☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 30 Jun 2017

Honda Wave Dash Fi Segar & Lebih Lancar

Boon Siew Honda (BSH) melangkah ke tahun 2017 begitu agresif sekali dengan memperkenalkan model-model baru serta model-model yang diberi nafas baru demi memberikan pilihan buat para penunggang motosikal di seluruh negara. Antara model-model yang telah diperkenalkan ke dalam pasaran untuk tahun ini ialah CB650/CBR650, Dash Fi Edisi Terhad, Wave Alpha MMC, Wave Dash Fi 2017 dan Wave 125i.

Masih jelas diingatan kami ketika Wave Dash Fi ini diperkenalkan dulu iaitu bersama-sama peragaan fesyen dan tujuannya ialah untuk memberitahu para pencinta motosikal bahawa Dash baru ini menawarkan rekabentuk yang terkini, trendy dan menarik demi memenuhi keperluan penunggang muda. Ok... sememangnya dari dekat kita dapat melihat dengan jelas rekacorak grafik barunya yang ranggi. Bahagian hadapan diserikan dengan lampu penunjuk kecil dan lampu-lampu isyarat yang direka berbentuk tajam sesuai dengan citarasa terkini.

Model yang diuji ini berwarna hitam dengan kemasan warna kelabu dan kuning – satu kombinasi yang cukup bijak! Terima kasih BSH kerana telah melengkapkan model ini dengan brek jenis cakera di depan dan belakang. Sistem brek sebegini wajar dilengkapkan pada semua jentera moped untuk mempertingkatkan keupayaan untuk memperlahankan kelajuan dengan pantas dan tepat.

Kami sukakan bar hendalnya yang lebar, sedap dipegang dan memberikan keyakinan cuma pelana dirasakan agak keras sedikit. Panel meternya memang cukup jelas dilihat, lebih-lebih lagi di waktu malam. Memang terang sekali! Sekali tengok dah tahu apa info yang dimuatkan dalam panel meter ini seperti meter analog bulat yang menunjukkan tahap kelajuan, tahap bahan api, lampu penunjuk suntikan bahan api, lampu posisi gear, lampu tinggi, lampu isyarat dan jarak perjalanan. Untuk terus mendapat kepercayaan pengguna yang kini lebih bijak, kunci utama Dash Fi ini telah dilengkapi dengan penutup keselamatan.

Dash Fi ini boleh dihidupkan dalam dua cara iaitu elektrik dan tendang. Seperti biasa, enjin jentera Honda baru memang cukup sedap didengar. Walaupun pendikit dipulas, deruman yang segar dan senyap memang mengasyikkan. Wave Dash Fi menawarkan enjin 110cc yang mempunyai kuasa maksimum setinggi 6.40kW pada 7,500 dan tork 8.66Nm pada 6,000rpm yang jelas terasa ketika kita memulas pendikit.

Kami cukup kagum dengan kelembutan pendikit dan tindak balasnya yang tepat dengan putaran enjin. Pulas sedikit sahaja sudah cukup untuk menggerakkan Honda ini. Dalam gear pertama, Honda ini boleh dikerah untuk memecut sehingga 35km/j sebelum enjinnya mengerang meminta kita menambah gear. Walaupun dalam posisi gear ketiga, kelajuan dapat diturunkan sehingga 20km/j dan enjin suntikan bahan api PGM-FI menghamburkan kuasa yang lancar sebaik sahaja kita memulas pendikit.

Memang seronok menunggang jentera seperti ini, tahu-tahu sahaja kita dan mencecah 90km/j. Dash ini juga antara model yang mempunyai cermin sisi cukup besar. Walaupun bagi penunggang berbadan besar, pandangan kita tidak akan terhalang dek tubuh sendiri. Cermin sisinya amat memudahkan penunggang melihat kehadiran kenderaan dari belakang. Ini adalah satu rekaan yang sangat penting untuk para penunggang memastikan keadaan trafik di belakang selamat sebelum memasuki atau menukar lorong. Telah ada banyak kes motosikal dilanggar dari belakang akibat kecuaian penunggang itu sendiri.

