Isu Terkini

Disember 2023

Pandu Uji / 16 September 2020

Honda RS150R V2 Kini Lebih Hebat & Mantap

Segmen moped 150cc semakin lama semakin mendapat perhatian dari kalangan pencinta dua roda di seluruh Malaysia. Pelbagai jenama motosikal bersaing untuk menghasilkan sebuah jentera yang hebat. Terdapat ciri-ciri menarik dan canggih untuk menjadikan model super moped ini digilai ramai. Boon Siew Honda (BSH) sentiasa bersedia memberikan produk-produk terbaik untuk dinikmati oleh para pengguna. Maka lahirlah sebuah jentera yang diberi nama sebagai Honda RS150R. Selain di Malaysia, RS150R turut dikenali sebagai Winner X dan Supra GTR di negara-negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia.

Model ini telah dilancarkan oleh BSH pada tahun 2016. RS150R mempunyai daya tarikan tersendiri dengan rekabentuk lebih sporty, lampu utama LED, bentuk belakang yang tampak lebih agresif dan kecekapan kuasa hantaran. Untuk memperkukuhkan lagi jenamanya, BSH telah memperkenalkan model terbaru Honda RS150R V2 yang dinaik taraf dengan ciri-ciri lebih menarik pada awal tahun 2020 lalu.

Kunci utamanya dilengkapi dengan penutup membantu melindungi model-model super moped terkini yang sering kali berlakunya kes kehilangan motosikal. Sebaik sahaja kunci diputar, paparan meter akan beroperasi. Apabila penunjuk rpm pada aras ‘0,’ lampu suhu dan enjin terpadam barulah enjin dihidupkan dengan menggunakan penghidup elektrik. Model ini tidak memiliki penghidup jenis tendang. Enjin amat mudah dihidupkan tidak kira suhu sejuk pada waktu pagi mahu pun panas tengah hari.

Enjin RS150R ini berputar dengan lancar sekali sewaktu ia dihidupkan. Sistem ekzos menawarkan bunyi yang amat sedap didengar. Pendikit mula dipulas dengan lebih galak lagi. Ternyata deruman enjinnya semakin garang apabila kedudukan tahap rpm hampir mencecah merah (9,500rpm).

Gerek bersaiz 57.3mm dan 57.8mm untuk lejangnya menawarkan kuasa tork cukup mantap. Tindak balas di antara pendikit dengan putaran enjin cukup tepat. Pulas sahaja pendikit dalam apa jua keadaan, RS150R ini dapat memecut pantas ke hadapan. Model ini hadir dengan enjin empat lejang, silinder tunggal, DOHC, sistem penyejuk cecair yang berkuasa 11.5kW pada 9,000rpm dan tork 13.6Nm pada 6,500rpm berjaya menggerakkan mesin seberat 120kg (dengan minyak dan tangki penuh).

Kelebihan enjin ini dilengkapi dengan sistem bahan api dari Honda iaitu PGM-FI (Programmed Fuel Injection). Dengan adanya teknologi ini, sistem tersebut dapat mengawal penghantaran jumlah bahan api ke bahagian kebuk udara dengan tepat dan lancar. Ia juga menjanjikan penggunaan petrol yang menjimatkan.

Enjin 149.2cc dan transmisi enam kelajuan memberikan kuasa pecutan memuaskan. Ia menawarkan hembusan kuasa yang senyap. Mesin ini mampu memintas kenderaan berat ataupun ketika mendaki laluan berbukit kerana memiliki kuasa tork yang hebat bagi sebuah moped empat lejang. Sistem transmisi model ini juga lancar. Kami dapat menukar gear dengan mudah tanpa sangkut-sangkut. Ditambah pula klacnya yang lembut.

Kuasa hantaran di setiap gear sangat menyeronokkan. Dalam gear pertama, ia boleh ditarik sehingga ke tahap 45km/j. Kami menambah kedudukan gear kedua (65km/j), gear ketiga (85km/j), gear keempat (107km/j) seterusnya hinggalah ke gear enam dan mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 145 km/j.

Dengan adanya kerangka jenis tiub berkembar, model ini cukup stabil ketika melibas ke kiri dan kanan serta semasa mengubah posisi kedudukan apabila berada di laluan berselekoh ataupun memintas kenderaan yang lebih besar. Kami juga mendapati RS150R ini tidak terasa bergoyang apabila memiringkannya dalam keadaan laju.

RS150R mempunyai tubuh badan yang ramping dan tirus untuk memudahkan penunggang bergerak dengan lancar di dalam kesesakan. Kami dapat memasuki di ruang-ruang yang kecil dengan mudah dan selamat tanpa bergesel dengan kenderaan lain.

Pelana setinggi 786mm mudah untuk dipanjat bagi lelaki mahupun wanita. Cuma sedikit mengecewakan kerana pelananya yang keras ketika membuat perjalanan jauh.

Honda melengkapkan jenteranya dengan sportrim lebar warna emas bersaiz 17 M/C x MT 1.85 (depan) dan 17 M/C x MT 3.00 (belakang) untuk memberikan penampilan yang lebih bergaya. Manakala untuk edisi Repsol, sportrimnya berwarna oren. Tidak sempurna jika RS150R tidak diuji di laluan berselekoh. Mesin ini ternyata lincah dan stabil meratah selekoh-selekoh dengan kemas. Ini kerana jentera tersebut hadir dengan tayar-tayar gemuk untuk memberikan pengendalian yang mantap. RS memiliki tayar hadapan bersaiz 90/80 – 17 M/C 46P dan 120/70 – 17 M/C 58P di bahagian belakang.

