☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Mei 2015

HONDA PCX 150 : Sesuai Ke Mana Sahaja!

Ke arah Ipoh! Itulah cadangan paling awal diterima selepas mendapat peluang menguji Honda PCX150 terbaru dan terima kasih kepada pihak Boon Siew Honda atas kesudian memberi peluang menguji jentera yang semakin popular ini. Selepas destinasi dipilih, segala persiapan dibuat dan sememangnya ruang barang bawah pelananya yang bersaiz 25 liter cukup luas untuk diisi pelbagai jenis barangan.

Sejak dilancarkan pada tahun 2012, PCX berjaya menarik perhatian ramai pencinta dunia skuter, bukan hanya kerana bentuknya yang unik tetapi juga segala teknologi yang dipadatkan di dalamnya. Model terbaru pastinya model yang dipertingkatkan dan kita mulai dengan rupabentuknya. Nampak macam sama tetapi ia jelas berbeza. Lampu utama PCX baru ini lebih elegan dengan kemasan LED yang selalunya dapat kita lihat pada kereta-kereta mewah. Selain rekabentuk lebih anggun, lampu-lampu LED ini mengurangkan bebanan elektrikal pada alternator.

Boleh kami katakan, PCX memperagakan lampu utama antara yang paling terang untuk sebuah skuter berkuasa sederhana. Tidak perlu diperdebatkan lagi, rekabentuk PCX memang cukup cantik – akan membuatkan sesiapa pun menyukainya walaupun untuk pandangan kali pertama. Selain tampil dengan elegan, kita masih dapat melihat betapa sportynya model ini.

Cuba anda lihat gabungan rekaan fairing sisi, bahagian belakang dan papan pemijaknya yang cukup kemas dan bergaya. Pelananya ditawarkan dalam dua ketinggian berbeza dan lekukan pelana ini memberikan keselesaan tidak kira anda siapa, penunggang tinggi atau rendah. Sudut caster PCX ini 27 darjah bukan sahaja memberi keselesaan untuk perjalanan jauh tetapi juga menjadikan pengendaliannya lebih tepat.

Panel meter PCX disusun dengan kemas sekali, satu meter bulat besar penunjuk kelajuan berserta meter digital yang memaparkan masa, tahap bahan api dan jarak perjalanan. Keunikan PCX tentulah pada sistem Idling Stopnya. Fungsi sistem ini ialah untuk penjimatan bahan api. Dengan adanya sistem ini, enjin akan berhenti secara automatik selepas tiga saat ketika melahu. Untuk menghidupkannya hanya dengan memulas pendikit dan sistem ini hanya akan beroperasi apabila suhu enjin lebih daripada 60 darjah celsius.

Tenaga enjin bersesaran 149cc ini memecut dari keadaan melahu memang dipuji manakala sistem Programmed Fuel Injection (PGM-FI) membantu menjadikan pecutan lancar dan pantas. Putar sahaja pendikit anda dan rasalah kehebatan enjinnya berkuasa 9.34Kw pada 8,500rpm dan tork 13Nm pada 5,500rpm menggerak sebuah jentera seberat 131 kg ini dengan cukup lancar. Soal gegaran ketika memecut sememangnya tidak berlaku pada jentera Honda ini. Ia terus tegap membelah angin.

Enjin eSP (Enhanced Smart Power) PCX ini dibuat dengan teknologi tinggi agar dapat mengurangkan geseran untuk tahan lebih lama dan senyap. Karaktor enjin yang senyap, bagaikan tidak berbunyi ini sememangnya menjadi 'trademark' jentera-jentera Honda tidak kira bersesaran kecil atau besar malah CBR1000RR sekali pun tidak terkecuali. Inilah antara penyebab utama motosikal Honda sentiasa mendapat kepercayaan para penunggang motosikal dari dulu dan kini.

Apa yang paling mengecewakan ialah kelajuannya yang terhenti pada kelajuan 110 km/j walaupun ketika menuruni bukit, tidak seperti model lama yang mampu berlari pantas selaju 120km/j dengan lancar sekali. Walau begitu, kelancaran sistem talisawat v-matic terutama sekali dalam kelajuan sekitar 90-100kmj, memang cukup hebat dan pastinya disukai oleh para pemiliknya nanti.

