HONDA NSS250 2025 - Skuter Gaya Premium Yang Selesa

Honda telah membuktikan komitmennya dengan menghasilkan sebuah motosikal yang berkualiti tinggi bagi memenuhi kehendak para pengguna dua roda di Malaysia. Mungkin model ini boleh dijadikan sebagai pilihan buat para penggemar jentera skuter 250cc iaitu Honda NSS250 2025.
Model ini merupakan sebuah skuter premium yang bersaiz sederhana khas untuk pengguna urban dan pengembara harian yang inginkan keselesaan, prestasi dan bergaya.
Pertama sekali kami nak cerita tentang rekabentuk luarannya. Honda NSS250 menampilkan rekaan yang serba moden. Garis-garis yang tajam pada panel badannya memberikan imej yang agresif dan sporty untuk menarik perhatian orang disekeliling. Model ini hadir dengan lampu utama jenis LED yang menawarkan pencahayaan cukup terang sekali. Untuk tunggangan pada waktu malam terbukti sangat jelas. Rekaan lampu belakang kekal dengan gaya elegan dengan lampu LED.
Dari segi rupabentuk dan enjin masih sama seperti model tahun 2024, tetapi terdapat satu pembaharuan yang dilakukan pada bahagian kokpitnya. Honda NSS250 2025 kini menggunaka paparan meter jenis TFT yang bersaiz 5-inci. Pengguna juga boleh menggunakan sistem Honda Road Sync untuk menyambung telefon bimbit dengan meter tersebut bagi mengakses panggilan telefon, muzik dan sistem navigasi.
Tinggi pelana NSS250 ini hanya sekitar 780mm sahaja. Walaupun tidak begitu tinggi tetapi kedua-dua kaki kami masih menjengket apabila memijak permukaan tanah. Mungkin disebabkan bentuk badan skuter ini lebar sedikit. Namun, pelananya cukup lebar dan lembut sekali, sesuai untuk tunggangan jarak jauh mahupun di kawasan sesak.
Sebagai peminat skuter, ciri yang paling utama perlu ada sekali sudah tentulah bahagian ruang penyimpanan bawah pelana dia. Ruangan ini memang sangat laus sekali dan boleh memuatkan sehingga dua buah topi keledar termasuk barang-barang peribadi. kelebihan ini menjadikan skuter ini sangat praktikal untuk kegunaan harian. Bukan itu sahaja, bahagian hadapan juga terdapat ruang compartment yang boleh kita masukkan botol air bersaiz 500ml dan ruang kecil untuk meletakkan telefon bimbit. Cumanya untuk soket pengecas USB hanya ada yang jenis Type C sahaja. Bagi kami alangkah baiknya pihak Honda sediakan dua jenis iaitu Type-A dan Type-C.
Honda NSS250 dilengkapi dengan enjin 249.5cc satu silinder, SOHC, sistem penyejuk cecair dan teknologi eSP+ yang cukup berkuasa dengan saiz motosikal tersebut. Enjinnya boleh menghasilkan kuasa sekitar 23hp pada 7,750rpm dan tork 24Nm pada 6,250rpm yang menjadikan model ini sangat sesuai untuk tunggangan di dalam bandar dan lebuh raya. Sistem CVT melancarkan lagi pergerakkan skuter ini tanpa perlu menukar gear, pulas dan gerak sahaja.
Antara kelebihan utama pada enjinnya ialah dari segi penggunaan bahan api yang sangat menjmatkan. Saiz tangki bahan api sekitar 11.7 liter. Kami sudah cuba tunggang jentera ini hampir 300 kilometer dengan sekali isian. Tetapi penggunaan petrol yang menjimatkan bergantung juga pada gaya tunggangan kita. Semakin galak kita pulas pendikit selalu semakin cepat ianya habis.
Kebanyakkan skuter atas 250cc sekarang pun sudah menggunakan cermin penghadang angin boleh laras secara automatik. Tidak kurang hebatnya juga Honda NSS250 ini, kita boleh melaras ketinggian dan merendahkan cermin penghadang anginnya dengan hanya menekan butang yang ada pada bar hendal sebelah kiri semasa menunggang. Paling tinggi boleh laras adalah 180mm.
