Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 17 Oktober 2020

Benelli Leoncino 500 : Jentera Untuk Semua

Qianjiang (cara ia disebut ialah 'Chin-jung) atau dipanggil QJ oleh para petugasnya merupakan sebuah syarikat China yang kini pemilik jenama motosikal tertua Itali iaitu Benelli. QJ ternyata memiliki keupayaan yang mantap untuk memasuki pasaran Eropah dengan produk-produk yang dihasilkan di China tetapi menggunakan lambang Benelli.


Terdapat pelbagai model baru yang sedang di dalam pembangunan tetapi terpaksa dihentikan seketika pada tahun 2008 berikutan krisis kewangan yang telah melanda dunia. Kini QJ lebih selesa dengan sokongan Geely, pengeluar kereta kedua terbesar China (yang telah membeli Volvo daripada Ford dan Proton serta Lotus) dan sejak itu telah pun berjaya menyempurnakan pengeluaran lebih banyak dengan keuntungan tiga kali ganda.


Model TRK502 dengan enjin kembar-parallel yang diperkenalkan awal tahun ini telah mendapat maklum balas yang sangat positif dengan penjualan lebih daripada 1,000 unit di Itali dan membuatkannya model 250cc-500cc paling laris di pasaran dengan peningkatan nilai saham sebanyak 72% dalam sembilan bulan pertama 2017. TRK502 juga kini berada di tempat ketiga di dalam segmen motosikal pengembaraan (adventure tourer) di belakang BMW R 1200 GS dan Honda Africa Twin.


Kini... perkenalkan Leoncino 500, model naked roadster yang dipertontonkan sebagai model prototaip di pameran motosikal EICMA dua tahun yang lalu. Model ini dibangunkan oleh pasukan jurutera Benelli yang diketuai oleh Pengurus R&D, Stefano Michelotti tetapi dibuat sepenuhnya di kilang serba canggih QJ di Wenling, China yang berukuran 670,000m² dengan kemampuan mengeluarkan jentera yang menepati piawaian Euro-4.


Model ini lengkap dengan sistem ABS dan mempunyai tiga warna pilihan iaitu merah, hitam, kelabu dan ditawarkan pada harga yang cukup kompetitif Euro5,990 (termasuk cukai 22%) dan harga ini hampir sama dengan jentera saingannya iaitu Honda CB500F yang dijual pada harga Euro6,050.

Info: Untuk pasaran Malaysia, Leoncino ditawarkan pada harga RM27,999 (tidak termasuk GST) dengan dua warna menarik iaitu Leoncino Red dan Vulcan Red.


Leoncino telah membuktikan kemampuannya ketika kami mengujinya tempohari dan mendaki ke kawasan berbukit Appennines. Benelli ini direka di Itali tetapi dibuat di China... rasanya cukup bagus dan selesa. Kami menyusuri perjalanan yang mempunyai pemandangan yang memukau di tepian pantai Adriatic dari ibu pejabat Benelli di Pesaro, Itali. Kami juga berkesempatan singgah di restoran pizza milik Valentino Rossi... Betul! Memang milik VR46.... kunjungi www.darossi.it yang terletak di Tavullia.


Keselesaannya hadir dari pelana kulit yang dibuat di Itali sebelum dipasang di China. “Kami tidak dapat mencari pelana dan pembalutnya yang sesuai di China. Kami membuat keputusan untuk membuatnya di Itali dan dihantar ke sana untuk dipasang,” kata Michelotti.

Pelana ini setinggi 815mm dan cukup luas untuk penunggang dan pembonceng. Tempat pemijaknya yang dipasang cukup sempurna memberi ruang kaki yang selesa untuk semua penunggang termasuk mereka yang berkaki panjang. Model ini juga disempurnakan dengan ECU Bosch dan sistem ABS dua hala dan tayar-tayar Pirelli Angel ST yang terbukti memiliki cengkaman yang mantap.


Bar hendal Benelli ini lebar – cukup sesuai untuk penunggang yang bertinggian 5'10” (1.778m) memegang dan mengendalikannya dengan mudah tanpa rasa penat. Tuas breknya boleh dilaras kepada empat posisi dan kelembutan sistem klac yang dimiliki oleh mesin ini pasti disukai oleh para penunggang baru yang ingin berjinak-jinak dengan dunia motosikal berkuasa tinggi.


Tangki 13.3 liter menawarkan perjalanan sejauh 300 kilometer – agak ramping untuk dikepit menggunakan lutut tetapi sekali lagi, bar hendalnya yang lebar amat kami sukakan ketika mengubah posisi Leoncino sewaktu mendaki kawasan berbukit di Tavullia. Kami juga dapat melihat kawasan latihan enduro di Rossi Ranch sedang diperbesarkan dengan penambahan laluan bulatan berpasir putih dan mungkin di sinilah Rossi terjatuh tempohari. Mungkin...