Walaupun saiznya kecil, cermin pengadang angin PCX ini tetap memberikan laluan angin yang sempurna, bahagian hadapan badan dan kepala tidak tertolak dengan kuat tetapi mungkin juga disebabkan PCX ini tidak selaju seperti model lama. Ruang hadapan kaki yang luas turut membantu menjadikan tunggangan lebih selesa dan ini tidak ditujukan kepada penunggang biasa, yang tinggi-tinggi pun turut dapat menikmati ruang ini.

Bagi mereka yang menggunakan PCX di kawasan bandar, anda memang bertuah kerana ia adalah pilihan yang cukup bijak. Sudahlah beg tangan, baju hujan atau komputer riba dapat disimpan di bawah pelana, telefon bersel kita juga boleh dicaskan sewaktu dalam perjalanan pergi atau pulang. Ruangan ini terletak di sebelah kiri bar hendal – bijak! Keprihatinan pihak Honda dalam keselamatan pemilik jenteranya memang baik, model baru ini dilengkapi dengan lampu kecemasan (hazard) yang cukup-cukup penting apabila berlakunya kecemasan!

Meletakkan PCX di dalam kawasan yang padat dengan motosikal lain juga tidak memberikan masalah buat pemiliknya. Mengapa? Model ini dilengkapi dengan sistem respon jarak jauh yang mengesan motosikal dengan cepat. Tekan sahaja suis yang berada di kunci utama, bunyi 'beep' akan kedengaran berserta lampu yang berkelip – 'memberitahu' di mana ia berada. Ia juga dilengkapi dengan sistem penggera anti kecurian untuk menghalang penggunaan yang tidak diizinkan.

Prestasi PCX di selekoh? Jika model terdahulu sudah cukup 'layan', model baru tentulah lebih menyeronokkan. Tapak rodanya yang pendek (1,315mm) dan geometri pengemudian yang optima menawarkan pengendalian yang kemas dan lincah. PCX sangat mudah menukar posisi ke kiri dan kanan dengan meyakinkan tanpa rasa was-was. Kebolehannya membelok di kawasan yang terhad dalam kelajuan yang agak tinggi memang mengejutkan....tak sangka betul, betapa stabilnya ia.

PCX dilengkapi dengan brek hadapan jenis cakera hidraulik dan brek jenis gelendong yang memberikan tindak balas cukup efisyen dalam semua keadaan. Seperti model sebelum ini, PCX didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 90/90-14MC (46P) hadapan dan 100/90-14MC (57P) yang berkeupayaan mencengkam permukaan jalan dengan baik sekali.

Dengan isian penuh tangki 8 liter, kami dapat mengharungi berbagai jenis perjalanan dan bentuk muka bumi sejauh 180 kilometer. Memang cukup jimat.... Harga asas untuk PCX150 baru ini ialah RM11,128.94 (termasuk GST) dengan dua pilihan warna iaitu merah candy dan putih pearl. RR

Isu Pada

Mei 2015

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair
Isipadu149cc
Gerek x lejang57.3mm x 57.9mm
Nisbah mampatan16.6:1
Kuasa maksimum9.34kW pada 8,500rpm
Tork maksimum 13Nm pada 5,500rpm
Tinggi pelana761mm
Isi tangki8 liter
Berat131kg
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Kawasaki Versys 900 2027: Versatil & Berkuasa

Kawasaki melangkah ke era lebih menarik dengan memperkenalkan Versys 900 2027, sebuah motosikal sport-touring yang menggabungkan enjin 948cc, empat silinder sebaris yang berkuasa 120hp pada 9,500rpm dan tork 9.3Nm pada 8,000rpm.

Model Baru

LETBE PUNK 500: Bobber Gaya 'Jahat' Mungkin Masuk Malaysia Tahun Depan!!

LETBE PUNK 500 ialah motosikal kategori cruiser/bobber dengan enjin dua silinder 500cc.

Model Baru

Jenama Sepanyol, BULTACO Kembali

Legenda motosikal Sepanyol, Bultaco, kembali menjadi perhatian dunia dua roda selepas muncul semula dengan pengenalan kepada model baharu di Pameran Antarabangsa dan Perdagangan China (CIMA) menerusi Rally GT 300.

Warta Roda

Honda Ride to Reach: 65 Buah Motosikal Honda Turun Padang

Sebanyak 65 buah motosikal Honda membanjiri kawasan Pantai kuala Muda, Pulau Pinang bagi menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).