidak perlu risau motor ini akan bergerak sendiri sekiranya parkir di tempat yang berbukit.

Saiz rim hadapan ditukar daripada 14’ kepada 15’ dengan tayar 120/70-15 dan belakang 150/70-13. Dibantu suspensi hadapan teleskopik 41mm dan belakang bersambung mudah laras boleh mencapai kepuasan tunggangan. Ketika melepasi bonggol-bonggol walaupun anda gagal memperlahankannya tepat pada waktu, sistem saspensi ini amat cekap berfungsi.

Ya.... proses membrek ternyata sangat mengujakan dan ini disumbangkan oleh sepasang brek hadapan bersaiz 260mm dan cakera 210mm di belakang beserta sistem ABS yang sama sekali tidak menghampakan. Dengan penggunaan brek hadapan dan belakang serentak pada sekitar 70km/j Burgman 400 ini dapat dihentikan pantas tanpa keraguan hilang imbangan dan sebagainya.

Walaupun ia nampak besar dan sasa, Burgman mengagumkan kami kerana pengendaliannya di dalam kawasan bandar yang sesak cukup mudah. Burgman didatangkan dengan kerangka underbone yang berdiameter besar, tiub-tiub thin-wall yang ringan untuk pengendalian lebih sempurna di dalam semua keadaan. Ini dibuktikan dengan jelas apabila jentera ini dapat melepasi kawasan yang agak terhad tanpa perlu menggunakan tenaga yang banyak.

Kawal posisi menunggang dengan baik... nikmati Burgman ini bergerak cukup stabil dalam kelajuan rendah tanpa sebarang sentapan pada bahagian tali sawat mahupun enjin. Kelancaran Burgman di dalam kelajuan yang sangat rendah ini datangnya dari kesempurnaan sistem elektronik terkini iaitu Suzuki's Automatic Idle Speed Control (ISC) yang benar-benar berjaya mengawal keadaan putaran enjinnya dengan baik.

Bila kita sebut mengenai ruang penyimpanan, Burgman 400 ABS ini mempunyai ruang muatan barangan 42 liter di bawah pelana membolehkan kita meletakkan kelengkapan harian seperti topi keledar, baju hujan dan pelbagai lagi. Di samping itu, dua kotak penyimpanan terletak di hadapan turut membolehkan penunggang meletakkan sementara sarung tangan, telefon mudah alih ketika menunggang mahupun berhenti seketika.

Ia cantik, mewah, selesa, praktikal dan bergaya. Tunggangilah ke mana sahaja, kami amat pasti Burgman ini adalah teman setia anda yang sentiasa memberikan senyuman. Secara keseluruhan, Burgman 400 ini boleh diibaratkan seperti peluncur jalanan. Di negara luar Suzuki Burgman 400 ini jolok dipanggil “Skywave 400” dengan sifatnya. Terdapat dua warna menarik untuk skuter maksi ini iaitu Metallic Matt Black dan Pearl Glacier White yang masing-masing boleh dimiliki pada harga asas RM45,000 (tanpa GST). RR

Isu Pada

April 2018

Spesifikasi

Enjin:4 lejang, satu silinder, DOHC, sistem penyejuk cecair
Nisbah mampatan:10.6:1
Sistem bahan api:suntikan bahan api
Saspensi hadapan:fork teleskopik
Saspensi belakang:penyerap hentak berspring
Brek hadapan / Brek belakang: cakera 260mm / cakera 210mm
Tayar hadapan: 120/70-15MC 56S
Tayar belakang: 150/70-13MC 64S
Isi tangki:13.5 liter
Transmisi:CVT

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Wow...katanya para peminat dua roda tanahair bakal mempunyai satu lagi pilihan menarik apabila sebuah jenama motosikal dijangka akan hadir ke pasaran negara dengan mengenengahkan skuter berkonsepkan retro.

Model Baru

Kawasaki Versys 900 2027: Versatil & Berkuasa

Kawasaki melangkah ke era lebih menarik dengan memperkenalkan Versys 900 2027, sebuah motosikal sport-touring yang menggabungkan enjin 948cc, empat silinder sebaris yang berkuasa 120hp pada 9,500rpm dan tork 9.3Nm pada 8,000rpm.

Warta Roda

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Tiga orang jurutera teknikal diterbangkan khas dari ZXMOTO China ke Malaysia bagi menjalankan sesi latihan dan bimbingan berkaitan kaedah pemasangan model-model motosikal keluaran syarikat berkenaan.

Warta Roda

Honda Ride to Reach: 65 Buah Motosikal Honda Turun Padang

Sebanyak 65 buah motosikal Honda membanjiri kawasan Pantai kuala Muda, Pulau Pinang bagi menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).