Rekaan cermin sisi juga dibuat dengan baik. Penunggang akan dapat melihat keadaan di belakang dengan mudah dan tanpa gegaran. Panel meternya sahaja agak kurang menepati apa yang diinginkan kerana agak sukar untuk dilihat ketika kita berada di bawah sinar matahari. Walaupun begitu, panel meter ini memaparkan informasi yang sudah mencukupi seperti penunjuk rpm jenis analog, penunjuk kelajuan digital, suhu, tahap bahan api, jarak perjalanan, trip dan penunjuk posisi gear yang besar dan jelas.


Leoncino 500 – terdapat lambang seperti seekor singa kecil diletakkan pada madgad hadapan, adakah ini sebab namanya LEO? Betul ke? Sebenarnya nama ini digunakan sempena model Benelli paling laris pernah dihasilkan dengan 50,000 unit dibuat dalam enjin 125cc, dua dan empat lejang sekitar tahun 1951 hingga 1972. Tidak lupa juga dengan kejayaan jentera Benelli ini yang pernah memenangi perlumbaan enam hari Giro d'Italia pada tahun 1953 yang ketika itu ditunggang oleh Leopoldo Tartarini. Leopoldo juga merupakan bakal pemilik Italjet tidak lama lagi.


Versi terbaru ini dikuasakan oleh enjin kembar-parallel, lapan injap, sistem penyejuk cecair seperti mana yang dilengkapkan pada model TRK502. Gerek dan lejangnya bersaiz 69 x 66.8mm yang memberikan sesaran 499.77cc. Ini merupakan ciptaan kedua enjin baru silinder kembar dari syarikat ini selepas BN302 pada tahun 2015 dan terbaru ialah enjin 750cc yang dilancarkan di EICMA baru-baru ini.


“Dalam menentukan susun atur untuk enjin silinder-kembar, kami bermula dengan membuat pemilihan sama ada untuk membuat kembar-v atau kembar parallel. Kami akhirnya memilih kembar parallel untuk berkongsi teknologi dengan enjin empat silinder sebaris yang telah dibangunkan pada model BN600R. Kami juga perlu meneliti dan membuat keputusan format untuk aci engkol yang akan digunakan - 180º atau 270º atau 360º. Kami pilih 360º kerana ia lebih fleksibel,” kata Michelotti.


Leoncino berkuasa 48bhp/35kW pada 8,500rpm dengan kuasa tork 46Nm pada 6,000rpm dan spesifikasi ini memenuhi undang-undang ketat EU untuk mereka yang memiliki lesen A2 yang berumur di antara 19-24 tahun. Tahap kuasa yang dibenarkan untuk mereka berumur sehingga 25 tahun ialah sekitar 35kW. Dengan penggunaan pendikit kabel berbanding Ride by Wire bermakna, tiada mod tungganganlah atau bantuan elektronik selain sistem ABS yang wajib untuk piawaian Euro 4.


Seperti model TRK, enjin model ini memang cukup lancar dan segar sekali dengan putaran enjin melahu di dalam kedudukan 1,400rpm dan para peminat motosikal akan teruja mendengar bunyi yang terkeluar dari sistem ekzosnya – benar-benar sedap! Menurut Michelotti, perbezaan yang dimiliki oleh model ini berbanding TRK502 ialah pada sistem ekzos dan pemetaan enjin. “Kami ingin menyorokkan kotak udara di bawah tangki dan mendapat faedah daripada rekaan ini kerana apabila saiz kotak udara panjang, ia membantu mengurangkan bunyi yang amat penting untuk melepasi Euro 4.


Kuasa tolakan Leoncino cukup mengujakan. Ia merentap dengan kuat pada kedudukan 2,000rpm dan lebih seronok apabila hantaran kuasa ini dilakukan dengan pantas dan sangat lancar. Tiga tahun lalu, saya pernah menguji Benelli BN600 (sebuah jentera empat silinder) dan ketika itu mendapati kuasanya agak tersekat-sekat tetapi ternyata Benelli telah banyak berubah dan inilah kejayaan QJ yang amat membanggakan. Tahniah buat pasukan R&D QJ di Wenling – cepat belajar dan telah berupaya menghasilkan sebuah produk kesukaan ramai.


Jadi… hamburan kuasa di Leoncino memang berbeza malah lebih baik berbanding TRK502 walaupun nisbah gearnya dirasakan yang agak rapat dengan 100km/j dalam gear teratas ketika putaran enjin baru sekitar 5,500rpm. Kelajuan paling selesa dengannya ialah pada kedudukan 6,500rpm atau 120km/j dan para penunggang pastinya akan puas memacu jentera ini yang ‘bernafas’ dengan lancar dalam putaran 4,000 hingga 6,500rpm.


Walaupun nisbah gearnya yang agak rapat, kuasa torknya cukup bertenaga serta kotak gear yang lancar membuatkan Leoncino ini setanding dengan model-model jalanan dari Jepun. Enjin ini berkemampuan untuk ditarik sehingga 10,400rpm jika anda benar-benar ingin mencubanya. Apa yang lebih mengujakan kami ialah tenaga enjin Benelli ini yang memberikan nikmat seumpama kita menunggang sebuah jentera lebih daripada 500cc.


