Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 3 April 2024

Scrambler Ducati Full Throttle - Buatkan Perjalanan Lebih Seronok

Scrambler Ducati atau Ducati Scrambler? Dulu memang pening juga nak fikir mana satu yang betul. Tapi bila rujuk dengan laman rasmi Ducati, baca sejarahnya... maka kami lebih cenderung pada Scrambler Ducati seperti tajuk utama di atas tu!

Generasi baru model Scrambler dari Ducati diperkenalkan tahun lalu dengan tiga varian iaitu Icon, Nightshift dan Full Throttle yang cukup menggiurkan. Kami berpeluang untuk merasai dan menikmati varian Full Throttle yang jujurnya antara motosikal paling seronok ditunggang.

Full Throttle didatangkan dalam warna merah/hitam atau lebih spesifiknya Rosso GP'19 adalah bersempena dengan jentera lumba GP19 kemudian digabungkan dengan warna Dark Stealth. Tertera juga nombor '62' sebagai ingatan tahun pertama pengenalan model ini di peringkat global iaitu pada 1962.

Scrambler Ducati ketika itu ditawarkan dalam dua kapasiti iaitu 250cc dan 350cc. Tidak dinafikan, ia adalah antara motosikal paling ikonik pernah dihasilkan pada era itu. Pada tahun 1970, Ducati melancarkan lagi siri model Scrambler kali ini dengan enjin dan kerangka baru yang lebih mantap. Daripada hanya dua versi, model-model keluaran 1970 terdiri daripada 125cc, 250cc, 350cc and 450cc.

Pada tahun 2014, Ducati menggunakan 'pentas' global, EICMA untuk mengembalikan nostalgia dengan memperkenalkan barisan Scrambler baru. Ia amat sesuai dengan peminat motosikal yang mahu kelihatan cool, muda dan bergaya. Kembalinya Scrambler ini merupakan idea yang cukup bagus khususnya buat para peminat Ducati tetapi yang lebih santai, lebih relaks dan tidaklah begitu teruja dengan prestasi enjin semata-mata.

Model 'baru' 2015 ketika itu hadir dengan enjin 803cc diikuti 399cc untuk varian bernama Sixty2. Pada tahun 2017, Ducati melancarkan pula dua lagi model iaitu Scrambler Desert Sled dan Cafe Racer yang ketika itu masih menggunakan enjin 803cc. 'Sapa-sapa' pergi acara Art of Speed 2017 mesti ingat majlis pelancarannya.

Scrambler 1100 PRO & Sport PRO merupakan versi enjin paling besar pernah dilancarkan. Ia bersesaran 1,079cc, Euro 5 yang berkuasa 86hp dan tork 88Nm. Model ini juga hadir dengan tiga mod tunggangan, sistem Traction Control dan sistem ABS Cornering. Di Malaysia, ia ditawarkan pada harga bermula dari RM65,900 hingga RM76,900. Itulah perkongsian serba sedikit mengenai siri Ducati Scrambler yang pernah dan masih berada di pasaran.

Scrambler Ducati Full Throttle yang diuji ini merupakan generasi paling baru. Ia kini hadir dengan lampu-lampu LED beserta DRL dan sudah guna panel meter TFT bersaiz 4.3” - kecil tapi cukup jelas ye! Menerusi panel meter ini, penunggang dapat melihat tahap kelajuan, tahap putaran rpm, posisi gear, jarak perjalanan, trip, suhu enjin, jam, tahap bahan api, tahap bateri, pemilihan mod tunggangan dan menu penalaan.

Bar hendalnya yang lebar memberikan rasa yakin untuk mengendalikan jentera ini. Jika dibandingkan dengan bar hendal Scrambler Icon (bar hendal lebih tinggi), posisi kita atas motor ini memang rasa lebih sporty. Dengan pelana yang hanya setinggi 795mm, kedua-dua kaki saya dapat diletakkan ke atas permukaan jalan dengan sempurna. Saya juga pasti, ketinggian pelana ini memudahkan Full Throttle untuk ditunggang oleh sesiapa sahaja.

Rekabentuk lampu hadapan yang bulat itu memang cun! Lampu LED jenis lingkaran jadikannya nampak mewah dan turut dipadankan dengan lampu Daytime Running Light (DRL). Oleh kerana lampu-lampu jenis LED ini terang, saya selalu pasang lampu tinggi bila berada dalam jalan sesak.

Tujuannya agar orang senang nampak kita... anda semua bagaimana?

Untuk varian Full Throttle dan Nightshift, rekaan lampu isyarat depan/belakang agak moden sedikit berbanding lampu isyarat biasa. Nama lampu pun best, Ducati Performance LED Turn Indicator. Bentuknya lebih kecil, nampak macam sesungut semut pun ya. Terdapat juga soket USB di bawah pelana yang boleh kita guna jika perlu.

Kita tekan suis penghidupnya! Yes... deruman dari sistem penyenyap jenis Termignoni bukan main sedap lagi dan varian ini sahaja yang pakai 'muffler' tu. Itulah yang anda nikmati jika memilih Full Throttle dan untuk dua lagi varian lain, ekzos penyenyap ini dijual sebagai aksesori pilihan.

Generasi baru Scrambler dilengkapkan dengan sistem elektronik yang bertujuan untuk menambah baik kualiti pengendalian, membantu pergerakan kita lebih lancar dan selamat. Sebagai peminat motosikal, kita pasti inginkan nikmat kuasa dan pecutan bila menunggang Ducati kan? Mesti nak uji berapa pantas untuknya memecut dan mendengar deruman hebat setiap kali kita mengajaknya berlari.

