Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 7 September 2020

Benelli TnT135 Memberi Keseronokan!

Ke mana sahaja ia dibawa... Di mana sahaja ia diletak... pasti ada mata yang menjelingnya. Itulah aura yang dimiliki oleh jentera kecil molek ataupun funbike keluaran Benelli, TnT135. Jujurnya.... jika dilihat dari jauh, rupabentuk Benelli ini mirip dengan jentera-jentera jalanan (streetbike) yang menawarkan rekabentuk luaran yang cukup memukau. Benar... pujian terhadap kecantikan rupabentuknya telah mula didengari sejak di majlis pelancarannya pada bulan Disember lepas.

Walaupun bersaiz genit, idea yang dibentangkan pada model baru Benelli ini tidak mengecewakan. Barisan lampu-lampu LED yang menghiasi bahagian hadapan sukar ditandingi lawan dan lebih mengagumkan apabila kita terpandang pada dua batang saspensi hadapannya jenis terbalik 41mm yang mantap dan merupakan penyumbang utama kepada kestabilan tinggi jentera ini. Kerangka jenis trellis yang menjadikan TnT ini tampak tegap dan sasa. Bahagian sisi kanan Benelli ini pula diserikan dengan adanya sistem ekzos jenis berlapis yang lazimnya digunakan pada model naked berkuasa tinggi.

“Antara kekuatan yang dimiliki oleh TnT135 bukan sahaja terletak pada rekabentuk luarannya tetapi pada enjinnya sendiri. Benelli TnT135 ini telah menerima status pensijilan penuh kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh JPJ dan pensijilan piawaian Euro 4. Model ini dilengkapkan dengan sistem sensor ekzos oksigen catalytic converter, dua palam pencucuh dan fork jenis terbalik,” kata Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan, Komunikasi dan Hubungan Luar Benelli Malaysia, En. Wan Najib Wan Daud.

Okay... TnT135 ini dihidupkan dengan menggunakan sistem elektrik dan dengan sistem nyalaan jenis digital, ia mudah sekali untuk berderum. Walaupun nampak kecil, posisi bar hendal yang sepadan dengan ketinggian pelananya memberi keselesaan. Kita dapat memegang bar hendal dengan kemas. Pastinya mata kita terus memandang pada panel meternya yang ringkas tetapi mudah dilihat. Jarum analog menunjukkan tahap putaran rpm manakala paparan digital memberi info-info lain seperti tahap bahan api, tahap kelajuan, masa, jarak perjalanan dan... rupa-rupanya ia tidak dilengkapi dengan penunjuk posisi gear walaupun ruangnya sudah tersedia.

Deruman yang sederhana kuat kedengaran sebaik sahaja enjin 134.7cc, satu silinder, empat lejang, SOHC dihidupkan. Pulas sahaja pendikit lebih galak, kita akan mendengar ekzosnya mulai garang. Sistem saspensi belakangnya cukup mantap – tidak langsung memberi sebarang rasa kurang selesa walaupun ditunggangi oleh penunggang yang berbadan besar. Satu demi satu gear digunakan dan dengan klac yang lembut tetapi agak pendek. Kalau tidak biasa, enjin mudah mati dan masalah ini dapat kita atasi dengan mudah sekali kerana ianya boleh ditala tetapi lebih baik dilakukan oleh mekanik Benelli yang terlatih.

Makin lama makin laju sehinggalah mencecah kelajuan 115km/j sebelum enjinnya tersentap-sentap. Apa yang menyeronokkan ialah Benelli ini memang mudah untuk dikawal walaupun dalam kelajuan yang tinggi. Kuasa maksimumnya yang setinggi 13hp pada 9,000rpm memudahkan kita memintas kenderaan lain di jalan raya. Turun satu gear, pulas pendikit dan rasakan Benelli yang seberat 121kg ini bergerak dengan lancar sekali. Harus diingat, sebuah funbike direka bukanlah untuk memecut laju tetapi ia menawarkan keseronokan menunggang. Jadi... tak perlulah kita memecut ke sana ke mari.

Fun... Memang bertambah seronok apabila berpeluang bermain Benelli ini di dalam bandar. Dengan kelegaan bumi 160mm dan tayar-tayar gemuk Metzeler ME 7 Teen (120/70-ZR12 depan dan 130/70-ZR17 di belakang) memudahkan kita menerokai hampir ke mana sahaja. Perjalanan kita tidak mudah terganggu walaupun terpaksa memanjat permukaan jalan yang agak tinggi. Posisikan Benelli ini betul-betul, tarik pendikit dan selesai. Inilah kelincahan yang ingin dikongsikan Benelli bersama para pencinta motosikal di Malaysia.