Kunci utama keseronokan menunggang Benelli ini ialah kerana pengendaliannya yang mudah serta penyerapan sistem saspensinya yang benar-benar mantap. Inilah hasil daripada sikap positif QJ yang tidak pernah berhenti untuk terus belajar dalam usaha ingin mempertingkatkan kualiti produknya terutamanya sistem brek dan teknologi saspensi. Kecekapan Leoncino dalam mengawal setiap pergerakan juga datangnya dari geometri kerangka trellis yang nampak seperti mana yang digunakan oleh Ducati.


Tapak roda Leoncino bersaiz 1,460mm (1,525mm untuk model TRK) dengan fork hadapan jenis terbalik 50mm dan lengan ayun aluminium yang dilengkapkan dengan penyerap hentak mono cantilever yang bekerja dengan baik dalam semua keadaan. Memang banyak penambahbaikkan berbanding model TRK502 sebelum ini dan kami percaya QJ mungkin akan menerapkan segalanya pada model-model baru akan datang. Memang cukup mengagumkan apabila mendapati, pakej-pakej hebat ini dibuat sepenuhnya oleh QJ di China termasuk enjin, kerangka, rim dan lampu utamanya.


“Tidak seperti para pengeluar motosikal di Barat yang boleh merujuk kepada syarikat yang mempunyai kepakaran dalam komponen tertentu, kami terpaksa membuatnya sendiri. Tidak berbaloi untuk dapatkan bekalan dari Eropah. Oleh itu, sebelum menggunakan fork hadapan jenis terbalik buat pertama kali, kami perlu belajar untuk menghasilkannya dan kini sudah berupaya untuk mengeluarkan produk tersebut mengikut kemahuan kami,” kata CEO Benelli, En. Yan Haimei.


Leoncino dikawal oleh sepasang brek cakera 320mm di hadapan dan 260mm di belakang dengan angkup-angkup yang dihasilkan di Wenling oleh QJ dan ia benar-benar berfungsi dengan cekap walaupun dalam konteks sebuah jentera harian. Ya… tayar-tayar Pirelli Angel ST yang dipadankan pada Leoncino bukan sahaja tampak cantik tetapi juga menjamin prestasi yang tinggi sewaktu ia berada di atas jalan. Leoncino didatangkan dengan tayar hadapan dan belakang yang masing-masingnya bersaiz 120/70 ZR17 dan 160/60 ZR17.


Sekali lagi, seperti model TRK502, kualiti pembikinan Benelli memang mengagumkan dan setanding dengan jentera-jentera yang boleh didapati dari Eropah. Bentuknya memang menawan kerana ia dari hasil tangan pereka Stefano Casanova tetapi apabila melihat dari dekat, kita akan dapati tiada satu bahagian pun yang nampak sebuah motosikal berkos rendah. Kebenarannya hanya akan dibuktikan dari segi ketahanannya dalam jangka masa panjang tetapi QJ ternyata telah mempertingkatkan pengeluarannya menyaingi produk-produk dari Eropah.


Ia mampu milik, mudah ditunggang dan sesuai untuk tunggangan harian untuk semua jenis pencinta motosikal tidak kira anda lelaki atau perempuan, yang berpengalaman atau pun yang masih newbies.

Pemilik Benelli terkini dari China sedang ‘bergerak’ pantas untuk memperkenalkan pelbagai lagi model jenama ini dari 250 hingga 750cc yang telah dibangunkan dengan teliti untuk menyaingi jentera-jentera dari Jepun, Eropah, India mahupun Thailand. Tidak hairanlah mengapa kini billionaire Geely, Li Shufu menunjukkan minatnya untuk membeli bahagian dalam QJ. Masa depan Benelli akan terus bersinar terutamanya apabila kita melihat barisan jenteranya seperti Leoncino 500 ini. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Benelli QJ dan Mattia Tomucci

Isu Pada

Disember 2017

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 silinder, sistem penyejuk cecair, piawaian Euro 4
Isipadu500cc
Gerek x Lejang66 x 66.8mm
Nisbah mampatan11.5:1
Kuasa maksimum35kW pada 8,500rpm
Tork maksimum46Nm pada 6,000rpm
Tapak roda1,460mm
Tinggi pelana815mm
Isi tangki12.7 liter
Pengedar RasmiMforce Bike Holdings Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

Boon Siew Honda (BSH) bakal memperkenalkan empat model terbaru yang akan berada di pasaran tempatan iaitu Honda ADV350, CB750, XL750 Translap dan NX500.

Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

Seorang penyelia syarikat penghantaran maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar beberapa ekor babi hutan yang bergelimpangan mati di tengah jalan dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul di sini awal pagi Jumaat.

Warta Roda

Yamaha Tenere Off-Road Experience - Beri Pendedahan & Latihan Laluan Lasak

Hong Leong Yamaha Motor anjur acara Yamaha Tenere Off-Road Experience buat pemilik, pengedar dan para media.

Dari Litar

WorldSBK: Pasukan BMW Makin Ceria Dengan Prestasi Toprak!

Pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK menyediakan jentera sebaiknya buat Toprak dan Michael Van Der Mark untuk sebarang senario di sini.