Dari segi keselesaan, skuter menggunakan sistem saspensi hadapan jenis fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar jenis spring di belakang. Bila tunggangan atas jalan yang ada lubang-lubang kecil dan kurang rata, saspensinya menyerap hentakan dengan lembut. Tidak terlalu keras... tidak terlalu lembut sangat sampai rasa bergoyang. Menunggang seorang memang cukup stabil sekali. Apabila bawa pembonceng atau ada barang-barang di bawah pelana, skuter ini masih mampu kendailkan beban dengan baik.
Ciri yang ramai tidak perasan tetapi cukup penting demi keselamatan untuk penunggang. NSS250 dilengkapi dengan tayar cukup lebar. Bahagian hapadan menggunakan saiz tayar 120/70-15M/C (56P) dan belakang kecil sedikit iaitu 14 inci dengan kelebaran tayar 140/70 (62P). Tayarnya memang menggigit permukaan jalan dengan baik terutama ketika memasuki laluan berselekoh. Berat skuter ini pula sekitar 185kg, tetapi disebabkan tayarnya yang lebar dan mencengkam, jentera tidak rasa tergelincir atau bergoyang di belakang.
Menunggang pada waktu hujan pun masih lagi stabil tetapi kena ingat juga, mana-mana skuter pun kalau hujan lebat sangat kita kenalah menunggang dengan lebih berhati-hati. Nak lebih selamat? carilah tempat berteduh yang terlindung dan selesa untuk berehat sekejap.
Untuk sistem keselamatannya pula kedua-dua roda pada model ini menggunakan brek jenis cakera yang masing-masing bersaiz 256mm (depan dan 250mm (belakang). Bahagian brek hadapan bila ditekan tuasnya terasa sangat responsif. Bahagian belakang pula berfungsi dengan baik untuk membantuk stabilkan skuter ini apabila menunggang secara perlahan atau menurun bukit. Tidak terasa bergegar jika kita menggunakan brek belakang dengan bijak. Selain lengkap dengan sistem ABS dua saluran, model ini turut dipandankan dengan Traction Control. TSC ini juga boleh di aktifkan atau nyahaktifkan dengan menekan butang di bar hendal sebelah kiri.
Satu lagi ciri-ciri yang ada di kebanyakkan motosikal terkini iaitu sistem kunci pintar yang membolehkan penunggang menghidupkan enjin tanpa menggunakan kunci fizikal. Salah satu ciri moden yang meningkatkan kemudahan dan keselamatan.
Secara kesimpulan, Honda NSS250 merupakan pilihan bagi mereka yang ingin menacari skuter premium yang bersesaran 250cc. Bukan sahaja menampilkan rekabentuk yang menarik tetapi lengkap dengan teknologi terkini dan prestasi yang boleh diharapkan.
Model ini ditawarkan pada harga asas bermula RM25,888 (tanpa cukai jalan & insurans) bersama waranti selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana terdahulu). Untuk model 2025 ini terdapat dua warna baru iaitu Pearl Jubilee White dan Pearl Shining Black. Manakala warna sedia ada seperti Pearl Smoky Gray, Matte Gun Powder Black Metallic dan Candy Rosy Red masih lagi dipasarkan. RR
Spesifikasi
Enjin | Satu silinder, SOHC, Penyejuk Cecair |
Kuasa maksimum | 23hp pada 7,750rpm |
Tork maksimum | 24Nm pada 6,250rpm |
Kapasiti enjin | 249.5cc |
Transmisi | CVT |
Brek | Cakera 256mm (depan) & 240mm (belakang), ABS Dua Saluran |
Saspensi | Fork Teleskopik (depan) & Penyerap Hentak Berspring Berkembar (Belakang) |
Tinggi pelana | 780mm |
Isi tangki | 11.7 liter |
P x L x T | 2,143mm x 754mm x 1,507mm |
Popular