Tayar-tayar Metzeler ini juga memberikan cengkaman yang cukup baik tidak kira di waktu panas terik mahu pun di kala hujan. 'Gigitan' yang kemas membolehkan kita membaringkan TnT ini ke kiri dan ke kanan dengan mudah dan meyakinkan walaupun ia bukanlah mesin berkuasa tinggi. Bila tayar sudah bagus... kita tetap boleh layan. Merasakan akan kebolehannya, kami amat yakin TnT ini cukup sesuai untuk penunggang wanita tambahan pula sekarang ini sudah semakin ramai kaum hawa yang mahir mengendalikan motosikal dengan sistem klac manual. Kami pasti anda (penunggang wanita) sukakan Benelli ini.

Selepas berseronok di tengah kota, kami cuba pula untuk menunggang berdua. Saiz pelananya agak terhad buat penunggang dan pembonceng yang berbadan agak besar manakala posisi tempat pemijak di belakang agak memenatkan. Mungkin ia tidak terasa untuk 10 kilometer pertama tetapi keselesaan kian hilang bila jarak makin jauh dan masa perjalanan makin lama. Walaupun begitu, kuasa daripada enjinnya yang galak membolehkan kita terus memecut tanpa masalah cuma bila mencecah 115km/j, enjin menyentap sekali lagi. Ada cut-off rasanya!

Bila tayar sudah sedap... casis sudah mantap... jalan berselekoh tetap menjadi pilihan. Untuk membrek keras lebih baik, Benelli ini dilengkapi dengan brek hadapan jenis cakera bersaiz 220mm dan belakang 190mm. Walaupun funbike keluaran Benelli ini sedap untuk dibawa ke tempat seperti ini tetapi ketiadaan penunjuk gear agak mengecewakan. Benar, kita bukan menunggang mesin 600cc dan ke atas tetapi kedudukan/posisi gear yang sesuai amat penting untuk beberapa tujuan contohnya ketika ingin masuk/keluar selekoh, membuat pintasan dan ketika mula mendapatkan momentum untuk membuat pendakian.

Rule The Night... itulah yang ditekankan oleh Benelli pada model ini dan sememangnya ia merupakan antara kekuatan utama TnT135 ini. Slogan promo ini bertujuan untuk menunjukkan kemantapan lampu-lampu jentera ini di waktu malam dan terbukti memang cukup bertepatan sekali. Lampu jenis LED ini berwarna putih bersih yang bukan sahaja menawarkan suluhan yang cukup cerah buat penunggang tetapi juga membantu pergerakan kita mudah dilihat oleh kenderaan dari hadapan dan belakang.

Mesin kompak ini dilengkapi dengan tangki bahan api sebesar 7.2 liter yang telah membawa kami beriadah dan berseronok kira-kira 140 kilometer. Harus juga sentiasa diingat, nilai penggunaan petrol bergantung kepada beberapa faktor seperti saiz penunggang, cara dan gaya tunggangan, keadaan muka bumi dan suhu alam sekitar. Jika salah satu daripadanya berubah maka keseluruhan penilaian tahap penggunaan bahan api juga akan berubah.

“Sebanyak 260 unit Benelli TnT135 telah memasuki pasaran negara pada tahun 2016 dan dijangkakan jumlahnya terus meningkat pada tahun ini,” kata En. Wan lagi.

Sememangnya Benelli memasuki segmen yang semakin popular ini tepat pada masanya. Dengan rekabentuk moden dan kemantapan casis serta enjinnya, TnT ini ternyata sebuah jentera yang menyeronokkan dan berharap dapat mempertingkatkan lagi ciri-ciri menarik yang terdapat pada model ini di masa akan datang. RR

Isu Pada

Februari 2017

Spesifikasi

Enjinempat lejang, SOHC, sistem penyejuk minyak
Isipadu134.7cc
Kuasa maksimum13hp pada 9,000rpm
Kotak gear5 kelajuan
Sistem bahan api:pancitan bahan api elektronik
Kelegaan tanah160mm
Berat kering121kg
Isi tangki7.2 liter

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Helmi Juara CP150 di Terengganu

Tahniah buat pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING iaitu Md Helmi Azman menjuarai siangan CP150 Pusingan 5.

Model Baru

Yamaha YZF-R2 Diperkenalkan Untuk Pasaran India

Yamaha Motor India secara rasmi melancarkan YZF-R2 sebagai model baharu dalam keluarga R-Series.

Model Baru

Cyclone RT5 Tampil Dengan Ciri Premium - Bermula RM16,888

Cyclone RT5 kini rasmi masuk pasaran tempatan menerusi majlis perasmian Mforce Smartshop KW Keat Wei Motor Sdn. Bhd. di Alor Setar, Kedah.

Model Baru

Yamaha Y16ZR-R Masuk Pasaran Negara - RM10,888