Untuk itu, Ducati memberikan kita dua mod tunggangan iaitu Road dan Sport dengan hantaran kuasa yang berbeza. Talaan Road memang lebih relaks, lebih 'jinak' dan sesuai untuk tunggangan yang santai. Kalau nak rasa enjinnya lebih galak, pecutan yang lebih bersemangat... pilih mod Sport dan itulah yang kami gunakan hampir di sepanjang perjalanan.

Dengan mudah ia memecut lebih daripada 170km/j. Tidak dinafikan tamparan angin memang kuat tetapi kerangkanya yang bertegaran tinggi membuatkan pergerakan sangat stabil. Walaupun ia dipadankan dengan tayar-tayar jenis 'knobby', kemampuan Full Throttel memecut laju di lebuhraya atau di laluan berliku sangat memuaskan hati. Tidak sekali-kali tayar ini memberikan rasa 'geli-geli' ketika dimiringkan dalam kelajuan tinggi.

Berbanding generasi sebelum ini, Scrambler baru 4 kg lebih ringan dan datangnya dari kerangka dan lengan ayun baru yang sudah tentu membuatkannya lebih lincah dan tangkas untuk meratah selekoh-selekoh tajam. Tayar bersaiz 18” di depan dan 17” belakang 'membaluti' rim aloi ringan rekaan baru.

Enjin L-kembar, desmodromic dengan sistem sejukan udara ini memiliki hantaran kuasa setinggi 73hp dan tork 65Nm yang cukup padu untuk membuat jentera ini menuruti segala kemahuan kita dengan taatnya. Sistem Quick Shift dua hala menjadikan pergerakan kita lebih menyeronokkan. Memang puas sekali menggunakan sistem transmisi Ducati ini.

Pelana Scrambler ini jenis rata dan nampak sesuai untuk menunggang berdua. Hakikatnya posisi kaki pembonceng kurang selesa. Kita terpaksa membengkok kaki agak tinggi – bagi pembonceng, kedudukan itu buatkan rasa lenguh untuk perjalanan jauh. Kerangka trellis keluli tiub telah dikemas kini - lebih ringan.

Penyerap hentak belakang baharu digabungkan fork hadapan USD 41mm bekerja dengan sangat baik di selekoh dan ketika menyerap permukaan jalan yang tidak rata. Jika diberi pilihan atau cadangan, sistem saspensi boleh laras sepenuhnya pasti lebih 'ummmph'.

Apabila menunggang enjin dengan sistem penyejuk udara, pemiliknya perlu sabar dan bertahan ketika berada di persimpangan. Haba yang keluar dari bahagian enjin memang panas, cepat betul terasa walaupun mengenakan seluar riding. Namun begitu, masalah itu terus hilang apabila kita mula bergerak.

Ducati tahu minat kita! Bila mengembara, kita mesti pilih laluan luar bandar dan ada banyak tempat-tempat berselekoh. Kuasa menghentikan Ducati ini datangnya dari brek-brek cakera Brembo (330mm depan/245mm belakang) yang dipermantapkan lagi dengan sistem Cornering ABS dari Bosch. Menerusi sistem ini, ia membolehkan kita (penunggang) menggunakan brek ke tahap maksimum atau apabila terpaksa melakukan brek kecemasan ketika membuat miringan (sudut condong penuh) dengan lebih selamat. Bab sistem Cornering ABS memang syok betullah, automatik rasa selamat saja.

Scrambler Ducati memang sudah lama memberikan keseronokan buat para penunggangnya. Sejak tahun 1962 lagi kita sudah dikongsikan dengan kisah dan sejarah menarik mengenai model ini. Tiga varian baru iaitu Full Throttle, Nightshift dan Icon pula membuka buku baru... untuk generasi baru, jadi mengapa tidak memilihnya? RR

Isu Pada

April 2024

Spesifikasi

EnjinL-kembar, desmodromic, sistem penyejuk udara
Isipadu803cc
Kuasa maksimum73hp pada 8,250rpm
Tork maksimum65.2Nm pada 7,000rpm
Tayar110/80-R18 (depan) & 180/55-R17 (belakang)
Brekcakera 330mm jenis Brembo, Cornering ABS (depan) & cakera 245mm jenis Bre,bo, Cornering ABS (belakang)
Saspensifork USD 41mm (depan) & penyerap hentak dnegan pelarasan pra-beban (belakang)
Berat185kg
Tinggi pelana795mm
Isi tangki13.5 liter

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

Akid Aziz sertai pasukan VOGE AS25 Racing Team dalam saingan CP150.

Dari Litar

4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

Hakim Danish Ramli meneruskan rentak konsisten salam saingan Moto3 apabila menamatkan perlumbaan di GPAragon di tempat ke-12.

Dari Litar

Bezzecchi Terpantas di Aragon

Marco Bezzecchi mencatat keputusan masa terpantas pada sesi latihan hari Jumaat di Aragon.

Model Baru

Triumph Motorcycles Malaysia Perkenalkan TRACKER 400 & THRUXTON 400 Baharu

Triumph Motorcycles Malaysia memilih acara Art of Speed baru-baru untuk melancarkan dua model terbaru untuk tahun 2026 iaitu Triumph Tracker 400 dan Thruxton 400.