Dengan memiliki set lampu hadapan dan belakang yang jelas dan terang, kita dapat menunggang dengan tenang sekali kerana yakin pengguna jalanraya yang lain mudah melihat kehadiran kita. Seperti mana-mana jentera moped lain, Dash Fi ini juga pastinya menjadi pilihan warga kota yang ingin menunggangnya dari rumah ke tempat kerja. Benar... Dash Fi ini adalah salah satu pilihannya!

Dengan ketepatan hantaran kuasa, kita mudah memintas kenderaan dengan selesa untuk menuju ke hadapan. Posisi menunggangnya direka untuk semua jenis penunggang dan walaupun di antara kami ada yang setinggi 5’10”, kita tidak ada terasa kebas atau sakit di bahagian pinggang walaupun setelah menunggang lebih daripada sejam.

Dash didatangkan dengan saspensi hadapan teleksopik dan lengan ayun berspring untuk bahagian belakang yang berjaya menyerap segala hentakan dengan kemas cuma mungkin boleh dicadangkan agar siri Dash selepas ini dilengkapi dengan saspensi jenis mono – barulah mantap, harga tinggi sikit tak mengapa!

Bestnya... membelok dengan Dash Fi ini juga mudah kerana jarak di antara bar hendal dan tempat duduk cukup luas dan selesa. Kerangka tulang belakang yang bertegaran tinggi juga membantu penunggang dapat membaringkan jentera ini dengan mudah dan lincah. Walaupun ia sebuah mesin kecil, ia tetap memberi keseronokan sewaktu berada di jalanan selekoh kerana tayar hadapan bersaiz 70/90-17 M/C 38P dan belakang 80/90-17 M/C 50P mengigit permukaan jalan dengan baik. Langsung tidak terasa ianya akan membuang.

Dari lebuhraya, jalan berliku dan jalan bandaran, semuanya Dash 'sapu' dengan mudah sekali. Tangki sebesar 4.0 liter ini mampu membawa kita lebih daripada 130 kilometer perjalanan. Kemantapan casisnya dan keberkesanan sistem breknya memberi keyakinan buat para penunggang yang ingin menunggang di dalam atau di luar negara.

Nah! Wave Dash Fi ini memang menepati citarasa pengguna tidak kira di mana sahaja. Mesin ini sesuai untuk wanita dan lelaki dan juga semestinya untuk para remaja. Wave ini didatangkan dalam tiga varian iaitu S-Type dengan satu brek cakera (RM5,860.74 termasuk GST), R-Type dengan dua brek cakera (RM6,178.74 termasuk GST) dan Edisi Repsol dengan dua brek cakera (RM6,337.74 termasuk GST). Model baru ini didatangkan dengan waranti kilang selama dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu). RR

Isu Pada

Jun 2017

Spesifikasi

Enjinempat lejang, OHC, sistem penyejuk udara
Isi padu109.17cc
Gerek x Lejang50.0 x 55.6mm
Kuasa maksimum6.40kW pada 7,500rpm
Trok maksimum8.66Nm pada 6,000rpm
Sistem bahan apisuntikan bahan api terancang (PGM-FI)
Transmisi4 kelajuan
Penghidupelektrik & tendang
Isi tangki4 liter
Berat kering102kg (Dash S) , 104kg (Dash R)

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Wow...katanya para peminat dua roda tanahair bakal mempunyai satu lagi pilihan menarik apabila sebuah jenama motosikal dijangka akan hadir ke pasaran negara dengan mengenengahkan skuter berkonsepkan retro.

Model Baru

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor.

Warta Roda

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Tiga orang jurutera teknikal diterbangkan khas dari ZXMOTO China ke Malaysia bagi menjalankan sesi latihan dan bimbingan berkaitan kaedah pemasangan model-model motosikal keluaran syarikat berkenaan.

Model Baru

Jenama Sepanyol, BULTACO Kembali

Legenda motosikal Sepanyol, Bultaco, kembali menjadi perhatian dunia dua roda selepas muncul semula dengan pengenalan kepada model baharu di Pameran Antarabangsa dan Perdagangan China (CIMA) menerusi Rally GT 300.