RS150R dilengkapi dengan sistem saspensi hadapan jenis teleskopik yang cukup memuaskan. Walaupun membrek dengan keras, proses hentakannya berfungsi dengan sempurna sekali. Saspensi belakang jenis lengan ayun monoshock juga memberikan keselesaan buat penunggang tidak kira di mana sahaja. Setiap selekoh kami dapat memasukinya dengan selamat dan tidak seperti membuang.

Tunggangan lebih meyakinkan dengan sistem brek cakera hidraulik hadapan dan belakang yang amat efisien. Ia memberikan kuasa membrek cukup seimbang dan sesuai dengan tenaga enjinnya. Kami dapat memperlahankan kelajuan jentera ini dengan mudah dan selamat. Walau bagaimanapun sebagai penunggang juga perlu berhati-hati ketika membrek. Jangan terlalu terburu-buru ataupun membrek secara mengejut kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Terutama bila berada di permukaan basah. Tidak kira menunggang kenderaan apa sekalipun, apabila keadaan jalan dan cuaca tidak mengizinkan perlahankanlah kenderaan dan sentiasa berwaspada.

Prestasi jentera Honda ini pada waktu malam tidak mengecewakan kerana lampu utamanya adalah jenis LED yang besar. Ia mampu berikan suluhan yang terang agar penunggang dapat melihat dengan jelas keadaan yang ada di depan. Selaras dengan konsep terkini, rekabentuk bahagian belakang model ini telah direka semula agar menampilkan lampu brek lebih runcing untuk penampilan yang agresif. Rekaan lampu isyarat pula tirus dan tahan berbanding model lama (besar) yang jelas untuk dilihat oleh pengguna jalanraya yang lain.

Selain daripada rekaan yang menonjol, Honda telah memperkemaskan panel meter terbarunya jenis LCD digital untuk paparan berteknologi tinggi. Fungsi terbaru itu memudahkan para pengguna melihat segala informasi dengan jelas yang menunjukkan putaran rpm, tahap kelajuan, penunjuk kadar petrol, penunjuk gear dan odometer dengan berlatar belakangkan warna oren. Di bahagian atas meter terdapat beberapa lampu kecil seperti lampu isyarat, suhu, lampu tinggi dan lampu enjin.

Dengan isian penuh tangki sebesar 4.5 liter, Honda RS150R mampu dibawa sekitar 150 kilometer dengan pelbagai jenis gaya tunggangan dan kelajuan. Mesin ini sememangnya sebuah jentera yang amat sesuai digunakan baik di bandar mahupun desa. Ia merupakan sebuah model tahan lasak, mudah ditunggang dan menjimatkkan. Model ini juga amat sesuai buat semua golongan tidak kira muda atau berumur.

RS150R didatangkan dalam dua varian yang berharga RM8,199 untuk variasi standard dengan tiga pilihan warna iaitu Trico, Biru dan Hitam. Manakala untuk edisi Repsol dijual pada harga RM8,499. Setiap pembelian diberi jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). Mari ke bilik pameran Honda Impian X atau para pengedar jentera Honda yang sah berdekatan dengan anda untuk melihat dengan lebih dekat lagi. Ayuh tunggu apa lagi! RR

Isu Pada

Jun 2020

Spesifikasi

Enjinempat lejang, DOHC, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair
Ispadu149.2cc
Kuasa maksimum11.5kW pada 9,000rpm
Tork maksimum13.6Nm pada 6,500rpm
Transmisi6 kelajuan
P x L x T2,025 x 725 x 1,105mm
Tinggi pelana786mm
Berat120kg (dengan minyak & tangki penuh)
Isi tangki4.5 liter
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Danial Syahmi dan Hakim Danish Sedia Memberi Cabaran!

  • Warta Roda

    Empat Produk Honda Menang Anugerah 'THE RED DOT DESIGN AWARD'

  • Dari Litar

    Lagenda MotoGP, Dani Pedrosa Bakal Beraksi Di GP Sepanyol!

  • Dari Litar

    KTM RC8 2024 - Edisi 'Perlumbaan' Terhad Diperkenalkan. Hanya 100 unit dipasarkan

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Sambung Kontrak, Lin Jarvis Pula Bakal Tinggalkan Yamaha

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Motosikal Bertembung Kenderaan Polis, Penunggang Remaja Maut

Seorang remaja meninggal dunia selepas 'bertarung nyawa' di Hospital Melaka (HM) akibat parah selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan polis di Jalan Gangsa Kesang, Durian Tunggal.

Warta Roda

Boon Siew Honda Anjur Kempen "KENANGAN AIDILFITRI BERSAMA HONDA"

Baru-baru ini Boon Siew Honda Sdn Bhd telah menganjurkan kempen "AIDILFITRI BERSAMA HONDA".

Dari Litar

Pemilik F1 Sah Beli MotoGP Pada Nilai Euro 4.2 billion

Selepas berbulan-bulan mendengar khabar angin, akhirnya kini sudah rasminya mengumumkan Liberty Media iaitu pemilik Formula 1 telah membeli dan memperoleh MotoGP.

Warta Roda

Acara 'We Ride As One' Kembali!

“We Ride As One”, acara global Ducati akan dianjurkan pada hari Sabtu 4 Mei nanti. Penganjuran acara yang cukup istimewa ini memberi peluang komuniti pemilik Ducati atau Ducatista di setiap bandar berpeluang bertemu, berkumpul dan meraikan mereka semangat untuk Ducati.